Dua lagi masjid akan dibina di Singapura, termasuk masjid yang terbaru diumumkan di bandar Tengah. Pembinaan untuk masjid di Tampines North, yang sebelum ini tergendala akibat pandemik Covid-19, juga akan dimulakan pada 2027.
Masjid di Tampines North itu, yang pertama kali diumumkan pada 2015, akan didirikan di tapak sepanjang Tampines North Drive 5.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan demikian semasa menghadiri acara berbuka puasa di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris pada 4 Mac.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata walaupun pendekatan pemerintah adalah sekular, ia tetap mengiktiraf pentingnya kepercayaan agama yang boleh menjadi kuasa positif kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata pemerintah akan terus mengambil kira keperluan agama penduduk, termasuk keperluan menyediakan tempat ibadah seperti masjid dalam perancangan pembangunan negara.
“Saya yakin kedua-dua masjid baru ini akan menyokong keperluan masyarakat Islam kita dengan lebih baik, di samping anda meneruskan usaha anda untuk berkembang.
“Saya juga berharap kita akan meneruskan usaha untuk menyokong satu sama lain dalam masyarakat, dan mengukuhkan keharmonian kita yang berbilang kaum dan agama, sebagai satu rakyat yang bersatu padu.
“Semangat inilah yang akan membolehkan kita membina masa depan yang lebih baik bersama. Inilah cara Singapura boleh terus maju dan berjaya untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata Encik Wong.
Encik Wong berada di masjid tersebut untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama sekitar 1,000 jemaah.
Semasa ucapannya kepada pemimpin masjid, Encik Wong berkata Muis sedang bekerjasama dengan agensi-agensi untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina masjid baru di Tengah itu, dan butiran lanjut akan dikongsi pada masa akan datang.
“Penduduk di bandar baru ini (Tengah) semakin berkembang, dengan lebih ramai keluarga muda yang berpindah, termasuk keluarga Islam. Justeru, perlu ada masjid di sana,” katanya.
Ketika ditanya Berita Harian (BH), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata butiran lanjut tentang kapasiti, lokasi dan kos untuk pembinaan masjid akan diumumkan pada masa akan datang. Sehingga kini, terdapat 71 buah masjid yang telah dibina di Singapura.
Menurut Pelan Induk Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat BH, terdapat sekurang-kurangnya tiga lokasi yang telah diperuntuk untuk pembinaan tempat ibadah seperti gereja, kuil dan masjid di Tengah.
Ini termasuk dua tapak tanah yang telah diperuntuk di sepanjang Tengah Garden Avenue dan tapak tanah bersebelahan Pusat Pertukaran Bas Tengah di Tengah Boulevard.
Bagi masjid baru di Tampines North pula, terdapat dua kawasan yang telah diperuntuk untuk membina tempat ibadah di kawasan tersebut.
Turut hadir di majlis berbuka puasa itu ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, Presiden Muis, Encik Saat Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, serta anggota Majlis Muis.
Beberapa Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol – Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan serta Encik Sharael Taha turut hadir.
Semasa ditemui Encik Masagos berkata dengan kadar inflasi yang lebih stabil, inilah masanya untuk menetapkan harga pembangunan masjid.
“Diharapkan dengan inflasi yang semakin stabil, ini adalah masa yang sesuai untuk menetapkan harga, daripada menunggu ia meningkat lagi pada masa hadapan,” katanya.
Masjid Yusof Ishak, yang terletak di Woodlands dan dibuka pada 2017, merupakan masjid yang terkini dibina oleh Muis menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), dan telah menelan belanja sekitar $18 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg