IPOH (Perak): Menyedari nasib golongan gelandangan sering dipandang sepi terutama sepanjang Ramadan, Cik Zeti Shuhaila Mustafa Kamal, 53 tahun, melancarkan inisiatif ‘Sahur Bersama Gelandangan’ untuk membantu golongan terpinggir itu.
Kini memasuki tahun ke-16 penganjurannya, program itu dikekalkan oleh sukarelawan daripada pelbagai latar belakang di seluruh Perak.
“Ketika saya bekerja di sebuah restoran di Jalan Datuk Onn Jaafar beberapa tahun lalu, saya sering melihat gelandangan berkeliaran dan tidur merata-rata pada waktu malam.
“Menyaksikan perjuangan mereka, saya rasa terdorong untuk melibatkan diri dan membantu mereka,” kata Cik Zeti Shuhaila, yang lebih dikenali sebagai Kak Et, lapor portal berita, Free Malaysia Today.
“Ramai daripada mereka adalah bekas penagih dadah, orang buangan sosial atau bekas banduan. Tanpa sokongan, mereka berisiko jatuh kembali ke kumpulan yang salah,” katanya.
Cik Zeti Shuhaila berkata beliau memulakan inisiatif itu selepas menyedari walaupun rumah kebajikan sering menerima sumbangan makanan, gelandangan sering diabaikan.
“Saya berbincang dengan rakan rapat dan majikan saya pada masa itu, dan kami fikir, mengapa tidak menyediakan makanan untuk mereka? Lagipun, gelandangan akan kelaparan pada lewat malam tanpa ada pihak yang membantu memberikan makanan.
“Sebelum ini, ramai gelandangan tinggal di sekitar Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, jadi kami akan menggeledah setiap sudut bangunan untuk mengagihkan makanan. Tetapi sekarang, mereka kebanyakannya di jalanan,” katanya.
Tahun ini kata Cik Zeti Shuhaila, juadah sahur telah diagihkan setiap Jumaat sepanjang Ramadan bermula 11.45 malam di beberapa lokasi sekitar Ipoh.
“Bagaimanapun, jika ada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain sudah mengagihkan makanan atau bantuan kepada gelandangan, kami akan mengelak daripada berbuat demikian kerana tidak mahu berlaku pembaziran,” jelas Cik Zeti Shuhaila.
Menurut anak jati Ipoh itu, mereka mengedarkan 80 hingga 100 pek makanan, tajaan syarikat dan individu, setiap minggu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg