Pencapaian lebih 400 pelajar dirai semasa ‘Majlis Penyampaian Anugerah ITE’ di Ibu Pejabat ITE pada 22 Mei.
Mereka diiktiraf atas prestasi cemerlang secara tekal serta mempamerkan kelakuan dan sikap terpuji.
Ketika rakan sebayanya gigih menumpukan perhatian pada pelajaran Cik Ryka Putri Eva Sabrinna Sabtu, yang ketika itu berusia 18 tahun, bergelut dengan pelbagai masalah peribadi.
Beliau yang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Central ketika itu, bukan sahaja perlu menyewa bilik di flat beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun ke-19, malah terpaksa bekerja sambilan dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B) untuk menampung pengajiannya.
Keadaan itu berlaku kerana isu keluarga yang sulit dijelaskan lebih mendalam, lantas tidak memudahkannya untuk terus betah di bawah satu bumbung dengan anggota keluarga yang lain.
Beliau adalah anak bongsu dalam empat beradik, yang turut mempunyai dua adik-beradik tiri.
Namun begitu, beliau tidak membiarkan kegetiran hidupnya menjejas cita-citanya untuk berjaya dalam pelajaran.
Cik Ryka, kini 21 tahun, yang mengambil kursus Sijil Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Luar Pesisir dan Marin, menanam tekad untuk bangkit bagi mengatasi segala rintangan dan meneruskan usahanya dengan penuh dedikasi.
Atas semangat juangnya, beliau merupakan antara 53 penerima Anugerah Lee Kuan Yew sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang ITE yang berlangsung di ITE Central pada 22 Mei.
Mereka merupakan antara 417 pelajar ITE yang menunjukkan prestasi cemerlang secara konsisten serta memiliki kelakuan dan sikap terpuji.
Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew bertujuan menggalak pelajar dan pelatih agar menunjukkan tingkah laku cemerlang semasa latihan, membina nilai moral yang tinggi, serta mempamerkan sikap prihatin dan belas kasihan terhadap orang lain.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Cik Low Khah Gek, berkata:
“Pelajar-pelajar ini telah membangunkan kemahiran insaniah yang baik apabila melibatkan diri dalam keadaan apabila mereka berinteraksi dengan orang lain, berkomunikasi dengan berkesan, menyesuaikan diri sambil menangani tekanan masing-masing.”
Cik Ryka yang kini menetap seorang diri di bilik sewa ternyata tidak patah semangat meskipun sibuk membahagikan masa antara kerja sambilan dengan tempoh komitmen hampir 40 jam seminggu menelaah pelajaran, dari Isnin hingga Jumaat.
Menurutnya, ketiadaan sokongan keluarga memberi kesan mendalam kepadanya dari segi kewangan, mental dan emosi.
Setiap keputusan penting dalam hidupnya, termasuk tempat tinggal, pemilihan kursus, dan pekerjaan, terpaksa dibuat sendiri.
“Saya rasa saya memang tak ada sesiapa pada masa itu. Saya belajar untuk harungi semuanya sendiri,” katanya.
Namun, beliau melihat pengalaman itu sebagai satu proses pembentukan diri.
“Saya belajar untuk jadi pelindung kepada diri saya sendiri. Dan apabila kita tahu jaga diri, kita juga boleh jaga orang lain yang kita sayangi,” tambahnya.
Dengan semangat berdikari yang tinggi, Cik Ryka kini berjaya meneruskan pengajiannya dalam jurusan Diploma Pengajian Nautikal di Politeknik Singapura (SP).
“Industri itu menawarkan disiplin dan hala tuju yang saya perlukan, lebih-lebih lagi apabila saya tidak mempunyai sesiapa yang menjadi tempat bergantung,” katanya.
Beliau juga aktif sebagai sukarelawan bersama pertubuhan kebajikan, Sunshine Welfare Action Mission (Swami) Home melalui program ‘Meals-on-Wheels’, yang menyediakan hidangan kepada warga emas di kawasan perumahan.
Cik Ryka turut bersyukur mendapat Biasiswa Yayasan Keppel Care, yang telah meringankan beban kos pengajiannya di SP.
“Disebabkan biasiswa ini, saya boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada apa yang saya minati, termasuk pelajaran, tanpa perlu bekerja sambilan,” tambahnya.
Sekiranya diberi peluang berbicara dengan dirinya yang berusia 18 tahun dahulu, Cik Ryka berkata beliau akan menasihati dirinya supaya tidak takut menghadapi cabaran:
“Segala dugaan hidup akan berlalu dan keadaan akan menjadi lebih baik.
“Selagi kita berpegang pada nilai kebaikan, perkara baik pasti akan menyusul. Prinsip inilah yang saya pegang hingga hari ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg