Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beri pesakit hormon terlarang: Hukuman dikekal ke atas doktor

Jul 10, 2025 | 3:50 PM
mahkamah, hormon terlarang, doktor
Keputusan Mahkamah menolak rayuan Dr Ian Lee Pheng Lip daripada Integrated Medicine Clinic, terhadap 17 pertuduhan salah laku profesional di bawah Akta Pendaftaran Perubatan, pada 8 Julai. - Foto fail ST

Seorang doktor yang memberikan pesakit preskripsi pelbagai jenis ubat hormon tidak diluluskan – termasuk hormon daripada kelenjar tiroid babi – gagal dalam rayuannya di mahkamah tertinggi untuk membatalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC).

Sebaliknya, sabitan terhadap Dr Ian Lee Pheng Lip, seorang doktor swasta (GP) daripada Integrated Medicine Clinic, dikekalkan.

Dia akan digantung daripada amalan perubatan selama 18 bulan bermula dua minggu akan datang, dan perlu membayar $50,000 kepada SMC bagi menampung kos rayuan.

Keputusan Mahkamah Tiga Hakim, yang terdiri daripada Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Mahkamah Rayuan Tay Yong Kwang, dan Hakim Kanan Judith Prakash, untuk menolak rayuan Dr Lee terhadap 17 pertuduhan salah laku profesional di bawah Akta Pendaftaran Perubatan, diputuskan pada 8 Julai.

Ketiga-tiga hakim berpendapat tribunal tatatertib bertindak tepat dalam menjatuhkan hukuman kepada Dr Lee dan hukuman yang dikenakan “tidak keterlaluan”.

Sebuah jawatankuasa aduan (CC) memulakan siasatan terhadap Dr Lee pada 8 Mei 2014 susulan aduan SMC bahawa dia menawarkan khidmat di luar kebiasaan.

Ini menyusuli langkah Kementerian Kesihatan (MOH) yang memaklumkan SMC mengenai tindakan Dr Lee memberi preskripsi ubat hormon tidak diluluskan antara 2011 dengan 2014.

Ia termasuk hormon Erfa yang dibuat daripada kelenjar tiroid babi; campuran estrogen Biest dan Triest; serta hormon testosteron dan progesteron.

Apabila lesen kliniknya tamat pada 16 Mac 2015, MOH menolak permohonan lanjutan Dr Lee untuk meneruskan khidmat klinik tersebut kerana dia gagal menunjukkan niat untuk menghentikan rawatan hormon kepada pesakit.

Menyusuli siasatan lanjut, SMC mengeluarkan surat aduan kedua pada 30 April 2015, lapor The Straits Times (ST).

Ketika diminta memberi penjelasan bertulis, Dr Lee berpendapat dia berhak memberi preskripsi ubat hormon tersebut kepada para pesakit.

Pihak CC memaklumkan kepada Dr Lee pada 12 Februari 2018 bahawa ia telah mengarahkan siasatan melibatkan tribunal tatatertib.

Dr Lee mencabar proses tersebut, namun rayuannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal.

Susulan itu, SMC mengenakan 21 pertuduhan terhadap Dr Lee pada 22 April 2021 kerana memberi “rawatan tidak berasaskan bukti”, yang tidak diterima secara meluas.

Dua saksi pakar memberi keterangan bagi pihak SMC, dan perbicaraan diadakan pada 6 Jun 2023.

Keputusan diumumkan pada 16 Jan 2024, dan pada 4 Jun 2024, pendaftaran Dr Lee digantung 18 bulan, dan dia diarahkan menanggung sebahagian besar kos guaman SMC.

Dalam rayuannya, Dr Lee berhujah keputusan tribunal tidak disokong bukti dan mengabaikan pengakuan penting saksi. Dia juga mendakwa tindakan ke atasnya tidak adil kerana MOH tidak menjelaskan sama ada terapi hormon yang digunakan itu dilarang atau tidak.

Dr Lee berpendapat surat amaran lebih sesuai sebagai hukuman ke atasnya, dan memfailkan rayuan ke mahkamah tertinggi Singapura. Namun, rayuannya ditolak dan sabitan serta hukuman penggantungannya dikekalkan oleh mahkamah tertinggi pada 8 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg