Laluan baru sepanjang 3.3 kilometer, Mandai Boardwalk, menawarkan pengunjung kehijauan di Mandai Wildlife Reserve.
Terletak di sekitar River Wonders dan Taman Haiwan Singapura, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah Kolam Air Upper Seletar dan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, merasmikan pembukaan dengan plak peringatan pada 14 Januari.
“Mandai Boardwalk meraikan hubungan yang menarik antara hutan dengan ekosistem air melalui lima stesen tematik dan titik tinjau di sepanjang laluan.
“Ini diilhamkan oleh hidupan liar yang mendiami kedua-dua persekitaran itu,” jelas Mandai Wildlife Group (MWG), dalam kenyataan pada 14 Januari.
Laluan itu ditinggikan dari tebing takungan untuk membolehkan haiwan di situ bergerak bebas di bawahnya.
Menurut MWG, usaha turut ditumpukan kepada peningkatan tumbuh-tumbuhan di tepi air bagi menarik biodiversiti seperti burung dan rama-rama.
“Langkah-langkah telah diambil untuk membina di sekeliling, pokok-pokok matang di kawasan tersebut, dengan menggunakan teknik pembinaan impak rendah bagi mengurangkan penggunaan peralatan berat,” kata MWG.
Memberikan pandangannya, Ketua Pegawai Eksekutif MWG, Encik Mike Barclay, berkata:
“Visi kami untuk Mandai Wildlife Reserve adalah bagi mewujudkan destinasi boleh diakses dan terangkum yang menawarkan peluang untuk anda meluang masa sendiri dalam menikmati keindahan alam semula jadi.”
Direka dengan mengambil kira kebolehcapaian dan kemampanan, Mandai Boardwalk boleh diakses oleh pengunjung berkerusi roda dan dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam, secara percuma.
Ia ditutup dari senja hingga dinihari demi keselamatan pengunjung di samping mengambil kira keperluan haiwan nokturnal, jelas MWG.
Pengunjung boleh memasukinya melalui pintu masuk berhampiran River Wonders dan Mandai Wildlife East, ruang awam yang menjadi pintu masuk baru ke Taman Haiwan Singapura, Safari Malam, River Wonders dan tarikan lain yang akan datang.
Semasa acara pembukaan berlangsung, Encik Tan turut menikmati lawatan santai dengan pemandangan indah, yang dihoskan oleh pengerusi MWG, Encik Piyush Gupta, bersama ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg