Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat pasang khemah ‘ton malam’ masih dapat sambutan

Nov 3, 2024 | 5:30 AM
Pengasas Tonnmalam, syarikat yang menyediakan perkhidmatan peralatan berkhemah, Encik Noor Azmi Omar, perlu pastikan khemah yang dipasang beliau di lokasi yang beliau benar-benar tahu mengenai jenis tanah dan kemudahan yang ada.
Pengasas Tonnmalam, syarikat yang menyediakan perkhidmatan peralatan berkhemah, Encik Noor Azmi Omar, perlu pastikan khemah yang dipasang beliau di lokasi yang beliau benar-benar tahu mengenai jenis tanah dan kemudahan yang ada. - Foto NOOR ALIFFE NOOR AZRIN

Khidmat memasang dan menyediakan peralatan berkhemah masih mendapat sambutan, menunjukkan bahawa minat kegiatan berkhemah di sini kekal stabil.

Demikian menurut pengasas Tonnmalam, syarikat yang menyediakan perkhidmatan peralatan berkhemah, Encik Noor Azmi Omar.

‘Ton’ dalam bahasa slanga merujuk kepada kegiatan lepak semalaman, diambil daripada perkataan ‘maraton’ bagi menggambarkan sesi lepak berpanjangan seperti maraton.

“Ada orang yang tidak ingin membeli khemah dan lebih gemar menyewa,” kata Encik Noor Azmi, 44 tahun.

Harga yang ditawarkan ialah sekitar $60 hingga $375 semalam, termasuk khidmat memasang dan menyiapkan khemah serta peralatan berkaitan, seperti kerusi, tilam, lampu dan kipas.

Katanya lagi, apabila beliau mula menawarkan perkhidmatan tersebut pada 2015, beliau dapat menarik sebanyak 20 pelanggan setiap bulan.

Kini, jumlahnya turun sedikit kepada purata belasan pelanggan yang menggunakan khidmatnya, dan permintaan bergantung kepada musim percutian.

Namun, beliau tetap berazam menyediakan khidmat yang terbaik untuk pelanggannya.

Salah satu caranya adalah dengan memastikan bahawa beliau benar-benar kenal lokasi yang beliau tawarkan.

“Saya hanya menawarkan khidmat saya di Taman East Coast dan Taman Pasir Ris. Saya tidak sediakan di lokasi lain kerana bagi saya tanahnya tidak sesuai untuk dipasang khemah, dan saya juga tidak tahu mengenai kawasan itu secara mendalam,” jelas Encik Noor Azmi.

“Jika saya sudah biasa dengan kawasannya, saya dapat tunaikan apa yang diinginkan oleh pelanggan saya, ataupun berikan mereka saranan yang lebih sesuai,” tambah beliau.

Beliau memberi contoh perkara seperti jarak dari kawasan khemah ke tempat kemudahan seperti tandas dan pit barbeku perlu diambil kira, terutamanya jika ada individu yang berkerusi roda ataupun sudah berusia.

Beliau juga memanfaatkan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menguar-uarkan khidmatnya kepada orang ramai.

“Saya hasilkan dan muat naik video mengenai khidmat kegiatan berkhemah yang saya tawarkan ke media sosial saya.

“Saya juga lakukan siaran langsung di TikTok sambil memasang khemah yang ditempah.

“Dalam video itu, saya akan jelaskan apa yang sedang saya lakukan dan apa yang mereka akan dapat apabila menempah khidmat saya,” kongsi Encik Noor Azmi.

Namun usaha mengendalikan perkhidmatan itu juga ada cabarannya.

Peralatan khemah perlu dijaga dengan baik, seperti memastikan kain khemah kalis air.

“Pada mulanya saya tidak tahu bahawa kain khemah sebenarnya boleh lama-kelamaan hilang sifat kalis airnya.

“Justeru kami akan memastikan kain khemah kami kekal kalis air,” kata Encik Noor Azmi.

Menurutnya, pelanggan juga harus tahu cara menjaga kebersihan khemah yang disediakan.

“Sebagai contoh, sediakan alas kaki di luar khemah untuk pastikan kaki bersih dan kering sebelum masuk ke khemah,” nasihatnya.

Encik Noor Azmi menggalakkan lebih ramai cuba kegiatan berkhemah terutama jika mereka gemar dengan alam semula jadi.

“Bagi mereka yang memerlukan terapi alam, marilah berkhemah. Ibu bapa juga boleh ambil peluang ini untuk mengajar kemahiran hidup untuk anak-anak mereka juga,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg