Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH tingkatkan usaha dekati masyarakat sejak lalui transformasi

Antara usaha, bakal adakan golf amal diharap jadi simbol komitmen bina masyarakat inklusif
Mar 14, 2025 | 3:24 PM
(Dari kanan) Ketua Perbankan Islam Maybank, Encik Sazzali Sabandi; Ketua Pengurusan Kekayaan Islam Kumpulan Maybank, Encik Anurag Mathur; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; isteri beliau, Cik Sadiah Sahal; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Dr Abdul Qader Al-Aidaroos; dan Pengurus Kanan Maybank, Encik Fazlur Rahman Kamsani; hadir untuk acara berbuka puasa bersama penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan yang dianjurkan oleh BH pada 13 Mac di Red Velvet Ballroom, Village Hotel Bugis.
(Dari kanan) Ketua Perbankan Islam Maybank, Encik Sazzali Sabandi; Ketua Pengurusan Kekayaan Islam Kumpulan Maybank, Encik Anurag Mathur; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; isteri beliau, Cik Sadiah Sahal; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Dr Abdul Qader Al-Aidaroos; dan Pengurus Kanan Maybank, Encik Fazlur Rahman Kamsani; hadir untuk acara berbuka puasa bersama penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan yang dianjurkan oleh BH pada 13 Mac di Red Velvet Ballroom, Village Hotel Bugis. - Foto ihsan FAZLUR RAHMAN KAMSANI

Berita Harian (BH) berhasrat memainkan peranan untuk berbakti kepada masyarakat, dan telah meningkatkan usaha mendekati masyarakat sepanjang dua tahun sejak ia melalui transformasi.

Demikian kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dalam ucapannya semasa acara berbuka puasa bersama penghuni Rumah Anak Yatim Darul Ihsan yang dianjurkan oleh BH pada 13 Mac.

“Di bawah transformasi Berita Harian, kami telah meningkatkan usaha untuk mendekati masyarakat sejak dua tahun lalu.

“Dalam usaha khidmat masyarakat kami, kami juga berhasrat memainkan peranan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kami di Berita Harian amat berbesar hati dapat anjurkan acara istimewa ini.

“Kami harap acara ini dapat menjadi simbol tentang komitmen kami untuk berkongsi kegembiraan bersama dan membina masyarakat yang inklusif,” kata Encik Nazry kepada 100 tetamu di Red Velvet Ballroom, Village Hotel Bugis.

BH juga akan menganjurkan acara golf amal pada Julai sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60), kata beliau, yang turut mengalu-alukan golongan dermawan agar tampil dan menjadikan acara bersama AMP Singapura itu satu kejayaan.

“Acara golf amal ini adalah yang pertama untuk kami.

“Kami akan bekerjasama dengan AMP Singapura dengan matlamat mengumpul $300,000 bagi golongan kurang bernasib baik daripada AMP, Persatuan Kanak-kanak Singapura (SCS) dan penerima hadiah buku BH,” kata Encik Nazry.

Majlis itu turut dihadiri tetamu terhormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Dr Abdul Qader Al-Aidaroos; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; dan Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran kanak-kanak Rumah Anak Yatim Darul Ihsan yang berusia dari tujuh hingga 21 tahun.

Mereka menerima baju bagi menyambut Aidilfitri serta duit Raya.

Memberi pesanan kepada kanak-kanak tersebut, Encik Nazry menitikberatkan tiga nilai, iaitu optimistik, matlamat dan gigih, atau diberi singkatan ‘OMG’.

Beliau menasihati mereka supaya bersikap optimistik tentang masa hadapan, dan melihat setiap hari sebagai peluang baru untuk berjaya.

“Jangan biarkan rasa sedih atau kecewa menguasai diri anda. Sebaliknya terapkan rasa yakin bahawa anda mempunyai banyak peluang untuk berjaya,” ujarnya.

Selain itu, beliau berpesan supaya mereka menetapkan matlamat dalam hidup.

“Tanpa matlamat ini, hidup kita akan terumbang-ambing dan kita mudah sesat dalam perjalanan. Dan jangan takut untuk bermimpi besar tetapi mulakan dengan langkah-langkah kecil, hari demi hari, untuk capai impian kita,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kejayaan tidak datang bergolek begitu sahaja, dan ia memerlukan usaha, kecekalan dan disiplin. 

“Kita semua mahu berjaya tetapi kejayaan tidak datang bergolek begitu sahaja

“Ia perlukan usaha, kecekalan dan disiplin. Cakap mudah, kita kena rajin. Satu ciri utama orang rajin ialah tak takut untuk mencuba dan tidak mudah putus asa.

“Walaupun gagal, mereka cepat bangun semula, betulkan kesilapan dan atur langkah baru untuk ke depan,” tambah Encik Nazry, yang turut mendoakan kejayaan kanak-kanak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg