Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri siap dengan masakan rendang ketika berkhemah

Nov 3, 2024 | 5:30 AM
Apabila berkhemah, isteri Encik Mohamamed Hason Mohamed Ramden  akan masak di situ.
Apabila berkhemah, isteri Encik Mohamamed Hason Mohamed Ramden akan masak di situ. - Foto SALINA SAAD

Berkhemah merupakan antara kegiatan yang terbaik untuk menikmati alam semula jadi. Jika dapat menikmati dengan orang yang tersayang, ia lebih menyeronokkan.

Inilah yang dialami Encik Mohamamed Hason Mohamed Ramden, 48 tahun, yang sering berkhemah dengan isterinya, Cik Salina Saad, 42 tahun.

“Saya memang seorang yang suka aktiviti luar seperti mendaki, trekking (kegiatan berjalan jauh) dan berkhemah. Perkara ini semua jikalau ada orang yang teman, lebih menyeronokkan,” kongsi Encik Hasnon.

Beliau berkata berkhemah sendiri ada risiko keselamatan.

“Mujurlah saya dijodohkan dengan isteri saya yang suka melakukan kegiatan luar juga. Sejak 2015, kami mula melakukan kegiatan berkhemah bersama,” tambah Encik Hasnon, jurulatih di Akademi Pertahanan Awam (CDA).

Apabila ditanya mengapa mereka memilih berkhemah, Cik Salina, seorang suri rumah, menjawab: “Dengan berkhemah, ia membuatkan kami rasa sangat rendah diri. Kami rasa diri kami ‘kerdil’ jikalau dibandingkan dengan alam semula jadi.

“Berada dekat dengan alam semula jadi juga sangat menenangkan.”

Pasangan suami isteri yang belum mempunyai cahaya mata itu berkongsi bahawa mereka sebenarnya lebih minat berkhemah di luar negara seperti di Malaysia, tetapi apabila Covid-19 melanda, mereka membuat keputusan untuk cuba berkhemah di Singapura.

“Suami saya petugas di barisan hadapan, dan tugas beliau membuatnya berasa sangat tertekan waktu itu.

“Saya perlu fikirkan cara untuk menghilangkan tekanannya, dan memandangkan pada masa itu masih belum boleh ke Malaysia, kami cuba berkhemah di Singapura,” kongsi Cik Salina.

Menurutnya, di Singapura beliau akan menghabiskan sekitar $160 untuk berkhemah dan barbeku selama tiga hari dua malam.

Sekitar $100 daripada jumlah itu digunakan untuk mendapatkan kenderaan bagi mengangkut barangan mereka ke tempat berkhemah dan untuk pulang.

Di Malaysia pula, beliau hanya perlu berbelanja antara RM70 hingga RM100 ($20 hingga $30) untuk satu malam.

Beliau berkongsi bahawa di Singapura, mereka berdua, yang menetap di Sengkang, lebih gemar berkhemah di Taman Pasir Ris yang tidak ramai orang, berbanding dengan Taman East Coast.

Cik Salina juga berkongsi bahawa terdapat banyak kapal terbang yang lalu di ruang udara di Taman East Coast, yang menambahkan bunyi bising di sana.

“Taman Pasir Ris lebih sesuai bagi kami. Tidak ramai orang, dan kami tidak rasa serabut. Ia juga lebih tenang,” tambah beliau.

Beliau juga bercerita bahawa antara cabaran yang dihadapinya ketika berkhemah adalah perlu berhadapan dengan mereka yang membuat bising hingga larut malam sehingga menjejas ketenteraman orang di sekeliling mereka.

Selain itu, walaupun mudah untuk ke tandas di tempat berkhemah di Singapura, kebersihan tandas turut menjadi keprihatinan Encik Hasnon dan Cik Salina.

“Tandas di kawasan khemah selalunya kotor.

“Jadi, kami juga akan mencuci tandas ketika kami berkhemah agar ia bersih dan selesa untuk digunakan,” kongsi Cik Salina.

Namun bagi pasangan suami isteri ini, keindahan alam semula jadi yang mereka alami mengatasi pengalaman negatif mereka.

Bagi Cik Salina, beliau akan masak di tempat berkhemah.

Masakan yang beliau lakukan bukan sahaja yang mudah untuk disediakan, malah lauk seperti rendang dan nasi.

Cik Salina akan sediakan rempahnya di rumah, dan menggunakan periuk lebih besar untuk memasak, agar ia mencukupi untuk beliau dan suaminya.

Encik Hasnon pula berkongsi bahawa walaupun ramai yang tidak suka jika cuaca hujan dan angin yang kencang semasa berkhemah, beliau dan isterinya sebenarnya suka jika hujan semasa mereka berkhemah.

“Inilah pengalaman sebenar berkhemah. Kami suka hujan dan tidak risau, kerana kami sedar bahawa ini sebahagian daripada berkhemah,” kata Encik Hasnon.

Encik Hasnon sempat berkongsi panduan berkhemah bersama wartawan Berita Harian/Minggu (BH/BM).

“Barang khemah kami semua berwarna terang. Sebabnya, agar kami dengan lebih senang nampak serangga dan tidak mudah hilang,” kongsi Encik Hasnon.

Cik Salina juga turut memberi nasihat kepada mereka yang ingin mencuba dan menikmati pengalaman berkhemah.

“Bagi yang baru nak mencuba berkhemah, saya selalu nasihatkan mereka pergi secara ringkas dahulu.

“Yang penting, terutamanya bagi kaum wanita, perlu sediakan kipas yang bagus,” kongsi beliau.

Menurutnya, pemikiran dan jangkaan mereka yang pergi berkhemah bersama harus sama agar boleh bahagikan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing supaya pengalaman berkhemah itu menjadi seronok dan menenangkan.

Barang khemah perlu warna terang

Barang khemah kami semua berwarna terang. Sebabnya, agar kami dengan lebih senang nampak serangga dan tidak mudah hilang.
Encik Mohamamed Hason Mohamed Ramden.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg