Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berpangkat, namun terus timba ilmu, sumbang kepada negara

Aug 10, 2024 | 5:30 AM
Leftenan Kolonel Bani Faizal Mohamed Bani Fawz Mohamed merupakan antara ahli jawatankuasa penganjur Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan bagi Daerah Tengah Singapura, yang diadakan bertentangan Stesen Laluan Circle MRT Bishan pada 10 Ogos.
Leftenan Kolonel Bani Faizal Mohamed Bani Fawz Mohamed merupakan antara ahli jawatankuasa penganjur Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan bagi Daerah Tengah Singapura, yang diadakan bertentangan Stesen Laluan Circle MRT Bishan pada 10 Ogos. - Foto BH oleh MUHAIMIN SUZAINI

Sungguhpun telah berkhidmat bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sebagai pegawai tentera selama lebih 15 tahun sejak menyertai SAF pada 2005, Leftenan Kolonel (LTC) Bani Faizal Mohamed Bani Fawz Mohamed masih meraih ilmu daripada anggota bawahan.

Malah, Komander Udara (Wing Commander) di Sekolah Kadet Pegawai (OCS) dan Pegawai Pemerintah Batalion 730 Guards itu berkongsi bahawa pangkat yang disandang bererti beliau perlu kekal menjana ilmu seberapa banyak yang mungkin.

Ayah dua puteri itu berkata: “Sehingga kini, saya masih belajar daripada anggota saya. Saya masih belajar daripada kadet dan kenalan saya.

“Pangkat di bahu saya menandakan saya mempunyai tanggungjawab terhadap anggota di bawah saya tetapi tidak bermakna pembelajaran terhenti buat saya.”

Beliau berkongsi demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat baru-baru ini di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) di Kitchener Road sempena Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan.

LTC Faizal, 41 tahun, merupakan antara ahli jawatankuasa penganjur sambutan kejiranan bagi Daerah Central Singapura.

Sambutan itu diadakan bertentangan Stesen Laluan Circle MRT Bishan pada 10 Ogos.

Menurut beliau, tanggungjawabnya termasuk memastikan keselamatan operasi terhadap aset SAF yang dipamerkan dan anggota SAF yang terlibat bagi acara itu.

Beliau berkata sejak sekian lama, sebahagian besar penglibatannya dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) berteraskan pengurusan penonton.

“Kali ini (bagi sambutan kejiranan), saya rasa tak banyak perbezaan melainkan saya kini perlu urus operasi di kawasan kejiranan.

“Tumpuan utama saya adalah aset SAF yang dipamerkan – memastikan operasi dan rerurai pameran diurus dengan baik dan selamat.

“Kami juga bekerjasama dengan PA bagi memastikan penonton yang hadir untuk melihat dan menaiki aset kami dapat menikmati dengan selamat,” ujar LTC Faizal.

Baginya, penglibatan beliau dalam acara sebegini sebahagian besarnya dipacu oleh semangat yang ditonjolkan anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) kerana sungguhpun mereka dipenuhi komitmen masing-masing, mereka masih tampil untuk menabur bakti.

Beliau berkata anggota NSmen sedemikian berkhidmat secara sukarela dalam acara sambutan tersebut.

“Di sebalik komitmen keluarga dan kerja, mereka taburkan bakti secara sukarela untuk berada di sini.

“Mereka jugalah yang akan mengurus penonton dan berada di hadapan untuk memastikan acara dapat diadakan secara selamat.

“Saya amat terpegun dengan usaha yang mereka berikan. Saya rasa tahap komitmen yang ditonjolkan adalah sesuatu yang sudah pasti dapat memacu kejayaan dan acara ini dapat ditingkatkan ke peringkat seterusnya,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi detik semasa mengurus penonton sebelum ini, salah seorang daripada penonton menghampiri beliau dan anggota pasukannya untuk melahirkan penghargaan kepada mereka.

LTC Faizal berkata: “Saya masih ingat detik apabila ada seorang penonton dalam lingkungan usia pertengahan menghampiri saya dan ucapkan terima kasih atas perkhidmatan kami.

“Saya dan anggota saya tidak perlu pemberian atau kata-kata perangsang. Detik sedemikian sahaja sudah cukup,” kata beliau.

Sehingga kini, saya masih belajar daripada anggota saya. Saya masih belajar daripada kadet dan kenalan saya. Pangkat di bahu saya menandakan saya mempunyai tanggungjawab terhadap anggota di bawah saya tetapi tidak bermakna pembelajaran terhenti buat saya.
Leftenan Kolonel (LTC) Bani Faizal Mohamed Bani Fawz Mohamed.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg