Penumpang di 68 stesen kereta api kendalian SMRT kini boleh mengikuti perkembangan berita terkini menerusi ringkasan berita siaran suara berbahasa Inggeris daripada The Straits Times (ST).

Stesen berkenaan terletak di Laluan Utara-Selatan (NSL), Timur Barat (EWL) dan Circle (CCL), serta laluan Bukit Panjang LRT (BPLRT), menurut kenyataan bersama SPH Media, syarikat induk ST, dan SMRT Corp pada 7 Oktober.

Ringkasan berita selama tiga hingga empat minit itu akan disiarkan pada setiap awal jam dari 7 pagi hingga 8.30 malam, Isnin hingga Sabtu.

Ringkasan berita itu tidak akan disiarkan di stesen Bedok, Tanah Merah, Gul Circle, Tuas Crescent, Tuas West Road dan Tuas Link di EWL, serta stesen Braddell di NSL.

Di CCL, siaran itu hanya tersedia di stesen Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road, sementara SMRT berusaha memperluasnya ke lebih banyak stesen.

Siaran di BPLRT mengikut jadual berbeza iaitu dari 7 pagi hingga 10 pagi, 11.30 pagi hingga 2.30 petang dan 5 petang hingga 8 malam.

Langkah itu berdasarkan kerjasama SPH Media dan SMRT Corp yang dimeterai pada Januari untuk membantu penumpang mengikuti perkembangan semasa ketika dalam perjalanan. Dua lagi projek turut dirancang.

Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, berkata: “Ini langkah pertama yang bermakna untuk menyediakan berita yang dipercayai kepada penumpang dalam perjalanan harian mereka.”

“Dengan menjadikan ST sebahagian daripada pengalaman di stesen, kami dapat menyampaikan maklumat terkini dan dipercayai kepada penumpang ketika mereka dalam perjalanan.”

Ketua Eksekutif (CE) Kumpulan SMRT Corp, Encik Ngien Hoon Ping, berkata SPH Media dan SMRT berkongsi “nilai perkhidmatan awam yang kukuh”.

Beliau menambah: “Gabungan rangkaian SMRT dan kandungan SPH Media membolehkan orang ramai mengikuti berita yang dipercayai dan perkembangan terkini sepanjang perjalanan harian.”

“Kami percaya kerjasama ini akan menjadikan perjalanan lebih baik dan kami teruja dapat menyampaikan berita bermutu kepada penumpang kami.”

Selain itu, berita ST dan akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao akan dipaparkan pada skrin digital di kawasan stesen dan platform SMRT serta beberapa stesen bas terpilih.

Mesin jualan akhbar SPH Media, iaitu ST, Zaobao, Berita Harian dan Tamil Murasu, juga akan ditempatkan di stesen kereta api kendalian SMRT, bermula di Choa Chu Kang pada 15 Oktober.