Walaupun latar belakang dan aspirasi mereka berbeza tetapi kedua-dua Encik Salimul Fikri Mohammad Salman dan Cik Shafrin Farzana Shaik Dawood berkongsi sifat yang sama – berani melangkah keluar dari zon selesa.
Bagi Encik Salimul, 18 tahun, yang kini menuntut di Politeknik Temasek (TP) setelah menamatkan pendidikan rendah di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) untuk peringkat menengah, pengalaman terlibat dalam sambutan Hari Kebangsaan adalah sesuatu yang baru baginya.
Hal serupa turut dialami Cik Farzana, 21 tahun, pelajar tahun pertama bidang perakaunan di Institut Teknologi Singapura (SIT) yang sentiasa mencari pengalaman baru.
Sebelum ini, penuntut SIT itu memilih menjalani latihan amali di Vietnam sejurus selepas negara itu dibuka semula selepas pandemik Covid-19.
Baginya, memperoleh pengalaman baru adalah penting untuk pembelajaran dan pembangunan diri.
Jadi apabila ditawarkan peluang, kedua-dua remaja itu pantas menyatakan kesediaan menjayakan acara ‘Sambutan di Pesisiran NDP x NTUC’ di Promontory @ Marina Bay dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), sebagai jawatankuasa penganjur belia.
Sambutan tersebut adalah acara lanjutan sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.
“Peluang untuk melibatkan diri datang bergolek dan saya merebut peluang tersebut. Menerusi penglibatan ini, saya dapat menyumbang bakti kepada negara, sesuatu yang ingin saya lakukan sejak dahulu lagi,” ujar Encik Salimul.
“Ia adalah persekitaran yang baru dan syukur saya bertemu dengan sekumpulan kawan yang baik dan pastinya telah membantu saya beralih dan menyesuaikan diri dalam persekitaran sekolah sekular,” kongsi pemuda itu.
Bagi Cik Farzana pula, melalui penglibatan dalam jawatankuasa ini, beliau “dapat sama-sama membina masyarakat yang lebih memahami dan bertimbang rasa terhadap orang sekeliling dan berusaha ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya yang selama ini hanya menonton sambutan NDP di kaca televisyen, tetapi sekarang berpeluang menjadi sebahagian daripada penganjurannya.
Meskipun begitu, Cik Farzana tidak gentar untuk menyahut cabaran, termasuk ketika menjalani latihan amali di Vietnam yang ramai mempunyai keraguan akibat keadaan di sana pascapandemik.
“Kenapa tidak?,” balasnya apabila ditanya tentang keputusan ke negara Indochina itu.
“Semangat pengembaraan keluarga saya telah mempengaruhi minat saya terhadap penerokaan dan mencuba perkara baru. Kami sentiasa mencari pengalaman unik seperti mengembara dengan van semasa cuti bulan Jun, yang agak berbeza daripada percutian biasa kami.
“Dorongan keluarga telah menanamkan dalam diri saya keinginan untuk mencuba perkara baru dan berlainan serta memperoleh pelbagai pengalaman,” jelas Cik Farzana.
Kedua-dua mereka merupakan antara sekitar 40 ahli jawatankuasa tersebut, yang antara tugas yang dilakukan termasuk bekerjasama dengan belia lain dan berkongsi pandangan tentang unsur-unsur yang ingin diterapkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2024 seperti persembahan dan kegiatan yang diadakan.
Pada hari acara NDP 2024, Encik Salimul memainkan peranan sebagai ‘chaperone’ atau pendamping bagi artis dan mengiringi mereka dari bilik menunggu ke pentas manakala Cik Farzana pula, sebagai salah seorang pemimpin sukarelawan, ditempatkan di reruai pendaftaran ahli baru NTUC .
Mereka turut terlibat dalam pengagihan tiket untuk acara ‘Sambutan di Pesisiran NDP x NTUC’ di Promontory @ Marina Bayyang pada 9 Ogos, dan acara pratonton yang diadakan pada 3 Ogos lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg