Beliau menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) hampir 30 tahun lalu bukan dengan cita-cita atau impian untuk memakai seragam, tetapi kerana keperluan.
Tidak mampu membiayai pengajian universiti selepas menamatkan pengajian di Maktab Rendah Raffles, Encik Fairoz Hassan membuat keputusan praktikal untuk menyertai SAF secara sepenuh masa demi melanjutkan pelajaran.
Namun, apa yang bermula sebagai satu langkah untuk menampung pendidikan akhirnya menjadi seruan dalam kehidupannya.
Perjalanan yang dilalui itu penuh dengan keikhlasan, kesyukuran dan rasa tanggungjawab yang tidak berbelah bagi, bukan untuk pangkat atau pengiktirafan tetapi untuk berkhidmat demi negara.
Baginya, kejayaan adalah tentang membantu orang sekelilingnya, berpegang teguh pada nilai peribadi dan memberi usaha sepenuhnya, sama ada dalam tugas bersama tentera atau di rumah memberi makanan kepada empat kucing yang diselamatkannya.
Encik Fairoz Hassan, 46 tahun, dinaikkan pangkat menjadi Brigedier-Jeneral (BG) pada 1 Julai, menjadikan beliau BG Melayu/Islam kedua dalam sejarah SAF.
“Saya amat bersyukur diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
BG Fairoz kini memegang dua jawatan strategik sebagai Komander Divisyen Kesembilan dan Ketua Pegawai Infantri.
Sebelum ini, beliau dinaikkan pangkat daripada Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) kepada Kolonel pada 2019.
Dalam tempoh 28 tahun, beliau telah menyandang pelbagai peranan, termasuk menyertai misi bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa Tsunami di Aceh pada 2004 dan gempa bumi Nepal 2015.
Namun di sebalik semua pencapaian tersebut, BG Fairoz tetap berendah hati.
“Saya sebenarnya tidak pernah bercita-cita untuk jadi jeneral.
“Saya mula perjalanan ini kerana saya ingin melanjutkan pengajian, tetapi ibu bapa saya tidak mampu,” kata lulusan sarjana muda perniagaan, pengurusan sumber manusia dan perkhidmatan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.
“Tapi walaupun saya mula perjalanan ini dengan biasiswa, saya tetap melakukan setiap tugas dengan yang terbaik,” ujarnya.
Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya dalam sarjana pentadbiran perniagaan (MBA), Nanyang Fellows Programme di NTU.
Mengenai prinsip kepimpinannya, BG Fairoz berkata: “Kalau kita jujur dan ikhlas, orang akan sanggup bersama kita, walaupun dalam keadaan paling sukar.”
Dalam satu episod NoTapis, podcast Berita Harian, BG Fairoz juga berkongsi tentang cara beliau mengimbangi masa di rumah dan juga di kerja.
Katanya, terdapat kepentingan memegang kepada konsep integrasi kerja dan kehidupan, memberi ‘100 peratus’ kepada apa jua yang dilakukannya.
“Pekerjaan saya mungkin mencabar tetapi untuk mengimbangi masa saya pastikan apa-apa saya lakukan ada 100 peratus.
“Apabila saya di rumah, saya beri 100 peratus. Apabila saya sedang melakukan latihan di lapangan atau pejabat, saya juga beri 100 peratus,” kata ‘bapa’ kepada empat kucing hitam itu.
Walaupun mewakili masyarakat minoriti, beliau menegaskan bahawa yang utama ialah prestasi, dedikasi dan keikhlasan.
“Kalau kita fokus dan buat kerja dengan jujur, peluang itu akan datang,” jelasnya.
Pelantikan beliau sebagai BG diumumkan dalam Majlis Kenaikan Pangkat SAF yang berlangsung pada 26 dan 27 Jun, yang turut menyaksikan lebih 1,200 anggota lain menerima pengiktirafan, termasuk Pegawai Waran Kanan (SWO) Zulkarnaen Hussain (dinaikkan ke Ketua Pegawai Waran) dan Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli (dinaikkan ke Leftenan Kolonel).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg