Dengan hanya sedolar, penduduk Woodlands kini boleh membeli bagi barang dapur penting seperti beras, telur dan minyak masak daripada perniagaan kejiranan tertentu.
Ini merupakan sebahagian inisiatif MerchantDollarDeal$@Woodlands (MDD@Woodlands) yang dilancarkan di Woodlands North Plaza pada 16 Mac.
Usaha tersebut, yang diterajui pertubuhan akar umbi Woodlands sempena sambutan SG60, bertujuan membantu isi rumah kawasan tersebut dalam perbelanjaan harian mereka selain merangsang perniagaan dalam kejiranan.
Program tersebut, yang disokong peniaga, akan dijalankan sehingga akhir tahun ini dan menawarkan lebih 5,000 barang dengan harga $1 setiap bulan.
Selain barang dapur, tawaran itu juga merangkumi makanan seperti set sarapan kopi dan telur, antara lain.
Tawaran sedolar itu boleh ditebus menerusi peniaga tertentu di pusat kejiranan utama seperti cawangan Prime Supermarket di Admiralty Place dan pasar basah Woodlands North Plaza.
Hadir untuk merasmikan inisiatif itu ialah Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung yang juga AP GRC Sembawang dan Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Alvin Tan selaku tetamu khas.
Mengulas tentang usaha itu, Cik Mariam, yang mewakili divisyen Woodlands dalam GRC Sembawang, berkata ia lebih daripada sekadar membantu penduduk menangani keprihatinan kos kehidupan.
“Saya berharap MDD@Woodlands akan menggalakkan lebih banyak kunjungan ke kedai kejiranan dan membina hubungan yang kukuh antara perniagaan setempat dan masyarakat.
“Dengan menawarkan penjimatan bermakna, program ini bertujuan mengurangkan beban kewangan sambil memastikan perniagaan kejiranan kita kekal bertenaga dan menjalinkan hubungan dengan penduduk kita.”
Penduduk yang menetap di kesemua tujuh zon divisyen Woodlands boleh mendaftar di dalam talian menerusi go.gov.sg/mddw atau secara fizikal di Kelab Masyarakat Woodlands di Blok 832 Woodlands St 83 dan di pejabat Rangkaian Penduduk di Blk 638, Woodlands Ring Rd.
Memandangkan tawaran $1 berbeza setiap bulan, penduduk perlu mendaftar pada minggu pertama, sebelum mendapatkan baucar pada minggu kedua.
Baucar tersebut kemudian boleh digunakan dalam tempoh tebusan yang ditetapkan.
Antara penduduk Woodlands yang mengalu-alu usaha tersebut ialah suri rumah Siti Syahidah Mohamed Yunos, 32 tahun.
Ditemui BH, beliau akui bahawa kos kehidupan kini semakin tinggi dan beliau sendiri boleh rasa ‘tempiasnya’ apabila berbelanja barang dapur.
“Usaha ini adalah baik lebih-lebih lagi dalam membantu golongan yang susah. Dengan menyediakan barang keperluan asas seperti minyak, telur, air, penduduk tentunya boleh meraih manfaat daripada sokongan ini dan raih penjimatan apabila berbelanja,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg