Mengambil langkah berani untuk berhenti kerja selama enam bulan demi membangunkan sebuah pertubuhan bukan meraih untung bagi menolong belia berisiko bukanlah keputusan yang dibuat dengan tergesa-gesa, dedah pengasas Membina Community (Membina), Cik Sri Nur Asmaul Husna Mohamed Hussain.
Pada akhir 2022, Cik Husna, 28 tahun, yang ketika itu bertugas di Yayasan Mendaki sebagai pengurus program, mula berjinak-jinak dengan idea membina asas bagi sebuah pertubuhan yang akan dapat meningkatkan mutu kehidupan belia.
Untuk mendapatkan kejelasan fikiran, sebelum mendaftarkan Membina, Cik Husna dan suaminya, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, yang bertugas sebagai Pegawai Penglibatan di Yayasan Mendaki ketika itu, mengambil langkah untuk menunaikan umrah terlebih dahulu.
“Sedang kami menunaikan umrah, saya berkata kepada suami saya ‘okey mari kita teruskan dengan pendaftaran Membina’.
“Apa yang akan datang, biarlah ia datang.
“Alhamdulillah segala urusan bagi Membina dipermudahkan setelah itu, daripada mendapatkan dana kepada ruang yang sesuai disewa,” kata Cik Husna ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada 1 Oktober.
Pada 2024, hanya setahun setelah Membina ditubuhkan, ia telah berjaya melibatkan lebih 500 belia melalui program bimbingan, acara sukan dan kesihatan, serta kolaborasi bersama pertubuhan lain, di samping menyediakan ruang selamat bagi belia untuk berhimpun.
Ini dapat direalisasikan melalui geran pemerintah serta sumbangan dana daripada masyarakat menerusi kempen-kempen yang dilancarkan.
Atas jasanya membantu belia yang berhenti sekolah, diabaikan keluarga atau bermasalah, Cik Husna dianugerahkan Anugerah Belia Harapan, satu penghargaan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 4 Oktober.
“Kata-kata yang saya dan suami sentiasa berpegang teguh adalah untuk tidak pernah sesekali berputus asa dan berhenti menyokong mana-mana remaja.
“Ini kerana kadangkala, remaja itu hanya memerlukan satu orang dewasa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka daripada pengaruh negatif,” jelas Cik Husna.
Justeru, anugerah yang diberi dianggap sebagai satu peringatan bagi dirinya dan belia yang dibantunya, agar dapat meneruskan usaha untuk memperbaik diri bersama.
Anugerah tersebut juga satu lambang yang mencerminkan segala pengorbanan dan berkat doa dan sokongan keluarganya, tambah Cik Husna, yang juga berpengalaman mengendalikan program bagi penduduk flat sewa di bawah Projek Dian kendalian M3@Bedok.
Kesan daripada melancarkan ‘block parties’ atau perhimpunan, bagi penduduk flat sewa di Bedok amat mendalam, kongsi beliau.
“Salah seorang daripada keluarga yang saya temui merupakan seorang ibu empat anak yang juga suri rumah sepenuh masa.
“Namun apabila suaminya, pencari nafkah tunggal keluarganya, ditimpa kemalangan, dengan sekelip mata beliau perlu keluar bekerja buat pertama kalinya.
“Menerusi perhimpunan yang saya adakan, ibu itu akhirnya mendapatkan peluang kerja, hasil daripada interaksinya dengan penduduk lain,” kata Cik Husna.
Meskipun tidak lagi bersama Projek Dian sejak Februari 2025, Cik Husna masih lagi berhubungan dengan keluarga itu dan beliau melahirkan perasaan bangga melihat mereka dapat mengubah nasib hidup.
Kisah seperti keluarga itu adalah antara kisah kejayaan yang dapat dikongsi, namun Cik Husna akur masih terdapat jurang yang perlu diisi dan ramai lagi yang masih memerlukan bantuan.
Lantas, harapannya bagi masa hadapan Membina agar pertubuhan tersebut tidak lagi relevan, kerana ia bermakna tiada lagi isu sosial yang membelenggu diri belia.
“Saya akan sentiasa memberitahu golongan muda bahawa matlamat saya adalah untuk tidak menjadikan Membina relevan lagi pada masa hadapan.
“Apabila masa itu tiba, ini bermakna bahawa isu sosial dihadapi belia kita berjaya diatasi dan jika kita kenal pasti seorang belia yang berpotensi menjadi pemimpin masyarakat, kita akan segera individu tersebut,” tambah Cik Husna.
“
Kata-kata yang saya dan suami sentiasa berpegang teguh adalah untuk tidak pernah sesekali berputus asa dan berhenti menyokong mana-mana remaja. Ini kerana kadangkala, remaja itu hanya memerlukan satu orang dewasa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka daripada pengaruh negatif.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg