Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Pembinaan dua masjid penuhi keperluan masyarakat dua kawasan baru

Penduduk Islam kian bertambah di Tampines, pembangunan estet perumahan di Tengah antara faktor pembinaan masjid baru
Mar 4, 2025 | 10:35 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kedua-dua masjid yang bakal dibina itu, di Tampines North dan Tengah, dapat dibangunkan disebabkan kadar inflasi yang sudah stabil dan keperluan yang sedia ada.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kedua-dua masjid yang bakal dibina itu, di Tampines North dan Tengah, dapat dibangunkan disebabkan kadar inflasi yang sudah stabil dan keperluan yang sedia ada. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Pembinaan dua masjid baru di Tampines North dan Tengah akan dapat memenuhi keperluan masyarakat yang dijangka bertambah di situ, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Ini memandangkan jumlah penduduk Melayu/Islam semakin meningkat di kedua-dua kawasan tersebut. 

Encik Masagos menambah dengan keadaan inflasi boleh dilihat lebih stabil, inilah waktunya untuk kita mengatakan menetapkan (lock-in) harga pembangunan masjid-masjid.

“Saya gembira Perdana Menteri dan pemerintah bersetuju untuk kita mulakan kembali projek pembinaan masjid di Tampines North dan beliau bersetuju untuk kita meneruskan projek pembangunan masjid di kawasan perumahan Tengah.

“Keputusan dibuat pada pelbagai waktu dan dalam keadaan yang berbeza. Dengan keadaan inflasi boleh dilihat lebih stabil, inilah waktunya untuk kita menetapkan (lock-in) harga pembangunan masjid,” katanya.

Encik Masagos berkata demikian selepas Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pembinaan dua masjid baru itu ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama sekitar 1,000 masyarakat Islam di Masjid Al-Istighfar.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin masyarakat dan agama serta jemaah masjid. 

Masjid baru di Tampines North akan dibina pada 2027 di sebuah tapak di Tampines North Drive 5, manakala butiran mengenai masjid di Tengah akan diumumkan kelak.

Pembinaan masjid baru di Tampines North itu kali pertama diumumkan pada 2015 tetapi ditangguh pada 2021 akibat pandemik Covid-19.

Encik Masagos menambah bahawa sejak Covid-19 melanda, banyak projek pembinaan yang dilaksanakan oleh pemerintah terpaksa ditangguhkan dan tidak diteruskan bagi mengelak kerja pembinaan dengan sumber yang berkurangan.

Sesuai dengan itu, Muis sentiasa menyelaras dengan agensi pemerintah dalam pelaksanaan pembinaan masjid dan infrastrukturnya, tambah beliau.

Ketika majlis berbuka itu, Encik Wong beramah mesra dengan jemaah serta diberi taklimat ringkas mengenai Sektor Satu Masjid oleh Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim.

Beliau juga melawat panel pameran yang memaparkan penglibatan Masjid Al-Istighfar dalam program dan projek masyarakat di Pasir Ris di dalam dan luar masjid.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, yang turut menghadiri majlis itu, berkata masjid tersebut hanya sebuah bangunan tanpa jemaahnya.

“Tetapi bagi masjid, yang pentingnya adalah jemaah dan sukarelawan serta jemaah yang turut membina masjid.

“Masjid itu tanpa jemaah, tanpa sukarelawan, tanpa anggotanya, adalah sebuah bangunan kosong sahaja. Jadi saya berharapkan, dengan adanya lagi dua masjid, semangat bersukarelawan, semangat berjuang untuk masyarakat diteruskan.” 

Encik Sharael berkata dengan ramai jemaah dalam masjid, ia menandakan sesuatu yang baik dalam masyarakat. Menurutnya, jemaah masjid bukan hanya terdiri daripada penduduk di kawasan itu, namun pekerja di Lapangan Terbang Changi serta pekerja asing yang menginap di dormitori.

Pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan, juga berpendapat ia bukan sahaja akan memanfaatkan masyarakat di Tampines tetapi juga di kawasan timur Singapura.

“Saya rasa ini adalah berita yang telah lama dinantikan, bukan hanya untuk Pasir Ris, tetapi juga untuk kawasan Simei dan Tampines, khususnya.

“Pembukaan masjid di Tampines North pastinya akan memudahkan penduduk di kawasan timur, bukan hanya untuk solat Jumaat, tetapi juga untuk sambutan Hari Raya.”

Beliau percaya dengan adanya masjid itu, lebih banyak aktiviti dapat dijalankan dan mampu memperkasa masyarakat.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), penduduk Tampines North mengalu-alukan masjid baru itu dengan mengatakan ia dapat mempermudahkan lagi urusan ibadah masyarakat kawasan tersebut.

Pembinaan masjid di Tampines dapat mengurangkan tekanan pada dua masjid di sekitarnya – Masjid Al-Istighfar dan Masjid Darul Ghufran. Masing-masing mempunyai kapasiti sebanyak 5,500 dan 3,300 jemaah dan biasanya penuh semasa solat Jumaat.

Setakat ini, penduduk di kawasan itu hanya mempunyai alternatif Masjid Darul Ghufran, yang terletak di Tampines Ave 5 dan Masjid Al-Istighfar, di Pasir Ris Walk.

Seorang penduduk di Tampines North iaitu di Tampines Greenweave, Cik Raihana Razali, 35 tahun, berkata masjid baru itu dapat menampung jumlah jemaah yang ramai di kedua-dua Masjid Darul Ghufran dan Masjid Al-Istighfar.

“Saya gembira dan sangat menantikan masjid baru ini kerana apa yang kita lihat di Masjid Al-Istighfar dan Masjid Darul Ghufran ialah ia tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat.

“Saya juga boleh lebih mudah membawa anak lelaki saya (yang berusia lima tahun) ke masjid,” tambahnya.

Menurutnya, jarak berjalan kaki ke Masjid Darul Ghufran mengambil masa sekitar 20 minit dari rumahnya, namun dengan masjid yang baru itu, ia dijangka hanya mengambil kurang daripada 10 minit.

Cik Raihana Razali, 35 tahun, akan dapat mengurangkan perjalanan ke masjid daripada 20 minit kepada kurang daripada 10 minit dengan penubuhan masjid baru.
Cik Raihana Razali, 35 tahun, akan dapat mengurangkan perjalanan ke masjid daripada 20 minit kepada kurang daripada 10 minit dengan penubuhan masjid baru. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Seorang lagi penduduk yang menginap di Tampines Greencourt, Encik Mohammad Nasir Nasrin, 33 tahun, gembira dengan pengumuman itu kerana masjid tersebut lebih dekat dengan rumahnya.

Menurutnya, ia akan meringankan kesesakan di Masjid Darul Ghufran.

“Dengan masjid baru ini, saya tidak perlu berasak untuk ke solat Jumaat, dan ruang akan menjadi lebih luas dengan pembinaan masjid baru ini,” katanya yang sudah menginap di sana selama tiga tahun.

Berkongsi harapannya, Encik Nasir berharap masjid itu dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti dan lebih ramai jemaah dapat melaksanakan ibadah mereka.

Encik Mohammad Nasir Nasrin, 33 tahun, berpendapat dengan masjid terbaru itu, ia dapat meringankan kesesakan di Masjid Darul Ghufran.
Encik Mohammad Nasir Nasrin, 33 tahun, berpendapat dengan masjid terbaru itu, ia dapat meringankan kesesakan di Masjid Darul Ghufran. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg