Topik diikuti
Pergi ke BHkuFikir 2 kali sebelum percaya apa yang anda lihat
Fikir 2 kali sebelum percaya apa yang anda lihat
Penipu semakin giat guna teknologi AI seperti ‘deepfake’ untuk menyamar sebagai individu dipercayai
Fikir 2 kali sebelum percaya apa yang anda lihat
DENGAN KERJASAMA PASUKAN POLIS SINGAPURA (SPF) DAN MAJLIS PENCEGAHAN JENAYAH KEBANGSAAN (NCPC).
Pada Julai 2025, Encik Martin Ng, seorang pesara, sedang menonton video muzik di YouTube melalui telefon bimbitnya apabila wajah yang amat dikenalinya tiba-tiba muncul di skrin.
Dalam iklan video itu, “Menteri Kanan (SM) Lee Hsien Loong” dilihat mempromosikan sebuah skim pelaburan mata wang kripto yang kononnya menawarkan pulangan lumayan.
Sekali pandang, video itu kelihatan begitu meyakinkan dan seolah-olah tulen, kata Encik Ng.
Namun, apabila terus menontonnya, lelaki berusia 69 tahun itu mula berasa sangsi.
“Saya mempunyai firasat kuat bahawa ia satu penipuan,” katanya sambil mengimbau kembali laporan berita yang pernah dibacanya mengenai penggunaan teknologi ‘deepfake’ untuk menyamar sebagai tokoh politik.
‘Deepfake’ ialah kandungan imej, video atau audio yang dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Encik Ng, perkara yang membongkar penipuan itu ialah suara “SM Lee” dalam video itu.
Walaupun wajahnya kelihatan realistik, suaranya kedengaran seperti robot dengan intonasi tidak semula jadi – petanda jelas video itu dihasilkan menggunakan teknologi ‘deepfake’, katanya.
Walaupun tidak menjadi mangsa penipuan tersebut, Encik Ng berkata beliau bimbang teknologi ‘deepfake’ akan menjadi semakin sukar dikesan pada masa hadapan.
“Saya tahu betapa pantasnya teknologi ini berkembang sejak saya melihat video itu setahun lalu,” katanya.
Malah, menurut beliau, video penipuan ‘deepfake’ yang menyamar sebagai pemimpin kanan pemerintah yang ditemuinya sejak beberapa bulan kebelakangan ini kelihatan jauh lebih realistik.
Kebimbangan Encik Ng mencerminkan cabaran kian besar dalam usaha membanteras penipuan.
Teknologi AI kini memudahkan penipu menghasilkan video palsu yang meyakinkan, suara tiruan serta penyamaran tokoh awam yang sukar dibezakan daripada yang sebenar.
Polis Antarabangsa (Interpol), yang berpangkalan di Perancis, turut melaporkan peningkatan mendadak jenayah siber menggunakan teknologi ‘deepfake’ dan AI dalam satu laporan yang diterbitkan pada Jun 2026.
Laporan itu mendedahkan perbincangan mengenai ‘deepfake’ di forum penjenayah siber serta saluran aplikasi Telegram yang sering digunakan pelaku ancaman siber di Asia Tenggara meningkat 600 peratus antara Februari dengan Jun 2024.
Kajian itu meneliti ancaman serta trend jenayah siber di rantau Asia dan Pasifik dari Januari 2024 hingga Mac 2025.
Menurut perangkaan Pasukan Polis Singapura (SPF), 37,308 kes penipuan dilaporkan pada 2025, dengan jumlah kerugian mangsa mencecah $913.1 juta.
Bagaimanapun, SPF tidak mengasingkan kes penipuan melibatkan AI sebagai kategori berasingan.
Pengarah Pusat Analisis Ancaman Siber Nasional di Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura, Encik Luke Ho, berkata alat AI kini semakin mudah diperoleh, sekali gus membolehkan pelaku ancaman siber melancarkan penipuan pada skala lebih besar, lebih pantas dan lebih canggih.
Semakin sukar dikesan, kian mudah diyakini
Bagi Encik Ng, suara yang kedengaran seperti robot menjadi petunjuk utama video tersebut ialah ‘deepfake’.
Menurut Encik Ho, terdapat beberapa ketidaksempurnaan visual dan audio – seperti rona wajah kelihatan tidak semula jadi atau pergerakan bibir tidak sepadan dengan suara – yang kadangkala boleh membantu mengenal pasti sama ada sesuatu video itu tulen atau dihasilkan menggunakan AI.
Namun, dengan kemajuan pesat teknologi AI, beliau mengingatkan orang ramai agar jangan bergantung pada petunjuk visual atau audio semata-mata untuk menentukan kesahihan sesuatu video.
Sebaliknya, beliau menggesa orang ramai agar melihat konteks keseluruhan dan mengamalkan sikap sentiasa berwaspada.
Antara persoalan yang wajar ditanya ialah:
Adakah kandungan itu menjanjikan pulangan pelaburan terlalu lumayan atau “dijamin”?
Adakah anda diminta menyerahkan wang atau maklumat sensitif seperti butiran peribadi atau akaun bank?
Adakah anda didesak supaya bertindak segera tanpa diberi masa untuk berfikir atau mengesahkan kesahihan permintaan tersebut?
Menurut Encik Ho, petanda seperti itu lazimnya lebih dipercayai dalam mengenal pasti penipuan berbanding hanya mencari kecacatan pada video.
Kepercayaan disalah guna
Encik Ho berkata penipu tidak bergantung pada teknologi ‘deepfake’ semata-mata.
Malah, mereka memanipulasi pengaruh autoriti dan hubungan sedia ada untuk memperdaya mangsa
Dalam satu kenyataan pada April 2025, SPF mendedahkan satu kes pada Mac 2025 membabitkan seorang pengarah kewangan syarikat berbilang negara yang hampir kehilangan AS$500,000 ($646,000) dana syarikat.
Mangsa percaya beliau sedang menghadiri sidang video bersama ketua pegawai kewangan syarikat itu serta beberapa eksekutif kanan bagi membincangkan penyusunan semula operasi serantau syarikat tersebut.
Hakikatnya, semua individu yang muncul dalam sidang video itu ialah samaran teknologi ‘deepfake’.
Mangsa kemudian diarah memindahkan lebih AS$499,000 daripada akaun bank korporat syarikat itu ke sebuah lagi akaun bank korporat tempatan.
Beliau menurut arahan itu sebelum mula berasa curiga apabila diminta membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah AS$1.4 juta.
Mangsa segera menghubungi bank korporat syarikat itu, sekali gus membongkar penipuan berkenaan.
Walaupun wang yang dipindahkan pada peringkat awal telah disalurkan ke beberapa akaun bank di Hong Kong, dana itu akhirnya berjaya diperoleh semula hasil kerjasama pihak berkuasa Singapura dengan Hong Kong.
Menurut Encik Ho, sebaik sahaja kepercayaan berjaya diperoleh, penipu lazimnya akan menggunakan unsur desakan atau autoriti bagi memaksa mangsa bertindak sebelum sempat membuat semakan.
“Oleh itu, adalah penting kita berhenti seketika dan mengesahkan maklumat dengan sumber rasmi yang boleh dipercayai sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Encik Ng berkata sejak menemui video ‘deepfake’ itu pada Julai 2025, beliau kini lebih berhati-hati apabila mendapatkan maklumat dalam talian.
Sebagai contoh, apabila menonton video mengenai pengumuman Belanjawan 2026 di YouTube, beliau menyemak semula maklumat tersebut di laman sesawang rasmi Belanjawan Singapura dan tidak menerimanya secara membuta tuli.
Bagi Encik Ng, ada satu prinsip mudah yang diamalkannya setiap kali ingin mengesahkan sesuatu maklumat di Internet.
“Saya akan semak dengan laman rasmi pemerintah atau bertanya kepada anak perempuan saya.”