Peranan BH sebagai bahan pendidikan, rujukan kajian, dan jendela masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan BH sebagai bahan pendidikan, rujukan kajian, dan jendela masyarakat

Tugas BH tidak pernah terhad kepada saiz fizikalnya. Walaupun formatnya kini lebih kompak dan ke arah digital, tanggungjawabnya tetap sama iatu selaku suara dan perakam sejarah masyarakat Melayu Singapura, hari ini dan selamanya
Mar 23, 2026 | 5:30 AM

Peranan BH sebagai bahan pendidikan, rujukan kajian, dan jendela masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Keluarga Cik Saleha Mohamad Nor (atas kanan), membaca dan berbincang tentang artikel BH di meja makan. Bersama Cik Saleha ialah (mengikut pusingan jam bermula kanan) suami, Encik Mohamad Farouk Mohamad Yusoff, Umar Rayyan Mohamad Farouk, Umairah Mohamad Farouk dan Mohamad Mikhail Mohamad Farouk.
Keluarga Cik Saleha Mohamad Nor (atas kanan), membaca dan berbincang tentang artikel BH di meja makan. Bersama Cik Saleha ialah (mengikut pusingan jam bermula kanan) suami, Encik Mohamad Farouk Mohamad Yusoff, Umar Rayyan Mohamad Farouk, Umairah Mohamad Farouk dan Mohamad Mikhail Mohamad Farouk. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di meja makan keluarga Cik Saleha Mohamad Noor, waktu makan malam bukan hanya untuk mengisi perut, malah ia menjadi tempat perbincangan.

Keratan akhbar Berita Harian (BH), di hujung meja, sering menjadi ‘tetamu terhormat’ sebagai permulaan topik perbualan mereka sekeluarga.

Menyedari anak-anaknya lebih selesa berbahasa Inggeris, Cik Saleha, 41 tahun, mula memperkenalkan BH secara tekal sejak akhir 2025, terutama bagi anak keduanya, Mohamad Mikhail Mohamad Farouk, 12 tahun, yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2026.

Langkah itu juga merupakan susulan saranan guru tuisyen Mikhail yang menggalakkan pembacaan akhbar secara tekal untuk memperkukuh penguasaan bahasanya.

“Pada awalnya, penguasaan bahasa Melayu anak saya agak janggal. Ayatnya pendek dan kaku. Dia mahir berbahasa Inggeris, jadi apabila membaca teks Melayu di sekolah, dia cepat rasa bosan,” kongsi Cik Saleha, ibu kepada tiga anak berusia antara lapan dengan 14 tahun.

Beliau mula menugaskan artikel tertentu – terutama berita sukan bola sepak – untuk dibaca dan dibincangkan bersama.

Hasilnya cukup ketara.

Walaupun kosa katanya masih terbatas, Mikhail kini mampu merumuskan inti pati berita dengan lebih yakin dan lancar.

Kehadiran fizikal akhbar BH di rumah turut mencetuskan kesan berantai kepada ahli keluarga yang lain. Dalam gambar (dari kiri) Umar Rayyan Mohamad Farouk, Encik Mohamad Farouk Mohamad Yusoff, Mohamad Mikhail Mohamad Farouk, Cik Saleha Mohamad Nor dan Umairah Mohamad Farouk.
Kehadiran fizikal akhbar BH di rumah turut mencetuskan kesan berantai kepada ahli keluarga yang lain. Dalam gambar (dari kiri) Umar Rayyan Mohamad Farouk, Encik Mohamad Farouk Mohamad Yusoff, Mohamad Mikhail Mohamad Farouk, Cik Saleha Mohamad Nor dan Umairah Mohamad Farouk. - Foto NUR DIYANA TAHA

Apa yang menarik, kehadiran fizikal akhbar BH di rumah turut mencetuskan kesan berantai kepada ahli keluarga yang lain.

Anak sulungnya Umar Rayyan Mohamad Farouk, dan anak bongsunya, Umairah Mohamad Farouk, kini juga membelek-belek naskhah tersebut secara spontan.

Melalui tajuk berita serta gambar-gambar yang menarik, mereka secara tidak langsung mula menyerap kosa kata baru dan memahami isu semasa masyarakat dengan cara yang lebih santai.

Namun, bagi Cik Saleha, nilai sebenar BH terserlah apabila naskhah itu bertindak sebagai penyemak fakta bagi nilai kehidupan.

Beliau sering memetik kisah kejayaan masyarakat Melayu dalam BH sebagai pengajaran dan inspirasi untuk anak-anaknya.

“Kadang-kadang bila ibu bapa bercerita tentang susah payah dahulu, anak-anak ingat kita sengaja reka cerita.

“Tetapi apabila mereka baca sendiri laporan di akhbar tentang cabaran dan kejayaan orang lain, baru mereka sedar itu adalah fakta yang benar-benar berlaku,” ujarnya.

Rutin berkongsi keratan akhbar itu bukan sahaja memperbaiki mutu lisan anak-anaknya, malah menyuntik rasa syukur dan inspirasi dalam sanubari mereka.

Naskhah itu menjadi sauh bagi merapatkan hubungan anak-anaknya dengan bahasa ibunda.

Bagi ramai generasi muda, membaca akhbar bermula di bilik darjah.

Sebelum mereka bersedia meneroka isu sejagat yang mencabar, BH terlebih dahulu berperanan sebagai ‘guru’ pertama yang memperkenalkan keindahan bahasa ibunda.

Melalui akhbar Gen G yang diolah khusus untuk murid sekolah rendah, naskhah itu menjadi lebih santai dan mudah diakses.

Kisah yang melibatkan masyarakat Melayu Singapura atau berita yang relevan mengenai negara ini menjadi tapak permulaan pelajar membaca akhbar.

Pelajar Menengah 1 dari Sekolah Menengah Commonwealth, Nayli Alwani Mohammad Hafiz (kiri), dan Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi (tengah), bersama guru Bahasa Melayu mereka, Cikgu Nur Amalina Shalan berbincang mengenai artikel dalam Berita Harian.
Pelajar Menengah 1 dari Sekolah Menengah Commonwealth, Nayli Alwani Mohammad Hafiz (kiri), dan Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi (tengah), bersama guru Bahasa Melayu mereka, Cikgu Nur Amalina Shalan berbincang mengenai artikel dalam Berita Harian. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Nayli Alwani Mohammad Hafiz, pelajar Menengah 1 dari Sekolah Menengah Commonwealth, dia mula membaca akhbar sejak berusia 10 tahun, semasa berada di Darjah 4, dan ia diperkenalkan oleh guru sekolah rendahnya.

Di rumah dan di sekolah, Nayli juga didedahkan kepada akhbar BH dan menjawab tanpa teragak-agak, dia akur minat membaca segmen Gaya Hidup.

“Saya suka membaca tentang budaya dan warisan di segmen Gaya Hidup. Saya minat warisan seperti corak-corak dan juga budaya tarian,” ujar Nayli, anak sulung tiga beradik.

Seorang lagi pelajar daripada kelas Bahasa Melayu yang sama, Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi, lebih minat mengetahui mengenai politik dan tentang isu sejagat, selain sukan.

“Walaupun tidak dapat faham sepenuhnya, gambar-gambar dan tajuk artikel dapat membantu saya lebih mengetahui tentang apa yang berlaku dalam dunia,” ujar Eshan, anak tunggal.

Guru Bahasa Melayu, Cikgu Nur Amalina Shalan, 33 tahun, mula menggunakan BH untuk mengajar dalam kelas-kelasnya sejak 2016, dan mendapati ia penting untuk menghidupkan bahasa di luar buku teks.

Beliau menyifatkan BH sebagai ‘perpustakaan hidup’ yang memperkukuh kecelikan sivik dan sejagat pelajar.

“BH antara sumber sahih yang kami gunakan untuk mengukuhkan pegangan pasukan bahas kami,” kongsi beliau, merujuk kepada persiapan pertandingan Bahas 4PM untuk pelajar-pelajarnya sejak bermula mengajar di sekolah itu pada 2019.

Cikgu Nur Amalina Shalan (dua dari kiri) mula menggunakan BH sebagai bahan mengajar sejak 2016. Bersama beliau adalah pelajar kelas Bahasa Melayu Menengah 1; (dari kiri) Ayra Nadirah Muhammad Adib, Nayli Alwani Mohammad Hafiz, Aaryan Uwais Maszuan, Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi dan Roslyn Isabelle Bangras.
Cikgu Nur Amalina Shalan (dua dari kiri) mula menggunakan BH sebagai bahan mengajar sejak 2016. Bersama beliau adalah pelajar kelas Bahasa Melayu Menengah 1; (dari kiri) Ayra Nadirah Muhammad Adib, Nayli Alwani Mohammad Hafiz, Aaryan Uwais Maszuan, Mohammad Eshan Rizqi Mohammad Yusdi dan Roslyn Isabelle Bangras. - Foto BH oleh KHALID BABA

Selain latihan kosa kata, Cikgu Amalina sering menggunakan cerpen daripada Berita Minggu serta rencana sejarah – seperti kisah haji di Kampong Gelam – untuk menyedarkan pelajar tentang jati diri Singapura sebagai pusat ilmu.

Sebagai seorang pendidik, saat yang membanggakan adalah apabila karya pelajar sendiri menghiasi akhbar ruangan Gen G.

Beliau berharap agar wadah kreatif seperti cerpen dan puisi terus dikekalkan dalam format baru.

“Saya juga berharap BH akan terus menyerlahkan tokoh-tokoh penting di Singapura dan negara-negara jiran yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Melalui kisah-kisah mereka, generasi muda akan tahu kisah mereka dan terus bersemangat untuk menjadi insan yang arif dan budiman,” tambahnya.

Evolusi penggunaan BH terus mekar apabila pelajar melangkah ke menara gading.

Bagi mahasiswi Universiti Nasional Singapura, Cik Nur Hanisah Mohamad Ibrahim, 22 tahun, melihat BH lebih daripada sumber berita, malah rakan kerjasama yang menyokong pertumbuhannya sejak di bangku sekolah lagi.

Mengimbau kembali, kaitan beliau dengan BH bermula sebagai Rakan Bahasa di sekolah menengah.

Jika dahulu beliau tertarik dengan ruangan Gen G kerana saiznya yang kompak, kini BH menjadi arkib rujukan yang kritikal bagi tugas penyelidikannya.

Pelajar tahun kedua dalam bidang Arkitek Landskap di Universiti Nasional Singapura, Cik Nur Hanisah Mohamad Ibrahim, memanfaatkan BH untuk menyelidik dokumentasi masjid-masjid lama di Singapura.
Pelajar tahun kedua dalam bidang Arkitek Landskap di Universiti Nasional Singapura, Cik Nur Hanisah Mohamad Ibrahim, memanfaatkan BH untuk menyelidik dokumentasi masjid-masjid lama di Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pelajar Arkitek Landskap tahun kedua itu pernah memanfaatkan arkib digital BH melalui Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk menyelidik dokumentasi masjid-masjid lama di Singapura.

“Tanpa dokumentasi rasmi yang lengkap, keratan akhbar lama BH menjadi sumber utama kami mencari gambar dan laporan acara sejarah masjid-masjid lama,” kongsi pelajar Arkitek Landskap tahun kedua itu.

Kredibiliti BH sebagai wadah sastera turut mendorong beliau, selaku mantan Pengarah Projek Bisikan Pena anjuran Persatuan Bahasa Melayu NUS (PBMUKS), untuk menjalin kerjasama menyiarkan puisi pelajar pada 2025.

Bagi Cik Hanisah, BH tetap mempunyai sentuhan eksklusif; daripada infografik Belanjawan yang mudah difaham hingga ke ruangan ‘Notis’ yang menyentuh hal peribadi masyarakat.

“Ia menyuntik elemen kemanusiaan yang mungkin tidak ditemui di platform lain,” tambahnya.

Cik Hanisah Mohamad Ibrahim (tengah) berbincang tentang artikel BH bersama rakan-rakan sekampusnya yang juga anggota Persatuan Bahasa Melayu NUS (PBMUKS), Cik Iffah Munirah Marwan (kiri) dan Cik Reyna Sofyan.
Cik Hanisah Mohamad Ibrahim (tengah) berbincang tentang artikel BH bersama rakan-rakan sekampusnya yang juga anggota Persatuan Bahasa Melayu NUS (PBMUKS), Cik Iffah Munirah Marwan (kiri) dan Cik Reyna Sofyan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Jika Cik Saleha mewakili generasi ibu bapa yang sedang bergelut memupuk minat membaca dalam generasi muda, Encik Supki Sidek, 79 tahun, pula telah menyaksikan evolusi BH sejak naskhah pertamanya diterbitkan.

Sebagai mantan pakar kurikulum dan pendidik veteran yang pernah bertugas di institusi seperti Institusi Raffles (RI) dan Maktab Rendah Hwa Chong, beliau melihat BH sebagai naskhah yang menghidupkan wacana intelektual pelajarnya.

Beliau sering menjadi pembela naskhah ini di bilik darjah, malah teringat pernah ditegur ibu bapa kerana lebih banyak menggunakan keratan BH berbanding buku teks.

“Saya jelaskan kepada mereka, buku teks mungkin sudah lima tahun ketinggalan zaman, tetapi Berita Harian adalah maklumat baru.

“Sebagai pakar kurikulum, saya mahu pelajar menghirup bahasa yang hidup,” ujar beliau.

Pendidik veteran, Encik Supki Sidek, membaca BH sejak 1960-an.
Pendidik veteran, Encik Supki Sidek, membaca BH sejak 1960-an. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau yang membaca BH sejak 1960-an berpendapat bahawa naskhah itu adalah rujukan wajib bagi sesiapa yang ingin memahami isu masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Saya rasa kalau orang Melayu Singapura tidak membaca Berita Harian, (dia) bukan Melayu Singapura lah. Apa sahaja yang berkaitan dengan masyarakat kita, dia seharusnya dan wajar membaca Berita Harian,” kata bapa empat anak dan datuk lima cucu itu.

Walaupun sudah mencecah usia hampir lapan dekad, Encik Supki tidak ketinggalan dalam arus teknologi dan kini juga selesa menatal iPad untuk mengikuti perkembangan terkini secara digital di laman web BH.

Namun, beliau tetap menitipkan pesanan agar BH dalam format kompak tetap mengekalkan mutu kandungan, terutama dalam aspek analisis dan sastera.

Encik Supki Sidek tidak ketinggalan dalam arus teknologi dan kini selesa menatal iPad untuk membaca BH. Bersama dalam gambar ialah isterinya, Cik Absah Mohamad.
Encik Supki Sidek tidak ketinggalan dalam arus teknologi dan kini selesa menatal iPad untuk membaca BH. Bersama dalam gambar ialah isterinya, Cik Absah Mohamad. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Berita Harian menyediakan banyak perspektif dan analisis penulis. Saya harap BH mengekalkan identiti itu agar ia tetap mempunyai pengikutnya tersendiri,” tambah beliau yang kini masih aktif memperkasa seni khat dan Jawi melalui Perikatan Tunas Jawi.

Menjelang 23 Mac, naskhah lebar yang menjadi teman setia selama hampir 70 tahun bakal melabuhkan tirainya.

Namun, seperti yang dibuktikan oleh Nayli, Eshan, Cikgu Amalina, Cik Hanisah, Cik Saleha dan Encik Supki, peranan Berita Harian tidak pernah terhad kepada saiz fizikalnya.

Walaupun formatnya kini lebih kompak dan digital, tanggungjawabnya tetap sama iaitu menjadi suara dan perakam sejarah buat masyarakat Melayu Singapura, hari ini dan selamanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg