Cik Dai Yujing menyangka beliau menemui cara terbaik merai hari lahir rakannya apabila beliau berjaya mendapatkan dua tiket tempat duduk bersebelahan bagi konsert kumpulan Taiwan F*Forever di Singapura, yang sudah habis dijual.

Lebih menggembirakan Cik Dai, 31 tahun, harga tiket itu hampir sama dengan harga asalnya.

Namun, kegembiraan akauntan warga Singapura itu bertukar menjadi kekecewaan apabila beliau kehilangan lebih $700 selepas memindahkan wang kepada seorang penjual melalui aplikasi Telegram.

Beliau membuat pembayaran menggunakan khidmat pemindahan wang PayNow kerana menyangka ia lebih selamat.

Malangnya, tiket yang dijanjikan tidak diterima.

Menurut Cik Dai, kejadian itu bermula seminggu sebelum konsert tersebut pada 15 Ogos.

Beliau sedang mencari dua tiket tempat duduk bersebelahan menerusi sebuah kumpulan Telegram yang mempunyai lebih 100 peminat yang mahu membeli, menjual atau menukar tiket konsert F*Forever.

Seorang penjual yang menggunakan nama Andi kemudian menghubunginya dan menawarkan dua tiket tempat duduk bersebelahan pada harga $358 setiap satu.

Gambar tangkap layar tiket yang dikirimkan penjual itu kelihatan sah dan meyakinkan.

Bagi Cik Dai, mendapatkan tempat duduk bersebelahan amat penting.

Beliau dan dua rakannya sebenarnya sudah membeli tiket menerusi platform penjualan rasmi, Ticketmaster, apabila jualan dibuka pada Jun.

Namun, tempat duduk mereka berjauhan.

Cik Dai tidak mahu seorang rakannya, yang menyambut hari lahir pada hari konsert itu, duduk bersendirian.

Beliau pada mulanya meminta untuk membayar bagi satu tiket dahulu, tetapi penjual tersebut berkeras mahu kedua-dua tiket dibayar sepenuhnya sebelum ia dihantar.

Disebabkan kesuntukan masa, Cik Dai akhirnya bersetuju dan memindahkan wang tersebut.

“Ketika itu tinggal seminggu sahaja sebelum konsert. Rakan-rakan saya pula tidak boleh menjual tiket sedia ada selagi saya belum mendapatkan tempat duduk bersebelahan,” katanya.

Namun, selepas menerima wang, Andi terus menyekat Cik Dai di Telegram.

Cik Dai segera membuat laporan polis dan menghubungi banknya, tetapi wang tersebut sudah lesap.

Ambil kesempatan daripada rasa takut terlepas peluang (Fomo)

Cik Dai bukan satu-satunya mangsa penipuan tiket konsert.

Menurut data Pasukan Polis Singapura (SPF), daripada 3,865 kes penipuan e-dagang yang dilaporkan pada separuh pertama 2026, sebanyak 483 kes melibatkan tiket konsert, dengan kerugian keseluruhan berjumlah $328,000.

Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Awam Mengenai Penipuan SPF, Encik Jeffery Chin, berkata penipuan tiket konsert sukar dibendung.

Menurut beliau, penipuan sedemikian sering berlaku apabila permintaan bagi tiket sangat tinggi, bekalannya terhad dan pembeli berasa terdesak untuk bertindak segera.

Keadaan itu boleh menyebabkan seseorang mudah terpedaya, termasuk mereka yang berpengalaman menghadiri konsert.

“Apabila tiket konsert habis dijual, rasa takut terlepas peluang untuk menyaksikan persembahan itu boleh mengatasi pertimbangan rasional dan sikap berhati-hati,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa peminat yang terlalu ingin menyaksikan persembahan artis pujaan mereka mungkin beralih kepada saluran penjualan tidak rasmi.

Penipu mengambil kesempatan daripada keadaan itu dengan mendesak pembeli supaya segera membuat pembayaran.

Antara helah yang digunakan adalah mendakwa tiket semakin terhad, mendapat permintaan tinggi atau tawaran hanya sah untuk tempoh singkat.

SPF telah menghubungi platform dalam talian seperti Carousell, Facebook Marketplace dan TikTok supaya iklan penjualan semula tiket konsert diturunkan.

Dalam kes Cik Dai, beliau sudah menunggu selama 20 tahun untuk menyaksikan pertemuan semula kumpulan F*Forever.

Kumpulan itu menampilkan tiga pelakon utama sebuah drama popular Taiwan, Meteor Garden (2001), bersama vokalis utama kumpulan rok Mayday, Ashin.

Ketiga-tiga konsert mereka di Stadium Tertutup Singapura dari 14 hingga 16 Ogos mendapat sambutan hangat, dengan semua tiket habis dijual dan menarik 33,000 peminat.

Rasa selamat
mengelirukan

Cik Dai mengakui penggunaan PayNow merupakan antara punca beliau kurang berwaspada ketika membuat pembayaran.

Beliau menyangka urus niaga itu boleh dikesan kerana akaun PayNow dipautkan ke akaun bank atau dompet elektronik di Singapura melalui maklumat pengenalan seperti nombor telefon bimbit atau nombor kad pengenalan (NRIC).

Namun, Encik Chin menegaskan nombor PayNow, Nombor Pengenalan Entiti Unik (UEN), kod QR atau maklumat akaun yang dipaparkan bukan bukti bahawa penerima wang itu benar-benar sah.

UEN ialah nombor pengenalan rasmi yang diberikan oleh pemerintah kepada entiti seperti syarikat perniagaan, badan amal dan persatuan.

Menurut Encik Chin, walaupun polis boleh mengenal pasti pemilik akaun PayNow, individu tersebut tidak semestinya penipu sebenar.

“Penipu, khususnya yang beroperasi sebagai sebahagian daripada sindiket terancang, mungkin menggunakan akaun bank atau akaun pembayaran milik individu lain, yang lazimnya dikenali sebagai keldai wang, untuk menerima dan memindahkan hasil penipuan,” jelasnya.

Cik Dai bukan satu-satunya mangsa yang menyangka PayNow dapat memberikan perlindungan daripada penipuan.

Beberapa jam sebelum konsert penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Mariah Carey, di Singapura pada Oktober 2025, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 32 tahun turut menjadi mangsa penipuan tiket.

Lelaki itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Paul bagi melindungi privasinya, menghubungi seorang penjual selepas melihat iklan tiket di platform jual beli dalam talian Carousell.

Paul, seorang karyawan perhubungan awam yang bekerja sendiri, kemudian diminta memindahkan $250 menerusi PayNow kepada sebuah akaun yang menggunakan UEN.

Beliau membuat pembayaran sebagaimana diminta, tetapi tiket yang dibeli itu langsung tidak diterimanya.

Paul menyangka beliau sudah mengambil langkah berjaga-jaga yang wajar.

Beliau berkata sebelum membuat pembayaran, beliau memeriksa UEN berkenaan melalui portal Bizfile milik Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

Hasil pemeriksaan menunjukkan nombor itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang menyediakan khidmat sokongan pendidikan.

Oleh itu, beliau menyangka urus niaga tersebut boleh dikesan sekiranya berlaku masalah.

“Saya tidak menganggap diri saya seorang yang mudah terpedaya oleh penipuan.

“Hakikat bahawa pembayaran dibuat melalui PayNow menggunakan UEN, walaupun saya tahu ia bukan jaminan keselamatan sepenuhnya, membuatkan saya berasa kurang terdedah kepada risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Paul membuat laporan polis, tetapi wangnya tidak berjaya diperoleh semula.

Sementara itu, Cik Dai mengakui beliau sepatutnya lebih berhati-hati sebelum membuat pembayaran kepada penjual tidak dikenali.

Beliau kemudian menyedari bahawa gambar tangkap layar tiket yang dihantar Andi mempunyai sedikit perbezaan berbanding paparan tiket sebenar di laman web, Ticketmaster.

Ketika kejadian itu berlaku, Cik Dai masih teruja selepas menghadiri konsert F*Forever di Kuala Lumpur.

“Saya sebenarnya tidak memberikan perhatian sepenuhnya ketika itu,” katanya.

Rencana ini sebahagian daripada siri ‘Bertindak Menentang Penipuan’ dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti