Kenangan terawal saya menyambut Lebaran lahir dalam bentuk kuih warna kuning kelat kecil berinti jem nanas.
Lima enam hari sebelum 1 Syawal, emak saya akan duduk berjam-jam lamanya di meja dapur untuk membentuk kuih tart dan ‘mencuit’ biku sekeliling kuih tart, satu persatu, kadangkala, sehingga larut malam.
Pada ketika itu, meja makan akan dipenuhi dulang pelbagai saiz, masing-masing padat dengan kuih tart ‘mentah’ yang menunggu giliran untuk dibakar.
Alat pembakarnya ‘basic’ saja.
Mungkin ada yang masih ingat ketuhar bundar aluminum menyerupai kapal angkasa UFO kecil yang kerap digunakan kaum ibu di Singapura satu ketika dahulu.
Ketuhar tersebut tidak berjenama dan dibeli dari kedai perkakas Hari Raya di Tanjong Katong Complex.
Mereka yang lebih berkemampuan pula menggunakan ketuhar berbentuk kiub berjenama Baby Belling yang boleh membakar dua tiga dulang sekali gus, tapi bagi emak saya, ketuhar bundar itu memadai.
Selepas sedulang siap dibakar, emak saya akan mengeluarkannya daripada ketuhar dan menggantikannya dengan dulang, yang baru… sungguh efisien, bak kilang biskut komersial.
Saya masih ingat lagi aroma hangat dan menggiurkan setiap kali emak membuka penutup ketuhar.
Malah sehingga masa ini, hampir empat dekad selepas pengalaman itu, rongga hidung saya bak mencari-cari aroma tersebut setiap kali saya mengunjungi orang tua saya pada akhir Ramadan.
Kenangan ini timbul baru-baru ini semasa berbual-bual dengan isteri mengenai makna sebenar Aidilfitri dan bagaimana hendak mendorong dua anak lelaki kami yang masih di sekolah rendah untuk menjiwai maknanya.
Perbualan ‘kosong’ itu menjadi perbincangan lebih serius selepas kami utarakan perkara yang selama ini tersirat di jiwa masing-masing – penghayatan Aidilfitri oleh anak-anak kami begitu berbeza berbanding penghayatan kami semasa seusia mereka.
Mungkin, generasi kami, yang mendewasa dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, dalam era di mana televisyen dan radio menjadi sumber hiburan utama lebih dapat memahami.
Buat masa ini, berbekal pengalaman, kami lebih sedar Hari Raya antara peluang paling penting untuk memperkukuh hubungan antara keluarga, menjalin silaturahmi selain bermuhasabah diri apabila berfikir mengenai kelakuan masing-masing sepanjang tahun – sekurang-kurangnya bagi saya dan isteri.
Namun semasa kanak-kanak, perkara terpenting untuk saya semasa Hari Raya boleh dirumuskan kepada tiga perkara: makanan (terutama kuih tart); televisyen (selain radio dan akhbar); serta ‘duit collection’ (untuk ditabung dan beli mainan).
Mengapa makanan dan ‘duit collection’ menjadi perkara penting mungkin asbab yang lebih jelas untuk difahami generasi lebih muda seperti anak-anak kami.
Namun peri penting televisyen, radio dan akhbar lebih sukar difahami.
Dalam dunia Netflix dan Spotify yang menyediakan bufet filem dan lagu dalam sekelip mata, cerita saya mengenai keghairahan yang dirasakan pada satu masa dahulu semasa menantikan maraton filem Melayu atau Hollywood di televisyen semasa Hari Raya dibalas dengan pelbagai tanda tanya.
Mereka juga kurang pasti dan mempersoal mengapa saya perlu duduk di depan radio untuk menantikan lagu ‘Satu Hari Di Hari Raya’ oleh M. Nasir atau ‘Cahaya Aidilfitri’ oleh Black Dog Bone dimainkan dejay, kerana pada masa ini, mereka boleh mendengar lagu-lagu sedemikian, dan berulang kali jika mahu, dalam sekelip mata di Spotify.
Mereka juga tidak faham mengapa saya tidak sabar untuk mengambil akhbar yang diselitkan di pagar rumah.
Akhbar biasanya lebih tebal pada 1 Syawal dan mengandungi pelbagai artikel menarik dan iklan-iklan berwarna-warni yang pada pendapat saya menambah kemeriahan menyambut Hari Lebaran.
Sebaliknya, pada masa ini, generasi anak-anak saya hanya ‘swipe’ kiri dan kanan di alat paparan digital untuk membaca akhbar.
Apakah agaknya makna Hari Raya bagi generasi anak-anak kita atau generasi lebih muda?
Pengalaman hidup yang berbeza mencadangkan mereka akan menghayati Hari Raya dengan cara mereka tersendiri.
Perubahan tidak semestinya dicalit dengan label negatif kerana perubahan juga membuka jalan untuk peluang baru yang mungkin lebih memanfaatkan.
Kewujudan Netflix dan Spotify membolehkan kita menghiburkan diri mengikut jadual tersendiri dan membaca akhbar di alat elektronik bermakna kita boleh mengakses berita terkini di mana-mana saja.
Juga, jika anda pengikut setia akhbar ini, anda mungkin pernah membaca artikel individu yang pergi ke luar negara untuk membantu orang susah; individu yang berdakwah dengan cara tersendiri di media sosial dan golongan individu yang berbakti kepada orang lain, sempena Ramadan ini.
Kegiatan seperti ini kurang dilakukan atau sekurang-kurangnya kurang dipaparkan, semasa saya mendewasa.
Mungkin, makna sebenar Hari Raya bergantung pada perkara yang paling penting buat diri kita pada sesuatu masa dan perkara ini boleh berubah-ubah mengikut usia.
Justeru, tidak mengapa dan tidak salah jika perkara paling penting pada Hari Raya bagi seorang kanak-kanak ialah duit collection atau kuih tart.
Lebih penting ialah perkara-perkara sedemikian membuka laluan bagi anak-anak kita menjiwai makna Hari Raya yang lebih penting apabila dewasa nanti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg