Pertahanan paling kuat Singapura terhadap radikalisasi belia yang semakin membimbangkan bukanlah dengan cara menakut-nakutkan golongan itu, tetapi dengan mewujudkan sekitaran yang membolehkan mereka rasa diterima dan didengari.

Menyatakan demikian dalam ucapannya pada acara SG Core @ The Majulah Assembly 2026, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata kehadiran orang dewasa yang boleh dipercayai juga penting dalam belia mendapatkan nasihat dan sokongan apabila berdepan dengan ketidakpastian atau cabaran.

“Sedang kita meraikan ulang tahun ke-61 Singapura, mungkin persoalan di hadapan kita bukanlah sekadar bagaimana kita dapat melindungi anak muda kita daripada pengaruh berbahaya.

“Matlamat kita bukanlah membesarkan generasi yang terlindung daripada idea-idea yang sukar – itu bukan sesuatu yang realistik mahupun diingini,” kata Encik Zhulkarnain pada 15 Ogos di Maktab Rendah Tampines-Meridien.

“Matlamat kita adalah membesarkan generasi yang boleh menangani idea-idea sukar dengan yakin dan hormat, tanpa melupakan nilai-nilai yang mengikat kita bersama sebagai rakyat Singapura,” tambahnya.

Ini bermakna untuk membangunkan dalam diri belia, keupayaan untuk mengharungi kerumitan, keyakinan untuk mempersoalkan, dan empati untuk memahami orang yang mungkin berbeza daripada mereka.

Ia juga bermaksud mewujudkan persekitaran di mana golongan muda merasakan bahawa mereka dilibatkan dan didengari.

“Apabila belia kita tahu mereka tergolong dalam masyarakat yang melihat, mendengar, dan menyokong mereka, suara-suara ekstremis mempunyai ruang lebih kecil untuk bertapak. Orang yang berasa terhubung dengan keluarga, sekolah, masyarakat dan negara mereka kurang mudah dipengaruhi golongan yang cuba memecahbelahkan mereka,” kata Encik Zhulkarnain.

Lebih 130 warga Singapura termasuk ibu bapa, pendidik dan pemimpin agama menghadiri acara tiga jam yang menggabungkan forum berbentuk ceramah dan filem itu, yang dianjurkan Humanity Matters bagi meneliti dan meneroka peranan serta cabaran dalam mencegah dan menangani radikalisasi belia.

Hadirin turut berpeluang mendengar perkongsian tiga ahli panel, iaitu Profesor Kajian Keselamatan Negara yang juga Dekan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Kumar Ramakrishna; Felo Pelawat di RSIS, Dr Noor Huda Ismail; dan Ketua Program Keselamatan dan Keselamatan Awam, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Sheryl Chua, dalam lebih memahami ancaman, pemikiran, motivasi dan kemahuan remaja berhubung dengan radikalisme dan ekstremisme.

Antara perkara yang dibincangkan semasa forum itu adalah pentingnya menjalin hubungan sosial dengan belia, di samping mengajar mereka tentang literasi digital.

“(Ini termasuk) hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Seseorang itu tidak harus dibiarkan bersendirian atau terasing, terutama pada tahun-tahun kritikal, yang mana mereka lebih mudah terpengaruh. Jika mereka bersendirian serta terdedah kepada perekrut ekstremis dalam talian, keadaan itu boleh membawa padah,” kata Profesor Kumar.

“Yang paling utama, (ibu bapa dan orang dewasa) perlu sentiasa hadir dan terbuka untuk memahami pengalaman golongan muda. Saya rasa ini dapat membantu,” tambahnya.