Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suplemen kesihatan: Keperluan atau sekadar gimik?

Jun 1, 2025 | 5:30 AM
Daripada kolagen untuk kulit hingga ke pil omega-3 untuk kesihatan otak dan magnesium untuk tidur, ramai yang mengambil pelbagai suplemen untuk menjaga kesihatan.
Daripada kolagen untuk kulit hingga ke pil omega-3 untuk kesihatan otak dan magnesium untuk tidur, ramai yang mengambil pelbagai suplemen untuk menjaga kesihatan. - Foto PIXABAY 

Penuaan adalah sesuatu yang pasti, tetapi bagaimana kita menjaga kesihatan merupakan perkara lebih penting.

Ketika saya memasuki tahun-tahun terakhir 20-an, saya sudah mula mengutamakan kesihatan.

Bersenam secara konsisten, makan seimbang dan cuba untuk dapatkan tujuh jam tidur sehari.

Kebelakangan ini pula, ramai rakan sebaya saya sering kali bercakap tentang kepentingan suplemen kesihatan.

Daripada kolagen untuk kulit hingga ke pil omega-3 untuk kesihatan otak dan magnesium untuk tidur, ramai yang mengambil pelbagai suplemen untuk menjaga kesihatan.

Mungkin tiada tekanan untuk mengambil suplemen tetapi ia sering dipromosikan selebriti media sosial dan mudah diakses di dalam talian atau di farmasi.

Jadi kalau tak makan, macam FOMO (singkatan bagi frasa Fear of Missing Out, atau takut ketinggalan).

Jadi persoalannya adalah: Adakah kita benar-benar memerlukan semua ini atau suplemen ini hanya ‘trend’ kesihatan dengan pemasaran yang menarik perhatian ramai?

Menurut Cik Joyce Ho, ahli farmasi kanan di Hospital Alexandra, walaupun kebanyakan orang boleh mendapatkan vitamin melalui diet, ada golongan tertentu yang mungkin memerlukan suplemen.

“Wanita hamil, sebagai contoh, memerlukan suplemen seperti asid folik (Vitamin B9) yang penting untuk perkembangan otak dan tulang belakang janin,” katanya.

“Mereka yang mengamalkan diet vegetarian atau vegan pula lebih berisiko mengalami kekurangan Vitamin B12 kerana nutrien ini hanya terdapat dalam makanan haiwan.”

Bagaimanapun, menurut Cik Ho, pengambilan vitamin secara berlebihan boleh mendatangkan kesan negatif.

“Pengambilan vitamin larut lemak secara berlebihan dalam jangka panjang boleh menyebabkan pengumpulan dan keracunan,” jelasnya.

Beliau menambah, sesetengah vitamin juga boleh ada reaksi yang kurang baik dengan ubat-ubatan.

Sebagai contoh, Vitamin K boleh mengurangkan keberkesanan ubat cair darah Warfarin.

Dengan suplemen kini mudah diakses di dalam talian, terdapat kepentingan untuk orang ramai lebih peka tentang apa yang mereka ambil.

Industri suplemen tidak bebas daripada risiko, terutama apabila produk itu dibeli dari sumber tidak sah.

Di Singapura, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah beberapa kali mengeluarkan amaran mengenai produk kesihatan haram yang mengandungi bahan berbahaya yang tidak diisytiharkan.

Pada 2014, HSA telah mengeluarkan kenyataan tentang produk ‘Nutri Drops Grapefruit Diet’ dan ‘Nutrex Research Adipodex’ yang dipasarkan sebagai produk pelangsing badan semula jadi, didapati mengandungi bahan terlarang seperti sibutramine dan yohimbine.

Penggunaannya menyebabkan kesan sampingan serius termasuk halusinasi dan kegagalan buah pinggang akut, sehingga ada yang dimasukkan ke hospital.

Kes lain yang membimbangkan pada tahun yang sama ialah ‘Herbal Health Jointcare’, yang didakwa sebagai rawatan semula jadi untuk sakit sendi.

Ujian HSA mendedahkan bahawa ia mengandungi lima bahan perubatan berbahaya yang tidak diisytiharkan, termasuk steroid betamethasone-17-valerate.

Pengambilan steroid tanpa pengawasan dalam jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan serius seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan sindrom Cushing.

Sindrom Cushing adalah kumpulan gejala yang muncul akibat terlalu tingginya kadar hormon kortisol di dalam tubuh.

Hormon tersebut boleh meningkatkan risiko mengalami penyakit kronik, termasuk kencing manis.

Kes-kes ini menunjukkan betapa bahayanya pengambilan suplemen yang tidak dikawal.

Tarikan terhadap “penyelesaian segera” dan janji kesejahteraan boleh mengaburkan pertimbangan kita.

Jadi jika anda tanya saya, untuk mendapatkan nutrien yang diperlukan, saya rasa makan secara seimbang sudah mencukupi.

Tetapi jika anda ingin mengambilnya, dapatkan nasihat pakar sebelum mengambil sebarang suplemen kesihatan.

Kesimpulannya, walaupun idea mengambil suplemen untuk kesihatan masa depan kedengaran menarik, kita perlu lebih berhati-hati dan kritikal.

Penuaan secara sihat bukan tentang mengejar ‘trend’, tetapi tentang amalan kesihatan yang konsisten dan berasaskan bukti.

Jangan biarkan ketakutan menentukan pilihan kesihatan kita.

Lebih baik kita fokus kepada kehidupan yang sihat dan seimbang mulai hari ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg