Impian Nur Aqilah Azman untuk memasuki Program Asas Politeknik selepas tamat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ musnah apabila beliau tidak memenuhi tuntutan gred bagi Bahasa Inggeris.
Bagaimanapun kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya, bahkan menjadi pendorong untuknya tetap mencapai impiannya.
Beliau kemudian memohon untuk Skim Kemasukan Terus ke Politeknik (DPP) dan memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College East – laluan yang tidak pernah dirancangnya.
Namun, langkah itu menampakkan hasil apabila beliau lulus dengan meraih Gred Purata Mata (GPA) penuh 4.0.
Berkat usaha gigih, pelajar kejuruteraan bioperubatan di Politeknik Ngee Ann dan kini muncul sebagai antara sembilan penerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew.
Anugerah itu diberikan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik dan menunjukkan tingkah laku, sikap dan nilai luar biasa.
Menceritakan lanjut, Nur Aqilah, 19 tahun, berkata:
“Saya sangat gembira dan berbesar hati yang kerja keras saya telah diiktiraf.
“Ini menunjukkan yang jika anda berusaha cukup keras dan anda melakukannya dengan sepenuh hati dan keikhlasan anda, saya fikir orang akan melihatnya dan menjadikan terdorong untuk melakukan yang sama,” ujarnya.
Menurut Nur Aqilah, beliau datang daripada keluarga sederhana tetapi bercita-cita tinggi dan mahu mencapai yang terbaik untuk dirinya.
Beliau berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain.
“Saya rasa cara kita memberi inspirasi kepada orang – terutama golongan muda – adalah dengan menjadi contoh yang baik untuk mereka.
“Saya harap bila anak muda lain melihat kejayaan saya, mereka juga mahu mencontohinya,” kata anak bongsu empat beradik itu.
Selain kecemerlangan akademiknya, Nur Aqilah juga aktif dalam kegiatan menyumbang semula kepada masyarakat.
Misalnya, beliau membimbing pasukannya meraih Anugerah Gangsa dalam pertandingan SICK Sixth Sense 2023 dengan alat penilaian kelembaban tanah berasaskan getaran yang inovatif untuk pertanian mampan.
Nur Aqilah turut mengetuai pasukan prototaip penjimatan air untuk kemudahan wuduk masjid di bawah Inisiatif Kelestarian Anugerah Pencapaian Belia Nasional HSBC – ITE dan SME.
Apabila ditanya tentang projek yang pernah dilakukan, beliau berkata sikap tolong-menolong dipupuk sejak kecil lagi oleh ibu bapanya, yang menekankan pentingnya berbakti kepada masyarakat.
“Memberi kembali kepada masyarakat adalah sesuatu yang saya pentingkan.
“Sejak saya kecil, ibu saya membawa saya melakukan kerja khidmat masyarakat. Ia sesuatu yang menggembirakan saya,” kata beliau yang berharap untuk menyertai Program Bekerja dan Belajar untuk melanjutkan pelajaran selepas politeknik.
Mengenai nasihatnya untuk rakan sebayanya, Nur Aqilah menggesa mereka supaya merebut apa sahaja peluang yang diberikan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg