Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karya seni baru serikan 40 stesen MRT mulai 2026

Oct 22, 2025 | 5:30 PM
Karya seni serikan 40 stesen MRT,  Baey Yam Keng, LTA
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng (kiri), yang juga Mayor Daerah North East, sedang meninjau karya peringatan bertajuk ‘Seeing History Through The Bamboo Forest’ di stesen MRT Little India bersama pelukis, Encik Yeo Siak Goon, pada 21 Oktober. - Foto ST

Karya seni baru akan ditambah di 40 stesen MRT sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Timur-Barat (EWL) mulai 2026.

Fasa pertama akan menampilkan karya seni baru di stesen Bugis, Novena dan Outram Park – memberi pengalaman positif kepada penumpang yang mengunjungi hospital berdekatan seperti Hospital Raffles, Tan Tock Seng (TTSH) dan Hospital Besar Singapura (SGH), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 21 Oktober.

Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan usaha ini adalah sebahagian program Art In Transit yang bertujuan membawa lebih keceriaan ke stesen MRT.

Sejauh ini, lebih 500 karya seni telah dipamerkan di 112 stesen.

Daripada 40 stesen baru, 25 daripadanya akan menampilkan projek masyarakat manakala 15 lagi mempamerkan karya seni tempahan khas yang mencerminkan identiti kawasan masing-masing.

Salah satu karya baru diperkenalkan di stesen Little India oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, sempena ulang tahun ke-30 LTA pada 21 Oktober.

Lukisan pelukis tempatan, Encik Yeo Siak Goon ini, menggambarkan warisan di kawasan Little India serta evolusi pengangkutan negara.

Mural berukuran 2.1 meter kali 12.6 meter itu menggabungkan nama Hokkien tempatan ‘tek kah’ yang bermaksud ‘kaki buluh’.

Menggabungkan imej buluh di latar hadapan dan suasana era penjajahan di latar belakang, Encik Yeo menggunakan cat akrilik, imbasan resolusi tinggi dan cetakan digital pada panel aluminium.

Karya ini mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.

Encik Baey berkata ruang seperti stesen MRT bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi juga wadah yang menghubungkan manusia dengan sejarah, masyarakat dan identiti setempat.

Pejabat LTA di Hampshire Road juga digambarkan dalam karya seni itu sebagai mercu tanda kawasan berkenaan.

LTA menubuhkan ibu pejabatnya di tapak bekas Hospital Kandang Kerbau (KKH) pada 1998, tiga tahun selepas penubuhannya.

Selain itu, LTA melancarkan panduan digital interaktif dengan aplikasi mudah alih seni dan budaya, Bloomberg Connects, yang membolehkan orang ramai meneroka karya seni di Laluan Timur Laut (NEL), Circle (CCL), Downtown (DTL) dan Thomson-East Coast (TEL).

Kod QR di stesen juga boleh diimbas untuk melihat kisah dan lawatan berpandu.

LTA akan terus bekerjasama dengan Muzium Seni Singapura (SAM), Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Sekolah Seni Singapura (Sota) bagi menggabungkan seni dalam ruang pengangkutan awam.

Laluan seni berpandu oleh pelajar Sota akan dilancarkan pada Mac 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg