Topik diikuti
Pergi ke BHkuBetulkah polis telefon anda? Periksa Pengenal Pemanggil (Caller ID)
Mulai 2 Nov semua panggilan polis kepada orang ramai dibuat guna satu nombor saja – 6000 0999 – bagi bantu mereka bezakan pegawai polis sebenar daripada penyamar
Betulkah polis telefon anda? Periksa Pengenal Pemanggil (Caller ID)
BERTINDAK MENENTANG PENIPUAN
Bagaimanakah anda boleh memastikan individu yang menghubungi anda benar-benar seorang pegawai polis?
Itulah persoalan yang dihadapi Johnson, 67 tahun, apabila seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) menghubungi telefon rumahnya pada April 2026.
Penyelia operasi kanan itu enggan mendedahkan nama keluarganya atas sebab privasi.
Pemanggil tersebut mendakwa bahawa butiran akaun bank Johnson telah dikesan dalam satu siasatan pengubahan wang haram di luar negara.
Perkara pertama yang terlintas di fikiran Johnson ialah lawatannya ke India dan Malaysia pada separuh kedua 2025. Adakah maklumat peribadinya dicuri atau disalahgunakan ketika beliau berada di sana?
Namun, beliau kemudian teringat sesuatu. Rakan-rakannya pernah memberi amaran mengenai panggilan penipuan seperti itu. Menurut warga Singapura itu, loghat pemanggil tersebut juga kedengaran seperti orang asing.
Beliau segera mematikan panggilan itu.
“Jika benar mereka daripada polis, tentu ada cara lain untuk menghubungi saya,” kata Johnson, yang kerap menggunakan telefon bimbitnya.
Bagaimanapun, beliau masih berasa ragu-ragu.
“Saya terus tertanya-tanya sama ada saya benar-benar menghadapi masalah dengan pihak berkuasa.”
Satu nombor khas untuk
panggilan polis
Mulai 2 November 2026, semua panggilan rasmi daripada SPF kepada orang ramai dibuat menggunakan nombor 6000 0999, menurut Superintenden Tay Yuanqi, Penolong Pengarah Pejabat Pendidikan Awam Mengenai Penipuan, Komand Siber SPF.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membantu orang ramai membezakan pegawai polis sebenar daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Setiap panggilan, termasuk yang tidak dijawab, akan disusuli dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID penghantar “gov.sg”.
SMS tersebut menerangkan cara menghubungi SPF dan biasanya mengandungi nama pegawai serta nombor telefon untuk dihubungi semula.
Mesej itu bermula dengan nama penuh agensi pemerintah berkenaan dan diakhiri dengan kenyataan bahawa ia merupakan mesej automatik daripada pemerintah.
Menurut Superintenden Tay, nombor 6000 0999 hanya digunakan untuk membuat panggilan keluar dan tidak akan digunakan melalui aplikasi pemesejan seperti WhatsApp atau Telegram.
SPF ialah agensi pemerintah pertama yang menggunakan satu nombor khas untuk menghubungi orang ramai. Agensi pemerintah lain dijangka melaksanakan langkah serupa secara berperingkat, katanya.
Inisiatif yang dikenali sebagai Identiti Pemanggil Tunggal (Single Caller ID) itu ialah usaha bersama SPF, Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan (MDDI), unit Produk Pemerintah Terbuka (Open Government Products) di bawah Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech), serta Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Ia kesinambungan daripada pelaksanaan ID penghantar SMS “gov.sg” pada 2024 dan talian bantuan ScamShield 1799, yang beroperasi 24 jam sehari.
Menurut data SPF, sekurang-kurangnya 3,230 kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah Singapura dilaporkan dari Januari hingga September 2026, dengan kerugian berjumlah sekurang-kurangnya $142.5 juta.
Polis pihak paling kerap dijadikan sasaran penyamaran, membabitkan sekurang-kurangnya 1,310 kes dengan kerugian $53.3 juta.
Superintenden Tay berkata beberapa langkah perlindungan telah dilaksanakan bagi menghalang penipu memalsukan nombor pemanggil, iaitu taktik yang membolehkan panggilan atau mesej kelihatan seolah-olah datang daripada nombor rasmi.
Langkah itu memperkukuh perlindungan telekomunikasi sedia ada, termasuk:
– Menyekat panggilan dari luar negara yang menggunakan nombor menyerupai nombor rasmi polis, seperti +65 6000 0999.
– Menghalang penggunaan nombor 6000 0999 dan ID penghantar “gov.sg” tanpa kebenaran melalui aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan Telegram.
Taktik penyamaran sebagai pegawai pemerintah
Bagaimanapun, langkah perlindungan itu tidak dapat menghapuskan sepenuhnya risiko penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah.
Superintenden Tay memberi amaran bahawa penipu masih boleh menyamar sebagai pegawai polis melalui cara lain, termasuk membuat panggilan menggunakan aplikasi pemesejan.
Menurut beliau, penipu menggunakan pelbagai taktik untuk meyakinkan mangsa dan mendesak mereka supaya mematuhi arahan, antaranya:
– Menyamar sebagai kakitangan syarikat atau institusi kewangan.
Penipu mendakwa terdapat transaksi tanpa kebenaran atau penyalahgunaan maklumat peribadi mangsa.
Panggilan mangsa kemudian kononnya akan “dipindahkan” kepada individu kedua yang menyamar sebagai pegawai pemerintah.
Taktik itu memberi gambaran seolah-olah kes berkenaan sedang dikendalikan secara tersusun dan telah dirujuk kepada pihak berkuasa.
– Menggunakan gelaran rasmi dan dokumen palsu.
Penipu menggunakan gelaran jawatan rasmi, maklumat peribadi pegawai sebenar, waran tangkap palsu atau pakaian seragam bagi meyakinkan mangsa.
Mereka mengambil kesempatan daripada kecenderungan orang ramai untuk mempercayai dan mematuhi arahan individu yang dianggap mempunyai kuasa.
– Mengugut mangsa dengan tindakan undang-undang
Mangsa dituduh melakukan kesalahan serius seperti pengubahan wang haram dan diugut akan ditangkap.
Penipu juga mungkin mendakwa mangsa perlu membuat bayaran tertentu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Rasa takut dan tekanan untuk bertindak segera menyebabkan mangsa sukar berfikir dengan tenang, mempersoalkan dakwaan pemanggil atau mengesahkan kesahihannya.
Akibatnya, mangsa mungkin lebih menumpukan perhatian kepada usaha mengelakkan ancaman tersebut dengan mengikut segala arahan penipu.
– Mengarahkan mangsa merahsiakan siasatan.
Penipu mendakwa siasatan yang sedang dijalankan ialah sulit dan mengarahkan mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa.
Taktik ini bertujuan menghalang mangsa mendapatkan nasihat atau membuat semakan dengan anggota keluarga, bank atau pihak berkuasa yang mungkin dapat mengesan penipuan tersebut.
Selain mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang melalui bank, penipu juga mungkin meminta mereka menukar wang kepada mata wang kripto atau menyerahkan wang tunai, jongkong emas dan barangan berharga lain kononnya bagi membantu “siasatan”.
Superintenden Tay menggesa orang ramai supaya segera menamatkan panggilan jika berasa ragu-ragu dan membuat pengesahan sendiri melalui saluran rasmi.
Itulah yang dilakukan Johnson.
Tindakan beliau mematikan panggilan memberinya masa untuk berfikir dengan lebih tenang.
“Sekarang, jika seseorang menghubungi saya dan mendakwa dirinya daripada SPF tetapi panggilan itu tidak menggunakan nombor rasmi tersebut, saya akan terus mematikan panggilan tanpa rasa bimbang,” katanya.
Artikel ini merupakan sebahagian daripada siri “Bertindak Menentang Penipuan”, dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC).