Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BG Fairoz bawa nilai keluarga, keikhlasan, semangat bakti ke medan kepimpinan SAF

BG Fairoz kini pegang dua jawatan strategik sebagai Komander Divisyen Kesembilan dan Ketua Pegawai Infantri
Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan berkata perjalanannya sebenarnya berakar daripada sesuatu yang jauh lebih peribadi iaitu keluarga.
Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan berkata perjalanannya sebenarnya berakar daripada sesuatu yang jauh lebih peribadi iaitu keluarga. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Sebelum beliau menerima jawatan serta pencapaian yang tinggi dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), perjalanan Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan sebenarnya berakar daripada sesuatu yang jauh lebih peribadi iaitu keluarga. 

Ia adalah sokongan yang konsisten daripada insan-insan tersayang, yang membentuk arah hidup dan tujuan beliau, jauh sebelum menyarung pakaian seragam tentera.

“Ibu bapa saya orang yang sangat sederhana dan jujur.

“Kami hidup dengan cara yang ringkas, tapi mereka sentiasa menyokong dan yakin kepada apa saja yang saya buat. 

“Mereka benarkan saya membesar dengan apa saja saya ingin lakukan,” kata BG Fairoz, 46 tahun, dalam satu episod NoTapis, podcast Berita Harian.

Sebagai anak bongsu dalam keluarga dua adik-beradik, BG Fairoz dibesarkan oleh bapanya yang pernah bekerja di agensi air negara, PUB, dan ibunya, seorang suri rumah.

Walaupun kehidupan keluarganya tidak mewah, beliau menjelaskan hidupnya tetap kaya dengan nilai-nilai yang diterapkan oleh kededua orang tuanya.

BG Fairoz (paling kanan) dan abangnya Encik Herman (dua dari kiri)  bersama ibu bapa mereka Encik Hassan Haron (dua dari kanan), yang pernah bekerja di agensi air negara PUB dan Cik Sukini Sajari (kiri) seorang suri rumah.
BG Fairoz (paling kanan) dan abangnya Encik Herman (dua dari kiri) bersama ibu bapa mereka Encik Hassan Haron (dua dari kanan), yang pernah bekerja di agensi air negara PUB dan Cik Sukini Sajari (kiri) seorang suri rumah. - Foto ihsan Fairoz Hassan

Mengenai prinsip yang terus menjadi panduan dalam hidup dan kerjayanya, beliau berkata:

“Jadi orang yang ikhlas dan rendah hati.

“Menjadi ikhlas itu adalah menjadi diri sendiri (tidak berpura-pura), dan menjadi rendah hati adalah mengakui bahawa kita tidak sempurna, tetapi terus berusaha untuk memperbaiki diri dalam sebarang situasi yang saya mengalami.”

Bagi BG Fairoz, ini bukan sekadar kata-kata, tetapi prinsip yang ditanam sejak kecil dan terus dibawa ke medan kepimpinan.

Selain ibu bapanya, satu lagi individu yang menjadi tonggak sokongan baginya ialah isterinya, Cik Dawn Lim, yang telah kembali ke Rahmatullah pada awal 2025.

“Sebenarnya, isteri saya mempunyai hati yang lebih besar daripada saya,” kongsi beliau, yang hanya selesa berkongsi kisah beliau dan arwah isterinya secara terhad.

“Apa-apa yang saya perlu lakukan, beliau akan berikan, sama ada keyakinan atau pendapat.

“Saya rasa itu perkara yang paling penting,” tambahnya.

BG Fairoz Hassan (tiga dari kiri) menjamu selera bersama ahli keluarganya (dari kiri), kakak iparnya Cik Sarina Samian, arwah isterinya, Cik Dawn Lim, ibunya, Cik Sukini Sajari, bapanya, Encik Hassan Haron, dan abangnya, Encik Herman Hassan.
BG Fairoz Hassan (tiga dari kiri) menjamu selera bersama ahli keluarganya (dari kiri), kakak iparnya Cik Sarina Samian, arwah isterinya, Cik Dawn Lim, ibunya, Cik Sukini Sajari, bapanya, Encik Hassan Haron, dan abangnya, Encik Herman Hassan. - Foto ihsan FAIROZ HASSAN

Katanya lagi, isterinya penyokong utama yang memberinya ketenangan, memahami, dan sentiasa ada apabila beliau mengalami sebarang keadaan rumit. 

Walaupun kini tiada lagi di sisi, kekuatan yang pernah diberi kekal terasa.

Bagi BG Fairoz, sokongan dan dorongan diberikan keluarganya bukan sahaja menerusi kata-kata tetapi prinsip yang dipegang dan terus dibawa ke medan kepimpinan.

Beliau antara sekitar 1,200 anggota SAF yang menerima sijil pada Majlis Kenaikan Pangkat Kementerian Pertahanan (Mindef)/SAF, pada 26 dan 27 Jun di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baru di Hillview Link.

Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dan Panglima SAF, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, hadir bagi menyampaikan sijil kepada pegawai kanan, termasuk mereka yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Waran (CWO), Kolonel, Pakar Tentera 7 (ME7) dan kedudukan ke atas.

BG Fairoz kini memegang dua jawatan strategik sebagai Komander Divisyen Kesembilan dan Ketua Pegawai Infantri.

Dengan adanya satu bintang di dada, BG Fairoz kini memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Ditanya tentang perasaannya menggalas jawatan yang baru, beliau berkata:

“Kalau tanya saya, satu bintang ini rasa berat.

“Saya kini harus pikul amanah yang diberikan orang untuk memimpin dengan terbaik.”

Antara tanggungjawabnya adalah memastikan agar “setiap askar dilatih dengan betul dan dengan selamat”.

Dalam pada itu, beliau percaya dengan nilai-nilai yang dipegang, di samping mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan jelas akan membantunya.

“Ia penting sekali kerana rakan sekerja kita mesti percaya dengan kita, dan mesti percaya bahawa kita ikhlas dalam melakukan segala tugas.

“Kita mesti percaya bahawa setiap orang datang bekerja untuk melakukan tugas mereka sebaik mungkin mengikut keupayaan mereka,” kata BG Fairoz.

Walaupun beliau menggalas salah satu pangkat yang tertinggi dalam SAF, di rumah pula beliau bukan seorang jeneral malah pemilik empat ekor kucing hitam yang diselamatkan.

Di rumah, BG Fairoz sering ‘diperintah’ dengan renungan tajam dan kerenah manja empat ekor kucing hitam yang diselamatkannya.
Di rumah, BG Fairoz sering ‘diperintah’ dengan renungan tajam dan kerenah manja empat ekor kucing hitam yang diselamatkannya. - Foto Fairoz Hassan

Setiap kali pulang ke rumah, beliaulah yang “diperintah”, bukan dengan arahan tentera, tetapi dengan renungan tajam dan kerenah si manja. 

“Saya mungkin ada satu bintang di tempat kerja tetapi di rumah saya kalah kerana kucing saya setiap satu ada empat bintang.

“Itu sudah 16 bintang.

“Merekalah ‘bos’ sebenar di rumah,” katanya sambil ketawa.

Gelagat kucing-kucing itu menjadi penghibur selepas penat sehari bekerja, dan menjadi sebahagian daripada rutin yang mengingatkan beliau tentang pentingnya ketenangan, kasih sayang dan kehadiran dalam ruang peribadi.

Bagi BG Fairoz, kejayaan sebenar bukanlah pada bintang di dada, tetapi pada impak terhadap orang lain. 

“Apabila saya mula berkhidmat di SAF saya tidak sangka saya akan berada sini selama 28 tahun.

“Tetapi ini hanya menjadi kenyataan kerana ramai orang termasuk ibu bapa saya, abang saya, dan arwah isteri saya.

“Kepercayaan mereka kepada saya tetap teguh, walaupun ketika saya sendiri ragu-ragu,” katanya.

“Sekarang giliran saya bantu generasi seterusnya untuk jadi lebih baik,” ujarnya.

SIAPA BG FAIROZ HASSAN? 

  1. Nama: Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan
  2. Usia: 46 tahun
  3. Keluarga: Anak bongsu dua beradik
  4. Tentang diri beliau: ‘Introvert’ (lebih cenderung menyendiri), pencinta kucing yang memelihara empat ekor kucing
  5. Pendidikan: Lulusan sarjana muda perniagaan, pengurusan sumber manusia dan perkhidmatan Universiti Teknologi Nanyang (NTU)
  6. Jawatan: Komander Divisyen Kesembilan (9 Div) SAF, Ketua Pegawai Infantri SAF
  7. Dinaikkan pangkat ke BG sejak 1 Julai 2025
  8. Antara pengalaman operasi di SAF:
  9. Prinsip kepimpinan: “Kalau kita jujur dan ikhlas, orang akan sanggup bersama kita, walaupun dalam keadaan paling sukar.”
Imbas kod QR untuk dengarkan episod podcast ini.
Imbas kod QR untuk dengarkan episod podcast ini. - Foto BH
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg