Bak pucuk dicita, ulam mendatang.
Penghuni kawasan Tampines serta bakal penduduk kawasan Tengah mengalu-alukan berita mengenai dua masjid yang bakal dibina di Tampines North dan estet baru Tengah.
Penduduk yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi kegembiraan mereka tentang berita tersebut yang datang sebagai ‘kejutan manis’ pada bulan suci Ramadan.
Ini terutamanya bagi penduduk Tampines yang mengatakan masjid baru di Tampines North itu akan membantu mengurangkan kesesakan di masjid-masjid lain yang berdekatan, seperti Masjid Darul Ghufran di Tampines, Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris dan Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok.
Sementara itu, mereka yang bakal berpindah ke Tengah pula berkata pembinaan sebuah masjid di estet perumahan baru itu akan menawarkan keselesaan dan kemudahan bagi penduduk menunaikan ibadah dan juga terlibat dalam kegiatan masyarakat.
Pada 4 Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa pembinaan masjid di Tampines North, yang sebelum ini tergendala akibat pandemik Covid-19, akan dimulakan pada 2027. Ia akan didirikan di tapak sepanjang Tampines North Drive 5.
Lokasi dan butiran lanjut untuk masjid baru di Tengah pula akan dikongsi pada masa akan datang.
Menyambut baik pengumuman pembinaan masjid di Tampines North itu, pensyarah, Encik Firdaus Asat, 37 tahun, berkata masjid baru itu bukan sahaja akan memberi lebih banyak ruang untuk solat berjemaah, tetapi juga membantu mengurangkan kesesakan di masjid-masjid sedia ada, terutamanya pada setiap Jumaat dan Ramadan.
“Selain itu, masjid ini boleh menambah satu lagi pusat komuniti yang menawarkan pelbagai program keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan, yang akan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” kata beliau, yang tinggal di kawasan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru, Tampines Greengem.
Pada masa ini, Encik Firdaus biasanya menunaikan solat di Masjid Alkaff Kampung Melayu, yang terletak berdekatan dengan rumahnya.
Mahasiswa universiti, Encik Muhammad Naqib Iman, 22 tahun, pula berkata disebabkan bilangan penduduk Islam yang ramai di Tampines, dan ditambah pula jemaah yang ingin datang ke Tampines dan juga pekerja asing, Masjid Darul Ghufran boleh menjadi sesak, terutamanya semasa hari cuti umum.
“Harapan saya adalah agar pembinaan masjid baru berjalan dengan lancar, dan masjid dapat menghasilkan sukarelawan dan belia yang proaktif dan menjadi ruang yang terbuka dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya, yang tinggal di Tampines Central.
Penduduk Tampines Greenverge, Encik Abdul Hakim Mohd Zakaria, 42 tahun, pula berkata masjid baru itu akan dapat lebih memudahkan umat Islam di kawasan Tampines, Simei dan Pasir Ris, untuk beribadah.
“Saya harap masjid baru ini akan mempunyai kemudahan yang baik dan prasarana moden dan selesa untuk jemaah,” kata pegawai awam itu.
Sementara itu, pengerusi kariah Greenweavers di blok 611 Tampines North Drive 1, Encik Muhammad Hydil Jamil, berkata pengumuman masjid baru itu adalah sesuatu yang dinanti-nanti ramai penduduk dan sukarelawan sejak sekian lama.
Masjid di Tampines North itu kali pertama diumumkan pada 2015, namun disebabkan Covid-19, rancangannya tertunda dan itu antara sebab kariah Greenweavers ditubuhkan, tambah beliau.
“Namun, dengan cadangan masjid baru terletak bertentangan lokasi kariah kami, ia satu langkah yang mendapat sambutan baik oleh sukarelawan dan juga penduduk di kawasan ini.
“Kami gembira menjadi sukarelawan di masjid apabila tiba masanya sekiranya diberi peluang,” kata beliau.
Bakal penduduk kawasan Tengah juga teruja dengan berita masjid baru di estet perumahan mereka.
Guru prasekolah, Cik Sri Atika Nabilah Huzaini, 30 tahun, berkata masjid baru itu bukan hanya akan menjadi sebuah rumah ibadah, malah akan menyediakan peluang bagi pembelajaran dan kegiatan sosial, terutamanya untuk anak-anak muda.
“Ia akan menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka berkembang secara rohani melalui kelas, program belia, dan hubungan dengan rakan sebaya yang berkongsi nilai yang sama.
“Secara keseluruhannya, saya positif tentang kesan masjid terhadap generasi dewasa dan muda, dan ia membuat saya lebih teruja untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat Tengah,” kata beliau, yang dijangka berpindah ke kawasan itu pada suku ketiga 2025.
Bagi Encik Muhammad Azhari, 29 tahun, pula, masjid baru itu akan menyediakan kemudahan kepada penduduk Tengah yang kini perlu pergi ke masjid di kawasan lain yang berhampiran untuk beribadah, seperti Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok dan Masjid Al-Mukminin di Jurong East.
“Kami bersyukur kerana ini akan dapat menjimatkan masa perjalanan dan kami juga tidak perlu ‘bersaing’ dengan orang ramai di masjid-masjid yang berdekatan.
“Tambahan pula, ini satu berita gembira dalam bulan suci Ramadan ini,” kata ketua pasukan teknologi maklumat (IT) itu.
Beliau dan isteri akan berpindah ke Tengah pada 2027.
Menulis di Facebook, Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, melahirkan rasa gembiranya apabila dapat tahu Majls Ugama Islam Singapura (Muis) akan menyambung semula rancangan membina masjid di Tampines North, dengan pembinaan akan bermula pada 2027.
“Saya pasti berita terkini ini akan disambut baik oleh penduduk Muslim kita, terutamanya dalam Ramadan penuh keberkatan ini,” kata beliau.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, yang juga AP SMC Hong Kah North, pula berkongsi dengan BH bahawa berita terkini itu adalah sesuatu yang menggembirakan, terutamanya bagi penduduk Melayu/Islam di Tengah yang semakin berkembang di kawasan itu.
“Masjid baru akan menjadi tempat tumpuan bagi penduduk Islam di Tengah dan mengukuhkan identiti Islam di kawasan itu, sementara bekerjasama dengan badan-badan agama lain di kawasan tersebut agar keharmonian kaum dan agama dapat diperkukuh dan membantu ke arah membina sebuah Singapura yang kukuh dan bersatu padu,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg