Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bengang sikap kanak-kanak ‘tak bersyukur’, wanita tidak lagi beri duit Raya

Apr 4, 2025 | 12:39 PM
Kanak-kanak mengharapkan ‘duit raya’ tetapi tak semua orang mampu memberi.
Kanak-kanak mengharapkan ‘duit raya’ tetapi tak semua orang mampu memberi. - Foto oleh RUBIAH MOHD

Seorang wanita mengaku dalam satu hantaran di wadah Instagram Threads beliau tidak lagi memberi duit raya kepada kanak-kanak sejak lima tahun lalu kerana berkata ‘mereka tidak layak menerimanya’.

Menceritakan pengalamannya, wanita yang dikenali hanya sebagai @nrljnhr_ itu berkata beliau tidak lagi memberi ‘duit raya’, iaitu satu tradisi atau kebiasaan yang diamalkan dalam kalangan orang Islam dewasa di rantau ini untuk memberi sampul wang yang berisi duit raya kepada yang lebih muda dan tua.

“Beberapa tahun lalu, saya pernah memberi sampul wang berisi $4 kepada seorang kanak-kanak yang membuka sampul itu dan kemudian mengeluh ‘$4 aje, Mummy”.

“Saya sangkakan ibunya akan memperbetulkan anaknya yang tidak beradab, tetapi sebaliknya, Ibunya memberitahu anaknya, tidak semua orang ‘sekaya kita’,” kata wanita itu yang kemudian meminta sampul itu dikembalikan.

Hantaran @nrljnhr_ itu mendapat lebih 469 tanda suka dan mengundang banyak komen daripada warganet. Antaranya ialah pengguna @tantena64 yang berkata beliau pernah melalui pengalaman yang sama apabila bekas teman sekerja ibunya datang beraya.

Wanita itu dihubungi Berita Harian (BH) tetapi beliau tidak ingin memberikan sebarang respons.

“Budak itu merungut (tentang duit raya yang diterimanya), tetapi dengan serta-merta ditampar oleh kakaknya sendiri. Semua orang tercengang!” kata @tantena64.

Seorang lagi, pengguna @alvinlaihm pula berkata beliau ‘tidak faham’ maksud atau makna di sebalik memberi kanak-kanak duit raya pada Hari Raya mahupun sambutan Hari Raya Cina.

“Keberkatan boleh datang dalam berbagai bentuk bukan sahaja dalam segi wang ringgit. Ini seperti menggalakkan sikap mata duitan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya dalam komen.

Ini dipersetujui oleh empunya hantaran @nrljnhr_ yang menjawab:

“Saya juga tidak faham. Bukan saja sikap mata duitan, tetapi mereka juga membandingkan orang ‘kaya’ dan ‘miskin’ dan berasa diri mereka ‘lebih bernasib baik’.”

Menurut jawapan yang diberikan kepada beberapa komen, @nrljnhr_ masih menerima tetamu itu ke rumahnya pada setiap tahun, tetapi beliau tidak lagi memberi ‘duit raya’ atau beramah mesra dengan keluarga yang berkenaan.

“Saya meminta wang saya dikembalikan dan suruh mereka keluar dari rumah saya supaya mereka tahu, orang ‘miskin’ pun ada harga diri dan tidak sepatutnya diperlakukan begitu,” ujarnya.

Rata-rata yang meninggalkan komen berkata ibu kepada budak itu yang patut dipersalahkan kerana tidak mendidik anaknya dengan baik, dan tidak memperbetulkan keadaan.

“Sangat biadab,” kata @yana.yaacob dalam komen.

“Kalau anak saya buka sampul depan saya, saya akan tenung dia. Kalau tak faham juga, saya akan piat telinganya. Kena ajar dari kecil. Jangan buka sampul duit depan orang. Cakap terima kasih dan terus simpan dalam beg.”

Tradisi memberi ‘duit raya’ mungkin bukan perkara ‘berat’ untuk sesetengah orang tetapi ada juga dalam kalangan masyarakat yang berasa ianya satu budaya yang ‘membebankan’.

Pengguna @uswahmansor berkata di ruang komen:

“Saya memang rasa stres pada raya ini kerana saya belum lagi dapat pekerjaan dan rasakan bebannya. Malu sebab tak dapat bagi duit raya. Saya berfikir nak bagi benda lain, tetapi entahlah…”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg