Kompak BH lebih padat, dinamik temui pembaca 24 Mac
Hari ini edisi terakhir BM dalam format lembaran lebar
Pembaca Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) bakal meraih pengalaman membaca yang lebih segar dan dinamik apabila akhbar tunggal bahasa Melayu di Singapura itu beralih ke edisi kompak mulai 24 Mac ini.
Langkah tersebut merupakan mercu tanda penting dalam perjalanan transformasi tiga tahun bilik berita BH untuk kekal relevan dalam landskap media yang kian berubah, kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
“Selain reka bentuk yang lebih moden dan padat, format kompak ini akan memaparkan laporan lebih mudah dihadam, serta kupasan berita yang lebih mendalam,” ujar Encik Nazry.
Beliau juga berkata pelancaran format baru ini bertujuan menawarkan impak visual yang lebih kuat, dengan naskhah yang lebih mudah dibawa ke mana-mana.
Menjelang peralihan ke format kompak, edisi akhbar mingguan BM pada hari ini, 15 Mac, merupakan edisi lembaran lebar atau broadsheet yang terakhir.
BM tidak diterbitkan pada 22 Mac memandangkan hari sebelumnya Hari Raya.
Naskhah terakhir edisi harian BH dalam broadsheet akan diterbitkan pada 23 Mac, sebelum versi kompak rasmi mula menemui pembaca pada 24 Mac.
Edisi kompak BM pertama pula diterbitkan 29 Mac.
Walaupun saiz fizikalnya berubah, nilai teras BH sebagai nadi masyarakat tetap menjadi tonggak utama dalam setiap laporan yang dihasilkan, kata Encik Nazry.
“Format kompak ini bukan sekadar perubahan saiz, malah ia mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kandungan yang lebih bermutu kepada pembaca,” ujar Encik Nazry.
Antara pembaharuan yang ditawarkan termasuk analisis berita yang mengupas isu semasa, ruangan gaya hidup yang diberi nafas baru bagi memenuhi cita rasa pelbagai lapisan pembaca, serta kod QR untuk menyepadukan liputan cetak dan digital.
Bagi pelanggan sedia ada, perubahan format ini tidak akan menjejaskan langganan mereka.
Semua urusan penghantaran dan harga langganan kekal seperti biasa, membolehkan pembaca terus menikmati berita tanpa gangguan.
Peralihan ini juga selaras dengan usaha berterusan BH untuk memperkukuh kehadiran digitalnya, memudahkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura untuk mendapatkan berita sahih dan tepat pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.
Ditubuhkan pada 1957, BH memulakan transformasi sejak 2023, mencetus inovasi dalam cara penyampaian berita, termasuk penggunaan video, podcast dan media sosial yang lebih meluas.
Selain mempertingkatkan kandungannya, BH memperkukuh penglibatan pembaca dengan menubuhkan unit khusus yang dinamakan Audiens dan Perkembangan.
Antara lain, unit itu juga memperkenalkan wadah ‘Orang Muda Gitew (OMG)’ khusus untuk golongan muda di media sosial, serta mempertingkatkan akhbar Gen G untuk pelajar.
BH juga memperkenalkan ‘mata-mata’ iaitu wadah yang memaparkan berita netizen dan kisah tular untuk meluaskan jangkauan pembaca di media sosial.
Format kompak ini pula dilihat sebagai pelengkap kepada ekosistem media BH yang kini lebih menyeluruh.
Walaupun formatnya berubah, BH beriltizam untuk mengekalkan kedudukannya sebagai sumber berita utama yang dipercayai oleh masyarakat Melayu/Islam di sini, kata Encik Nazry.
“BH akan terus menjadi suara bagi masyarakat Melayu, sambil menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini bagi memastikan kesinambungan warisan kewartawanannya,” kata Encik Nazry.
“
Selain reka bentuk yang lebih moden dan padat, format kompak ini akan memaparkan laporan lebih mudah dihadam serta penulisan dengan analisis yang lebih mendalam. Format kompak ini bukan sekadar perubahan saiz, malah ia mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kandungan yang lebih bermutu kepada pembaca. BH akan terus menjadi suara bagi masyarakat Melayu, sambil menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini bagi memastikan kesinambungan warisan kewartawanannya.Ciri-ciri kompak BH
- Reka bentuk lebih mesra pengguna, mudah dibawa ke mana-mana
- Laporan mudah dihadam
- Kupasan mendalam berita isu semasa
- Ruangan gaya hidup diberi nafas baru
- Kod QR untuk sepadukan liputan cetak dan digital

