Berita Harian (BH) telah berjaya menyediakan banyak tawaran media untuk pembaca dan penutur bahasa Melayu, bukan sahaja di Singapura malah serantau.
Ini penting kerana ia memberi perspektif Melayu Singapura mengenai ehwal semasa di rantau ini, kata Anggota Parlimen (AP) Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) dalam ucapannya semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada 7 Mac.
“Sokongan untuk media vernakular kita telah membolehkan platform-platform untuk menjalani transformasi dan menyediakan banyak produk digital yang inovatif untuk melibatkan masyarakat.
“Berita Harian khususnya telah dapat menyediakan banyak tawaran media untuk penutur bahasa Melayu bukan sahaja di Singapura tetapi di rantau ini. Ini penting kerana ia memberi perspektif Melayu Singapura tentang isu-isu semasa di rantau ini.
“Bagaimanakah ini meningkatkan jumlah penonton BH dan bagaimana kita boleh membantu lagi akhbar vernakular kita untuk mendekati penutur bahasa Melayu yang lebih luas di rantau ini?” tanya Encik Sharael.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo berkata bilik berita seperti SPH Media komited untuk meningkatkan capaian audiens walaupun berdepan persaingan sengit, kelesuan berita, algoritma legap di platform sosial dan penurunan pendapatan.
“Seperti saluran berita di seluruh dunia, langganan cetak SPH Media telah menurun apabila pembaca beralih kepada menggunakan berita dalam talian.
“SPH Media perlu meneruskan transformasinya kepada berita digital dan pemerintah mesti menyokong usaha ini supaya entiti media perkhidmatan awam kita dapat mendekati penonton di mana sahaja mereka berada,” kata Cik Teo.
Beliau menambah sementara SPH Media mengekalkan capaian keseluruhannya yang kukuh pada 70 peratus penduduk Singapura pada 2024, jangkauan terhadap belia dan vernakularnya telah menurun.
Sehubungan itu, beliau menambah MDDI akan pro-rate dan memberikan Insentif Berkaitan Prestasi kepada SPH Media dengan sewajarnya.
Semasa ucapannya, Cik Teo berkata entiti media perkhidmatan awam seperti SPH Media kekal sebagai wadah utama rakyat Singapura untuk mendapatkan berita yang boleh dipercayai.
“The Straits Times dan CNA adalah antara platform berita dalam talian kita yang paling kerap dikunjungi, dengan lebih 40 peratus rakyat Singapura membacanya setiap minggu.
“Lebih penting lagi, kepercayaan orang ramai terhadap media arus perdana kita kekal tinggi, dengan CNA dan The Straits Times menjadi yang paling dipercayai oleh rakyat Singapura masing-masing sebanyak 74 peratus dan 73 peratus,” tambahnya.
Beliau menambah entiti media perkhidmatan awam seperti SPH Media mesti kekal kelihatan dan mudah diakses oleh orang awam.
Justeru, beliau menambah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) akan mengkaji langkah pengawalseliaan di negara lain untuk menjaga “penonjolan” dan “kebolehtemuan” entiti media perkhidmatan awam di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg