Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat bersepadu baru Toa Payoh dilengkapi kemudahan sukan bertaraf dunia

Dijangka siap 2030, ia akan jadi pusat latihan bagi atlet mahupun rakyat biasa serta sediakan poliklinik, perpustakaan awam
Jan 5, 2025 | 8:31 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong (berbaju biru), meninjau model 3D serta mendengar taklimat Pembangunan Bersepadu Toa Payoh (TPID) di upacara pecah tanah bangunan itu di Lorong 6 Toa Payoh pada 5 Januari.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong (berbaju biru), meninjau model 3D serta mendengar taklimat Pembangunan Bersepadu Toa Payoh (TPID) di upacara pecah tanah bangunan itu di Lorong 6 Toa Payoh pada 5 Januari. - Foto ZAOBAO

Penduduk Singapura akan dapat menikmati kemudahan sukan bertaraf dunia di kawasan kejiranan dengan pembinaan Pembangunan Bersepadu Toa Payoh (TPID), yang bakal siap pada 2030.

Pembangunan itu akan dilengkapi dengan kemudahan seperti stadium berkapasiti hingga 10,000 tempat duduk, dewan tertutup dengan 5,000 tempat duduk, dan pusat akuatik yang akan juga berfungsi sebagai pusat latihan kebangsaan bagi atlet akuatik, bola jaring, dan tenis meja.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata pembangunan itu bermatlamat mengukuhkan budaya sukan di Singapura dengan menempatkan kemudahan sukan bertaraf dunia di kawasan kejiranan.

Beliau berkata demikian semasa upacara pecah tanah pembinaan TPID di Lorong 6 Toa Payoh, pada 5 Januari, yang dianjurkan SportSG bersama Kementerian Kesihatan (MOH), Poliklinik Kumpulan Penjagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG Polyclinics), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), dan Lembaga Taman Negara (NParks).

Encik Tong berkata pembangunan itu, yang merupakan sebahagian Pelan Induk Kemudahan Sukan (SFMP), antara inisiatif utama di bawah pelan induk sukan Visi 2030 Singapura, menempatkan kemudahan sukan di kawasan kejiranan agar semua rakyat Singapura, dan bukan hanya atlet, dapat memanfaatkannya.

Bangunan itu juga akan menempatkan pelbagai kemudahan bagi masyarakat, seperti pusat sukan, poliklinik, perpustakaan awam, dan taman bandar. Ini di samping kemudahan sukan lain seperti kolam renang tertutup dan terbuka,dewan yang boleh memuatkan 44 meja ping pong, serta beberapa gelanggang tertutup bagi futsal, tenis dan bola jaring.

“Pembangunan ini merupakan usaha terkini kami membawa infrastruktur sukan bertaraf tinggi yang dapat membina masyarakat di sini di kawasan kejiranan. Ini agar rakyat kita mendapat lebih banyak peluang mengambil bahagian dalam acara sukan dan juga, yang lebih penting, membina pengalaman dan kenangan bersama rakan-rakan dan keluarga mereka,” ujar Encik Tong.

Beliau menambah: “Dalam usaha meningkatkan kemudahan dalam penyertaan sukan, kita perlu mengembangkan asas penyertaan. Kita memerlukan lebih ramai rakyat Singapura menyertai sukan secara rekreasi serta secara kompetitif, dan secara keseluruhannya mengukuhkan budaya sukan kita.”

Selain Hab Sukan di Kallang, Encik Tong berkata TPID boleh dimanfaatkan oleh kedua-duanya, atlet dan masyarakat.

“TPID akan menempatkan kemudahan sukan utama dan kami bercadang menjadikannya hab kedua untuk kemudahan sukan,” tambah beliau.

Upacara pecah tanah itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang; serta Penasihat bagi Pertubuhan Akar Umbi Bishan-Toa Payoh, Encik Chong Kee Hiong dan Encik Saktiandi Supaat.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Encik Chew Chun-Liang, pula berkata stadium di TPID, yang diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), boleh menjadi alternatif kepada Stadium Negara di Kallang bagi pertandingan bola sepak bertaraf tinggi.

“Dengan mempunyai kemudahan bertaraf tinggi, ia memberi kita peluang menganjurkan perlawanan, untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia,” katanya.

Impresi pereka stadium di TPID yang mampu memuatkan 10,000 penonton.
Impresi pereka stadium di TPID yang mampu memuatkan 10,000 penonton. - Foto SPORTSG

Bagi pemain tenis meja yang mewakili Singapura di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Izaac Quek, TPID akan memberi atlet peluang berlatih di dewan lebih besar, sesuatu yang biasa digunakan dalam pertandingan antarabangsa.

“Kini, banyak pertandingan diadakan di dewan yang besar dengan ramai penonton.

“Maka berlatih di dewan yang lebih besar mampu memberi perasaan seperti saya sedang bermain dalam pertandingan, dan ini pasti akan membantu latihan saya,” ujar atlet berusia 19 tahun itu.

Dalam acara itu, Encik Tong turut menggariskan beberapa kemudahan sukan yang telah diberi nafas baru seperti – Pusat Sukan Delta, Pusat Sukan Bukit Canberra dan Pusat Sukan Daerah Punggol.

Pusat Sukan Delta yang dibuka semula pada Mei 2023 lebih besar dan mempunyai lebih banyak kemudahan sukan seperti padang hoki, gelanggang bagi sukan ‘pickleball’ serta kolam renang yang mempunyai laluan tanjakan untuk membantu golongan kurang upaya.

Pusat Sukan Bukit Canberra juga kini mempunyai gim terbesar di Singapura yang turut mesra golongan kurang upaya serta Pusat Sukan Daerah Punggol yang menampilkan stadium mampu memuatkan 5,000 penonton serta padang untuk memanah.

Berhubung kemudahan lain di situ, Encik Chee percaya peluasan poliklinik di TPID akan memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya warga emas.

“Kita tidak menyediakan kemudahan bagi warga emas sahaja, bahkan penduduk setiap peringkat umur. Kemudahan seperti poliklinik dapat dimanfaatkan seluruh ahli keluarga, lantas memastikan setiap penduduk dan keluarga kita kekal sihat dan aktif,” katanya, yang berkongsi berkata Toa Payoh mempunyai jumlah warga emas yang tinggi.

Encik Chee menambah bahawa beliau dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sudah berbincang untuk mengadakan laluan berteduh dari Stesen MRT serta Pusat Tukaran Bas Toa Payoh ke TPID.

Pengunjung boleh menikmati perpustakaan awam baru, yang akan menawarkan ruang lebih luas serta perkhidmatan tambahan, manakala taman bandar Toa Payoh akan diserikan lagi dengan penambahan unsur kehijauan serta kemudahan baru, sambil mengekalkan menara ikonik di taman tersebut.

Ciri-ciri baru seperti kawasan kebun, taman terapeutik, padang serbaguna serta taman permainan untuk kanak-kanak pula akan dilaksanakan oleh NParks.

Impresi pelukis taman yang akan dibangunkan di TPID.
Impresi pelukis taman yang akan dibangunkan di TPID. - Foto SPORTSG
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg