Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berkhemah erat hubungan keluarga, tidak perlu banyak kos

Nov 3, 2024 | 5:30 AM
Berkhemah menjadi aktiviti pilihan keluarga Encik Mohamad Hafiz Sulaiman, antara lain, kerana ia menjimatkan kos dan lebih mudah ditempah.
Berkhemah menjadi aktiviti pilihan keluarga Encik Mohamad Hafiz Sulaiman, antara lain, kerana ia menjimatkan kos dan lebih mudah ditempah. - Foto ihsan MOHAMAD HAFIZ SULAIMAN

Menghabiskan masa bersama keluarga sekali-sekala amat penting, terutama sekali jika semua sibuk dengan kehidupan masing-masing. 

Bagi Encik Mohamad Hafiz Sulaiman, 39 tahun, berkhemah merupakan aktiviti pilihan beliau untuk meluangkan masa bersama keluarga. 

“Semasa menyambut hari lahir salah satu anggota keluarga, kami selalu akan mengadakan barbeku, dan kegiatan berkhemah,” kongsi jurutera Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (Scada) itu. 

“Biasanya saya akan berkhemah bersama dua atau tiga keluarga saya yang lain,” jelasnya.

Encik Hafiz juga berkongsi bahawa keluarganya sering berkhemah – setiap dua atau tiga bulan. 

Menurut beliau, dahulu mereka sekeluarga hanya akan melakukan kegiatan barbeku sahaja apabila berkumpul.

Namun, sejak cecah usia 30 tahun, beliau mula mengajak keluarganya untuk bersama-sama melakukan kegiatan berkhemah selepas berbarbeku.

“Dengan cara ini, kami tidak perlu bergegas dan boleh ambil masa untuk kemas barang dan pulang pada hari berikutnya,” jelas beliau. 

Menjelaskan mengapa beliau memilih kegiatan berkhemah berbanding aktiviti lain, Encik Hafiz berkata: “Pertama, kami dapat jimat kos. Ia lebih murah menempah pit barbeku berbanding menempah calet.”

Menurutnya, belanja menempah pit barbeku hanya $12 hingga $20 berbanding dengan ratusan dolar untuk menempah sebuah calet untuk satu malam. 

“Jika ingin tempah calet, ia perlu dilakukan mungkin sekitar enam bulan lebih awal. Kalau berkhemah dan berbarbeku, dalam sebulan dua sudah boleh dapat slot,” jelas Encik Hafiz.

Beliau juga berkongsi bahawa di kawasan seperti Taman East Coast, terdapat tempat letak kereta dan motosikal yang mencukupi, berbanding di calet.

Beliau juga lebih suka sediakan khemah sendiri berbanding menggunakan khidmat yang menyediakan peralatan berkhemah.

“Kami mempunyai kenderaan dan mempunyai peralatan dan khemah sendiri, jadi kami tidak perlu keluarkan belanja untuk dapatkan khidmat peralatan berkhemah,” katanya.

“Kami sekeluarga mudah bekerjasama dan tahu tugas masing-masing dari segi penyediaan khemah dan barbeku,” tambahnya. 

Encik Hafiz berkongsi bahawa beliau mendapatkan peralatan berkhemah beliau daripada Decathlon, gedung yang menjual pelbagai peralatan sukan dan juga menerusi platform beli-belah dalam talian seperti Shopee dan Lazada.

Beliau telah membelanjakan sekitar $400 untuk mendapatkan barangan dan peralatan khemahnya.

Dari segi persediaan makanan, beliau juga mengeluarkan belanja hingga $500 untuk 50 orang.

Berkongsi nasihat kepada mereka yang ingin mencuba kegiatan berkhemah, Encik Hafiz menekankan perlunya memastikan semua peralatan lengkap.

“Jika boleh, gunakan bekalan kuasa elektrik mudah alih. Kalau tiada, bawa powerbank.

Banyak peralatan kini sudah boleh dicas dengan powerbank, seperti alat mencegah nyamuk,” ujar beliau.

Beliau juga berharap pihak berkuasa boleh mempermudahkan lagi proses permohonan permit berkhemah dan barbeku. 

“Kini kami perlu memohon permit barbeku dan berkhemah secara berasingan. Kalau terdapat sistem yang boleh satukan permohonan ini, ia akan memudahkan lagi proses tempahan,” saran beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg