Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Kepimpinan Melayu/Islam tekad sokong aspirasi, dengar keprihatinan masyarakat

AP Melayu/Islam giat kumpul maklum balas; mahu lahir ekosistem di mana individu, masyarakat dapat menyerlah
Aug 28, 2025 | 5:30 AM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) dalam wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Wawancara itu diadakan menerusi format baru, yang melibatkan perkongsian oleh sekumpulan tetamu dari pelbagai bidang. Mereka ialah (duduk di barisan belakang, dari kiri) Encik Nassar Mohamad Zain, presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM); Cik Yulianna Frederika, pengasas Lepak Conversations; Encik Jihad Suhaimi, asatizah bebas dan pengasas Membina Community; dan (duduk di barisan depan, dari kiri) Cik Hana Dafina Zulkiffli serta Cik Eliya Mohamed Fawzi, pengasas Play4Good, sebuah inisiatif sukan sambil beramal. Di sebelah Dr Faishal ialah koresponden BH, Cik Irma Kamarudin sebagai moderator.
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) dalam wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Wawancara itu diadakan menerusi format baru, yang melibatkan perkongsian oleh sekumpulan tetamu dari pelbagai bidang. Mereka ialah (duduk di barisan belakang, dari kiri) Encik Nassar Mohamad Zain, presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM); Cik Yulianna Frederika, pengasas Lepak Conversations; Encik Jihad Suhaimi, asatizah bebas dan pengasas Membina Community; dan (duduk di barisan depan, dari kiri) Cik Hana Dafina Zulkiffli serta Cik Eliya Mohamed Fawzi, pengasas Play4Good, sebuah inisiatif sukan sambil beramal. Di sebelah Dr Faishal ialah koresponden BH, Cik Irma Kamarudin sebagai moderator. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kepimpinan Melayu/Islam akan sedaya upaya menyokong masyarakat menggapai aspirasi, mewujudkan ekosistem kerjasama dan mempertingkat usaha mendengar keprihatinan masyarakat, termasuk mencari cara baru berbuat demikian, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal berkata beliau berharap dapat membangunkan sebuah ekosistem di mana setiap individu boleh “menjadi versi terbaik diri mereka” dengan kerjasama kolektif masyarakat.

“Saya harap kita boleh membangunkan satu rangkaian dan ekosistem di mana setiap individu dalam masyarakat kita boleh menjadi versi terbaik diri mereka, dan ini adalah aspirasi yang ramai berkongsi dengan saya,” kata beliau.

“Saya sedang memikirkan bagaimana kita boleh merealisasikannya dari segi visi dan juga dari segi rancangan dan program-program yang harus kita lakarkan,” tambah beliau, sambil berkata para Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam juga turun padang untuk mendengar dan mengumpulkan maklum balas dan idea daripada masyarakat.

Beliau memberi komitmen tersebut dalam satu wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei 2025.

Sesi wawancara itu turut disertai lima tetamu – asatizah bebas dan pengasas Membina Community, Encik Jihad Suhaimi; Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain; pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika; dan pengasas bersama Play4Good, Cik Hana Dafina Zulkiffli dan Cik Eliya Mohamed Fawzi.

Sesi tersebut dikelolakan koresponden BH, Cik Irma Kamarudin, selaku moderator.

Dalam perbualan sekitar dua jam itu, para tetamu menyuarakan beberapa keprihatinan yang dekat dengan hati masyarakat Melayu/Islam setempat, antaranya termasuk pembangunan asatizah dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), peranan badan-badan Melayu/Islam, aspirasi belia, konflik Gaza dan peluang bagi individu menyumbang kepada masyarakat.

Dalam topik mengenai asatizah, Dr Faishal berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus memantau pembangunan golongan itu dari segi gaji dan latihan mereka.

Ini di samping terus berusaha membangunkan asatizah secara lebih menyeluruh supaya mereka memiliki kemahiran untuk menyumbang bukan hanya kepada pembangunan agama, malah institusi Islam dan juga dalam bidang lain seperti kaunseling.

Dr Faishal turut mengetengahkan rancangan beliau untuk memperdalam kerjasama bersama badan-badan Melayu/Islam (MMO), sambil mempertingkat kolaborasi MMO dengan agensi pemerintah.

“Kita ada rangkaian M Kuasa Tiga (M³), dan oleh itu, (kita mahu lihat) bagaimana kita boleh memberikan peluang kepada lebih banyak MMO untuk memainkan peranan, bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi di peringkat akar umbi juga.

“Ini supaya kita boleh menolong lebih ramai warga Singapura dan juga supaya kita boleh memastikan sokongan dan bantuan sampai kepada golongan yang paling memerlukannya,” kata beliau.

Semasa wawancara itu, Dr Faishal turut berkata golongan belia tidak lama lagi akan mempunyai platform lebih luas untuk berkongsi idea tentang cara menyumbang kepada masyarakat, merujuk kepada pasukan petugas pembangunan belia Melayu/Islam baru yang akan diketuai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.

Dr Faishal melahirkan harapannya ingin melihat lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam tampil menyumbang kepakaran dan keupayaan mereka kepada masyarakat dan negara – semangat kekitaan yang dimahukan supaya semua dapat mencapai aspirasi bersama.

“Saya akan meneruskan usaha dan juga bekerjasama dengan rakan-rakan AP yang lain untuk turun padang… supaya kita boleh membangunkan satu masyarakat yang walaupun pelbagai, tetapi mendapat peluang untuk menjadi versi yang terbaik kepada diri mereka sendiri pada masa kini dan insya-Allah, pada fasa-fasa kehidupan mereka pada masa akan datang,” kata beliau.

Mengimbau pengalaman sebagai pemangku menteri, Dr Faishal berkata beliau telah mendekati masyarakat melalui lebih 50 sesi berasingan, selain secara secara informal di tempat-tempat seperti kedai kopi dan pasar.

Terharu dengan sambutan baik yang diterima, Dr Faishal memuji sifat mesra dan ihsan masyarakat Melayu/Islam, sambil menambah ia satu aspek yang ingin diluaskan dalam tugas beliau.

“Masyarakat kita adalah satu masyarakat, yang pertama, mempunyai banyak keihsanan. Yang kedua, mereka mensyukuri apa yang mereka dapat. Yang ketiga, mereka ini sebagai satu keluarga besar,” ujar beliau, lalu menekankan hasrat untuk memperluas ciri-ciri ini.

“Kita bukan saja menjadi satu masyarakat yang berjaya, malah dapat merasakan kenikmatan yang diberikan dan juga mempunyai kesyukuran sebagai satu masyarakat dan boleh menyumbang bakti kepada masyarakat kita dan juga kepada negara kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg