BH beralih ke saiz kompak esok; pembaca renung peranan akhbar rentas zaman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH beralih ke saiz kompak esok; pembaca renung peranan akhbar rentas zaman

Mar 23, 2026 | 5:30 AM

BH beralih ke saiz kompak esok; pembaca renung peranan akhbar rentas zaman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Berita Harian, akhbar, kompak
Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Commonwealth, Cik Nur Amalina Shalan (kanan), bersama dua pelajar menengah satu, Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi (tengah) dan Nayli Alwani Mohammad Hafiz (kiri). - Foto BH oleh KHALID BABA

Selepas edisi pertamanya hampir 70 tahun lalu, Berita Harian (BH) menerbitkan edisi lembaran lebar (broadsheet) terakhirnya hari ini, 23 Mac, sebelum beralih sepenuhnya kepada format kompak yang baru bermula esok, 24 Mac.

Namun, di sebalik evolusi fizikal ini, pembaca meluahkan harapan agar akhbar ini kekal menjadi jendela serta perakam utama sejarah masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Dari bilik darjah hingga ke meja makan keluarga, akhbar BH menjadi alat kritikal dalam pendidikan, rujukan penyelidikan, serta jambatan utama untuk mengikuti perkembangan hal ehwal masyarakat, kata pembaca daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pendidik veteran, Encik Supki Sidek, 79 tahun, bersama isterinya, Cik Absah Mohamad, meluangkan masa membaca artikel Berita Harian secara dalam talian di kediaman mereka.
Pendidik veteran, Encik Supki Sidek, 79 tahun, bersama isterinya, Cik Absah Mohamad, meluangkan masa membaca artikel Berita Harian secara dalam talian di kediaman mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi generasi muda, format baru ini dilihat sebagai langkah praktikal yang memudahkan mereka mendalami bahasa ibunda.

Pelajar Menengah 1 dari Sekolah Menengah Commonwealth, Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi, mengakui saiz besar sebelum ini sukar dibacanya.

“Kadang-kadang susah hendak selak muka surat sebab kertasnya terlalu besar dan tangan saya masih kecil. Jadi, kalau format kompak, ia lebih senang untuk saya buka, lipat dan baca di mana sahaja,” katanya.

Bagi golongan ibu bapa pula, BH ialah instrumen pendidikan yang tidak boleh diganti.

Cik Saleha Mohamad Noor, 41 tahun, berkata kisah yang ditampilkan naskhah ini menjadi bukti nyata buat anak-anaknya tentang realiti kehidupan.

“Apabila mereka baca sendiri laporan tentang cabaran dan kejayaan orang lain, barulah mereka sedar. Bukan kami hendak berleter, tetapi ini fakta yang benar-benar berlaku,” ujar penyelia makmal itu.

Perspektif ini disokong oleh pendidik yang menggunakan BH sebagai bahan pengajaran di sekolah.

Menurut Cik Nur Amalina Shalan, seorang guru Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Commonwealth, BH membantu meruntuhkan tembok “takut” pelajar terhadap bahasa ibunda.

“Bagi pelajar saya, bila mereka baca Berita Harian, mereka nampak bahasa Melayu itu ‘hidup’. Ia bukan lagi sekadar subjek yang mereka kena lulus dalam peperiksaan, bahkan sesuatu yang berlaku di sekeliling mereka.

“Bila tajuk berita itu dekat dengan jiwa mereka, rasa takut pada laras bahasa yang tinggi itu mula hilang,” jelasnya.

Peralihan BH ke saiz kompak merupakan mercu tanda penting dalam perjalanan transformasi tiga tahun bilik berita BH untuk kekal relevan dalam landskap media yang kian berubah, kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, sebelum ini.

Walaupun saiz fizikalnya berubah, nilai teras BH sebagai nadi masyarakat tetap menjadi tonggak utama akhbar ini, katanya.

Sambil merenung kembali perjalanan panjang BH, barisan pembaca daripada pelajar sekolah hinggalah kepada warga emas menyuarakan harapan agar akhbar ini terus konsisten menjadi suara masyarakat, tanpa mengira bentuk fizikalnya.

Tokoh pendidik veteran, Encik Supki Sidek, 79 tahun, yang mempromosikan program Akhbar Dalam Darjah (ADD) sejak 1985, melihat BH sebagai alat pendidikan yang tiada ganti.

Namun, lebih daripada itu, beliau percaya BH adalah naskhah wajib bagi mereka yang ingin memahami masyarakat Melayu di Singapura secara mendalam.

“Orang Melayu Singapura, khususnya para pemimpin, harus membaca BH untuk mengetahui dan merasai sendiri denyut nadi masyarakat Melayu/Islam di sini. Ia adalah cermin bagi aspirasi kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg