Editor: Edisi kompak BH dilancar 24 Mar, tawar pengalaman membaca lebih menarik
Editor: Edisi kompak BH dilancar 24 Mar, tawar pengalaman membaca lebih menarik
Perubahan dari format besar kepada saiz kompak lanjutan daripada transformasi BH yang bermula 3 tahun lalu
Berita Harian (BH) akan beralih ke format kompak mulai 24 Mac, sebagai sebahagian daripada proses transformasi akhbar ini. BH berkongsi rancangan tersebut dengan sekitar 80 hadirin merangkumi wakil daripada agensi pemerintah, syarikat swasta dan pertubuhan Melayu/Islam dalam satu acara khas di bangunan SPH News Centre pada 21 Januari lalu. Berikut sedutan ucapan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, pada acara tersebut.
Hari ini, saya ingin berkongsi tiga perkara dengan anda: pertama, apa yang telah dilakukan oleh BH (Berita Harian) sepanjang tiga tahun lalu; kedua, apakah hasilnya; dan ketiga, ke mana hala tuju kami seterusnya.
Izinkan saya mulakan dengan perkara yang telah kami laksanakan.
Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, BH telah melalui satu perubahan besar. Kami melakukannya untuk mencipta semula diri kami bagi dunia yang mengutamakan digital.
BH hari ini bukan lagi BH yang dahulu, dan ia memang disengajakan. Ini bukan perubahan semata-mata untuk berubah.
Kami berubah dengan tujuan yang jelas, untuk kekal relevan, dipercayai dan berkesan dalam persekitaran media yang pantas berubah.
Ringkasnya, kami berubah kerana pembaca kami telah berubah, seiring dengan perubahan dunia.
Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, kami menyusun semula bilik berita dan memperkemas aliran kerja.
Kami kini mempunyai pasukan media sosial yang khusus, yang pada pandangan saya antara yang terbaik di pasaran, dan kami telah melabur secara besar-besaran dalam format penceritaan baru seperti podcast, video, bahan penerangan dan kandungan yang diutamakan untuk media sosial.
Dengan kata lain, kami telah berkembang daripada bilik berita berteras cetak, kepada bilik berita multimedia bersepadu, yang mana cetak, digital, sosial, audio dan video berfungsi seiring.
Kadangkala dengan kerjasama yang sangat lancar. Kadangkala, kelancaran hanya tercapai selepas beberapa mesyuarat.
Bagi rakan kongsi dan pengiklan, ini bermakna penceritaan yang lebih konsisten, penyasaran pengguna yang lebih tepat dan pengaruh yang lebih berkesan merentas pelbagai wadah.
Dan ini bukan sekadar kata-kata saya.
Anda boleh mengikuti saluran IG dan TikTok kami dan menilainya sendiri. Jika anda menyukai kandungannya, sila tekan “Like”.
Sekiranya anda tidak menyukainya, anda sentiasa boleh DM (mesej) saya secara peribadi.
Satu lagi perubahan penting ialah cara kami berinteraksi dengan pembaca.
Untuk memperkukuh penglibatan, kami kini mempunyai satu unit khusus yang dinamakan Audiens dan Perkembangan yang diterajui oleh Norhaiza Hashim.
Ini menunjukkan betapa komited kami berhubungan dengan masyarakat untuk menarik pengguna muda yang mengutamakan peranti mudah alih, sambil memperkukuh kepercayaan pembaca teras kami.
Ringkasnya, kami tidak lagi sekadar menerbitkan dan berharap orang ramai akan membaca akhbar kami.
Kini, kami menjejak capaian menggunakan data dan menyesuaikan pendekatan kami berdasarkan dapatan tersebut.
Malah, ruang fizikal bilik berita kami juga telah berubah.
Saya biasanya tidak gemar bermegah, tetapi ramai pelawat telah memberitahu kami BH mempunyai bilik berita yang paling cantik di SPH News Centre.
Sudah tentu, ada kemungkinan tetamu kami sekadar bersikap sopan. Saya serahkan kepada anda untuk menilainya sendiri.
Jika ada masa selepas sesi ini, anda amat dialu-alukan untuk singgah (ke bilik berita).
Jadi, adakah transformasi ini berhasil? Dengan gembira saya katakan, sudah tentu.
Tahap penglibatan kami meningkat.
Malah, jangkauan dalam talian kami kini melebihi satu juta paparan halaman sebulan, dengan kira-kira 40 peratus daripada capaian tersebut datang dari Malaysia.
Jika anda ingin mendekati pengguna di seberang Tambak, kami boleh membantu anda berbuat demikian. Sudah tentu, tanpa perlunya pasport dan kesesakan lalu lintas.
Transformasi kami juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Tahun lalu (2025), BH memenangi tempat ketiga bagi kategori Transformasi Bilik Berita Terbaik dalam majlis Anugerah Media Global INMA (Persatuan Media Berita Antarabangsa) di New York.
Ini merupakan anugerah sedunia yang tersohor, dan kami berbangga kerana sebuah bilik berita berbahasa Melayu dari Singapura diiktiraf di pentas dunia.
Kepercayaan dan kepuasan juga merupakan aspek di mana kami telah mencapai kemajuan yang ketara.
Satu tinjauan persepsi media oleh firma penyelidik pasaran GfK baru-baru ini meletakkan BH di tempat kedua dalam kalangan media tempatan dari segi kepercayaan dan kepuasan.
Dalam persekitaran hari ini, yang mana kepercayaan sukar dibina dan mudah hilang, ini merupakan satu pengiktirafan amat bermakna.
Jadi, apakah langkah seterusnya? Dalam kira-kira dua bulan lagi, pada 24 Mac, kami akan menukar format akhbar cetak kami daripada akhbar berformat besar kepada akhbar berformat kompak.
Ini menandakan satu lagi fasa penting dalam transformasi kami. Tinjauan kami menunjukkan pembaca lebih menggemari format baru ini.
Format kompak bukan hanya soal saiz. Ia tentang kandungan yang lebih tajam, susun atur yang lebih kemas dan pengalaman membaca yang lebih berkesan serta sesuai dengan gaya hidup moden.
Pembaca boleh menjangkakan:
* Reka bentuk yang lebih mesra pembaca.
* Laporan yang lebih mudah dihadam serta penulisan dengan analisis yang lebih kukuh.
* Penceritaan visual yang lebih kuat, dengan kesepaduan cetak-ke-digital yang lancar melalui kod QR.
Sekiranya anda bimbang BH akan menjadi sejenis akhbar tabloid atau sarat dengan sensasi, jangan risau. Walaupun akhbar lebih kecil, misi kami kekal besar.
Kami tetap komited sepenuhnya kepada ketepatan, kedalaman dan keseimbangan dalam kewartawanan kami. Padat dari segi saiz, bukan dari segi mutu dan piawaian.
Melangkah lebih jauh ke hadapan, tahun hadapan (2027) BH akan menyambut ulang tahun ke-70.
Kami tidak meraikan lamanya kami bertahan, sebaliknya mengapa kami kekal relevan.
Bagi kami, ini satu peringatan bahawa kehidupan tidak terhad oleh usia, bahkan boleh bermula pada usia 70 tahun.
Kami sedang merancang satu siri aktiviti, termasuk penerbitan buku peringatan, pameran jelajah seluruh negara dan satu majlis makan malam gala.
Bagi rakan kongsi dan pengiklan, sambutan ini menawarkan peluang yang jarang dan bernilai tinggi untuk memperdalam hubungan dengan masyarakat.
Kami amat berbesar hati jika anda menjadi sebahagian daripada perjalanan kami ini.
Sebagai penutup, BH yang diperbaharui membawa satu makna utama iaitu peluang untuk anda dan kami.
Ini adalah peluang anda untuk bekerjasama dengan satu jenama yang dipercayai dan mampu memberikan kesan, merentas pelbagai wadah, merentas generasi, dan merentas sempadan.
Terima kasih sekali lagi, dan kami menantikan peluang untuk membangunkan jenama anda serta masa depan kami bersama.

