Permohonan dibuka: Dermasiswa BH, AMP bantu pelajar kurang bernasib baik
Permohonan dibuka: Dermasiswa BH, AMP bantu pelajar kurang bernasib baik
Tarikh tutup permohonan ialah 23 Mac; setiap pelajar politeknik, universiti masing-masing akan terima $1,500 dan 2,500
Permohonan bagi dermasiswa Berita Harian (BH) dan AMP Singapura dibuka pada 2 Mac.
Dermasiswa ini, yang bertujuan menyokong pelajar pengajian tinggi daripada latar belakang kurang berkemampuan, mengutamakan mereka yang memilih jurusan media dan komunikasi atau pengajian Melayu.
Di bawah dermasiswa itu, yang dimeterai antara BH dan AMP Singapura pada 8 Januari, sebanyak $8,000 akan disalurkan bagi dermasiswa itu setiap tahun sehingga 2030.
Seramai empat pelajar akan dianugerahkan dermasiswa itu setiap tahun.
Dua pelajar politeknik akan menerima bantuan kewangan sebanyak $1,500 setiap seorang, manakala dua lagi pelajar universiti akan menerima $2,500 setiap seorang.
Penerima dermasiswa tersebut boleh menggunakannya bagi keperluan pendidikan seperti pembelian buku, bahan pembelajaran dan peralatan akademik lain.
Permohonan akan akhir pada 23 Mac, dengan dermasiswa dijangka akan diagihkan kepada penerima pada Jun 2026.
Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai dermasiswa itu dimeterai Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dan Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid pada 8 Januari di bilik berita BH.
Ini kali pertama BH memberi anugerah dermasiswa, dengan kerjasama sebuah badan Melayu/Islam.
Menyentuh permulaan jendela permohonan dermasiswa pada 3 Mac, Encik Nazry berkata:
“Kami berharap calon yang membuat permohonan bagi dermasiswa ini dapat menunjukkan bukan sahaja kecemerlangan dari segi akademik tetapi juga mempunyai ciri-ciri kepimpinan, aktif dalam kegiatan sekolah atau kerja-kerja sukarela.
“Beliau juga mempunyai daya ketahanan tinggi serta iltizam untuk terus maju dalam pelajaran dan kehidupan.”
Encik Mohksin pula berkata:
“Melalui kerjasama kami dengan BH, kami berharap bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan para pelajar, malah turut memupuk generasi baharu yang akan menyumbang secara bermakna kepada landskap media Melayu serta memperkukuh pemahaman tentang masyarakat Melayu dan perkembangannya.
“Kami percaya bahawa setiap pelajar yang mempunyai minat dan potensi untuk berjaya wajar diberi peluang yang saksama.”
Dana bagi skim dermasiswa tersebut diperolehi hasil kutipan acara kejohanan Golf Amal BH-AMP yang diadakan pada Julai 2025, yang berjaya mengumpulkan lebih $271,000 secara keseluruhannya.
Kira-kira $21,000 akan diperuntukkan untuk skim ini, dengan $8,000 disalurkan setiap tahun sehingga 2030, atau sehingga dana dermasiswa habis sepenuhnya.
Tambahan dana turut dijangkakan melalui Geran Tote Board Singapura, menurut kenyataan bersama BH dan AMP Singapura.
Baki dana akan digunakan untuk menyokong program AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura untuk mempertingkatkan kehidupan golongan yang memerlukan, termasuk kanak-kanak, belia dan keluarga kurang bernasib baik.
Selain daripada bantuan kewangan, dermasiswa itu dijangka menawarkan bimbingan oleh mentor, lawatan pembelajaran dan peluang menghadiri latihan amali di BH.
Untuk layak, pemohon mestilah warganegara Singapura, beragama Islam, dan berbangsa Melayu.
Pendapatan kasar bulanan isi rumah pemohon tidak boleh melebihi $3,500 atau pendapatan per kapita sebanyak $700.
Pemilihan penerima juga mengambil kira penglibatan pelajar yang aktif dalam kegiatan kokurikulum, kerja sukarela atau peranan kepimpinan.
Juga dipertimbangkan ialah ketabahan mereka mengharungi cabaran peribadi atau keluarga demi meneruskan pengajian.
Skim itu dibuka kepada pelajar sepenuh masa di lima politeknik tempatan seperti Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Republik, Politeknik Singapura dan Politeknik Temasek.
Skim tersebut juga dibuka kepada mahasiswa sepenuh masa di universiti awam, termasuk Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), selain institusi swasta yang diperakui.
Infobox
Permohonan bagi Dermasiswa BH-AMP kini dibuka!
1. Dermasiswa Media dan Komunikasi BH-AMP bagi pelajar politeknik dan mahasiswa universiti tempatan
2. Dermasiswa Pengajian Melayu BH-AMP bagi mahasiswa universiti tempatan
Setiap pelajar politeknik dan mahasiswa universiti masing-masing akan mendapat $1,500 dan $2,500 seorang.
Kriteria kelayakan:
- Warga Singapura, Melayu/Islam
- Pendapatan kasar bulanan keluarga tidak melebihi $3,500 atau pendapatan per kapita sebanyak $700
- Aktif dalam kegiatan kokurikulum, kerja sukarela dan menunjukkan semangat kepimpinan dan ketabahan dalam mengatasi cabaran peribadi atau keluarga
Tarikh tutup: 23 Mac 2026
Untuk permohonan, klik https://bit.ly/AMPBursary2026 atau imbas kod QR di bawah:

