Seramai 13 pelajar daripada pelbagai peringkat universiti setempat telah menerima Biasiswa Peringatan Lim Kim San 2025.
Semasa majlis penganugerahan yang berlangsung pada 7 Ogos, Pengarah Yayasan SPH, Encik Patrick Daniel, berkata bahawa setiap penerima biasiswa tersebut telah menonjolkan sifat rendah diri, kerja keras dan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Nilai-nilai ini, katanya, wajar dicontohi kerana ia juga mencerminkan peribadi mendiang Encik Lim Kim San yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan pertama Singapura dari 1965 hingga 1967, dan kemudiannya sebagai Pengerusi Eksekutif Singapore Press Holdings (SPH) dari 1988 hingga 2002.
“Biasiswa ini dilancarkan demi menghormati warisan kekal mendiang Encik Lim Kim San yang merupakan seorang pemimpin berwawasan yang membentuk pembangunan awal Singapura.
“Apa yang membezakan para penerima biasiswa ini bukan sekadar kecemerlangan akademik mereka, tetapi juga keteguhan peribadi dengan kisah ketabahan dan kepimpinan yang mencerminkan nilai-nilai yang ingin kami dukung melalui biasiswa ini.
“Mereka bukan sahaja pelajar cemerlang, malah individu yang beriltizam untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat,” kata beliau.
Sejak dilancarkan pada 2006, lebih 190 pelajar telah meraih manfaat daripada biasiswa itu.
Ia diberikan kepada pelajar terbaik daripada latar belakang keluarga sederhana.
Antara kriteria untuk layak bagi biasiswa tersebut adalah pelajar harus datang daripada keluarga dengan pendapatan bulanan tidak melebihi $5,000.
Biasiswa itu meliputi pembiayaan penuh yuran kursus yang diambil termasuk tuisyen dan peperiksaan sebanyak $3,000.
Ia ditingkatkan daripada jumlah awal sebanyak $2,300 pada 2024 untuk membantu penerima menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Meskipun biasiswa itu adalah bebas bon, penerima diharapkan dapat berkhidmat kepada masyarakat melalui kerja kemasyarakatan semasa atau selepas pengajian mereka.
Jika terdapat kekosongan jawatan sesuai, pemegang biasiswa juga boleh melakukan latihan kerja sambil belajar di SPH Media.
Untuk melayakkan diri, pemohon harus mendapat prestasi baik dalam peringkat GCE ‘O’ dan ‘A’ atau politeknik, serta peperiksaan tahunan di universiti tempatan. Mereka juga harus mempunyai rekod kegiatan kokurikulum yang baik secara konsisten.
Encik Raulinder Singh, 28 tahun, menyifatkan penerimaan biasiswa itu sebagai suatu pengiktirafan atas usaha gigihnya dalam menggalas tanggungjawab sebagai anak bongsu yang terpaksa dewasa lebih awal, selepas kehilangan bapanya ketika beliau berusia 17 tahun.
“Saya rasa sangat bersyukur. Dengan adanya bantuan kewangan ini, saya dan ibu tidak lagi perlu risau tentang yuran pengajian tahun ini,” kata pelajar tahun akhir dalam bidang Sejarah di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.
Sebelum ini, Encik Raulinder membiayai pengajiannya menggunakan simpanan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kakaknya dan melakukan dua kerja sambilan demi menampung keperluan hidup.
Selepas pemergian bapanya akibat serangan jantung, Encik Raulinder, yang ketika itu sedang mengambil peperiksaan GCE ‘O’ buat kali kedua, terpaksa mengorbankan masa berkabung demi menumpukan perhatian kepada pelajaran.
“Saya sedar hidup terlalu singkat untuk disia-siakan. Saya mahu menjadi seseorang yang bertanggungjawab, terutama bagi ibu saya,” kata beliau.
Dengan biasiswa itu, Encik Raulinder berharap dapat menimba lebih banyak pengalaman menerusi latihan amali dan menumpukan perhatian kepada pengajian dalam bidang media.
“Bantuan ini beri saya sedikit ruang untuk bernafas, tetapi saya akan terus berjuang demi kejayaan. Saya bangga dapat berdikari dan bantu ibu saya seberapa boleh,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg