Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Bersamamu’ rai ulang tahun kelima, 30,000 pasangan raih manfaat sejak 2019

Aug 30, 2024 | 5:00 PM
(Dari kiri) Timbalan Pengarah Kanan ROMM dan Mahkamah Syariah, Encik Imran Mohamed; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Pendaftar ROMM, Ustaz Nor Razak Bakar, sama-sama melancarkan logo baru program ‘Bersamamu’ semasa majlis ulang tahun kelima program itu di Hotel Equarius, Sentosa pada 30 Ogos.
(Dari kiri) Timbalan Pengarah Kanan ROMM dan Mahkamah Syariah, Encik Imran Mohamed; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Pendaftar ROMM, Ustaz Nor Razak Bakar, sama-sama melancarkan logo baru program ‘Bersamamu’ semasa majlis ulang tahun kelima program itu di Hotel Equarius, Sentosa pada 30 Ogos. - Foto ROMM

Program ‘Bersamamu’ telah memainkan peranan penting dalam membantu membina perkahwinan dan keluarga kukuh di Singapura, dengan hampir 30,000 pasangan meraih manfaat daripadanya sejak ia dimulakan lima tahun lalu, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau berkata kadi dan naib kadi bukan menjadi sumber sokongan kepada pasangan Islam yang bakal atau baru berkahwin sahaja, malah mereka memberi panduan tentang perkahwinan dan keibubapaan.

Topik keluarga merupakan antara isu utama yang diketengahkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau pada 18 Ogos.

Encik Wong mengenal pasti keluarga sebagai memainkan peranan penting dalam menyokong setiap individu dalam menjadikan aspirasi dan impian satu kenyataan.

Berucap di majlis ulang tahun ‘Bersamamu’ pada 30 Ogos di Hotel Equarius, Sentosa, Encik Masagos berkata:

“Sememangnya perkahwinan dan keluarga kukuh adalah asas sebuah negara yang kukuh, dan mereka akan menjadi kunci dalam perjalanan ke hadapan.

“Di Singapura, kita terus berusaha membina keluarga yang kukuh sejak beberapa dekad lalu, satu usaha yang dilakukan oleh sektor masyarakat yang lain juga. ‘Bersamamu’ adalah antara usaha sedemikian.”

Encik Masagos turut melancarkan logo baru ‘Bersamamu’ di majlis yang turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dimulakan sebagai daya usaha masyarakat oleh kadi dan naib kadi pada 2019, program itu telah berkembang dan dijalankan di seluruh negara oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dengan kerjasama rakan agensi itu.

Di bawah program itu, kadi dan naib kadi menjadi sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka.

Selain memberi sokongan dan panduan perkahwinan serta keibubapaan, kadi dan naib kadi boleh merujuk pasangan ke agensi nasional dan perkhidmatan relevan jika mereka memerlukan sokongan lebih khusus.

Pada majlis itu, Encik Masagos melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan kepada program ‘Bersamamu’ termasuk rakan agensi, masjid dan sembilan asatizah serta 44 kadi dan naib kadi.

Dua kadi perintis – Ustaz Pasuni Maulan dan Ustaz Sallim Jasman – turut diberi penghormatan istimewa bagi perkhidmatan dan bakti setia mereka kepada masyarakat Islam Singapura.

Encik Masagos berkata program ‘Bersamamu’ telah berkembang sejak dimulakan disebabkan semangat peningkatan dan pembelajaran yang berterusan.

Misalnya, ROMM menerajui usaha memperkenalkan Bersamamu @ the Heartlands pada 2024 dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Yayasan Mendaki, demi memenuhi permohonan pasangan yang mahukan lebih banyak wadah perbincangan di lokasi berdekatan mereka.

Ini dimulakan di Masjid Al-Falah dan Masjid An-Nur, yang menganjurkan forum bagi asatizah dan kaunselor perkahwinan membincangkan topik hubungan dan memberi bimbingan perkahwinan.

Dua lagi forum akan diadakan di Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Darul Ghufran pada September.

Sementara itu, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) membuka saluran ‘Asatizah Solace Care’ kepada ROMM agar wanita sudah berkahwin yang ada isu sensitif boleh mendekati asatizah wanita untuk mendapatkan nasihat.

Baru-baru ini, ROMM mempertingkat rangka kerja latihan ‘Bersamamu’ – dipanggil NIKAH (akronim bagi Niat, Ihsan, Kasih, Amanah dan Harmoni) – untuk menawarkan modul baru yang berkongsi maklumat tentang trend terkini dan isu yang boleh timbul dalam perkahwinan agar kadi dan naib kadi serta asatizah dilengkapi dengan kemahiran dipertingkat bagi membantu pasangan.

Encik Masagos menggalak kadi, naib kadi dan asatizah terus mempertingkat kemahiran, antaranya dengan memanfaatkan Program Peningkatan SkillsFuture.

“Saya gembira mengetahui bahawa sebahagian kadi dan naib kadi kita menyertai kursus SkillsFuture untuk menyokong tugas mereka dengan pasangan secara lebih baik, memanfaatkan tawaran luas yang sedia ada, daripada psikologi, kaunseling pasangan hingga ke kecelikan digital.

“Marilah kita kekalkan semangat pembelajaran sepanjang hayat ini. Saya menggesa semua majikan, termasuk masjid kita, supaya menyokong kadi dan naib kadi serta asatizah wanita dalam usaha mereka meningkatkan kemahiran.

“Usaha membangunkan kakitangan kita akan memperkukuh pertubuhan kita. Inilah cara kita boleh maju sebagai sebuah masyarakat,” kata beliau.

Pendaftar ROMM, Ustaz Nor Razak Bakar, berkata kadi dan naib kadi tempat rujukan untuk pasangan dan ROMM bertanggungjawab membekalkan mereka dengan kemahiran relevan, lebih-lebih lagi dengan cabaran hidup berumah tangga masa kini.

“Kami berharap rangka kerja latihan yang telah kami kemas kini dapat memperkasa kadi dan naib kadi melalui latihan yang kami rancang untuk mereka dan juga boleh dimanfaatkan bersama oleh asatizah wanita daripada Pergas,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg