Topik diikuti
Pergi ke BHkuBiasiswa Peringatan Lim Kim San buka laluan dalami bidang sejarah di NTU
Biasiswa Peringatan Lim Kim San buka laluan dalami bidang sejarah di NTU
Biasiswa Peringatan Lim Kim San buka laluan dalami bidang sejarah di NTU
Bagi Encik Muhammad Ibrahim Mohamed Maidin, pengajian dalam bidang sejarah bukan sekadar mengkaji peristiwa lampau.
Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, bidang tersebut membuka ruang untuk beliau memahami dunia dengan lebih mendalam, di samping menjadi batu loncatan ke arah cita-citanya untuk berkhidmat dalam sektor budaya dan warisan.
Encik Ibrahim bakal melanjutkan pengajian dalam bidang itu di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan merupakan antara 16 penerima Biasiswa Peringatan Lim Kim San.
Memasuki tahun ke-21 penganjurannya, program biasiswa itu menyokong mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di universiti.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) semasa majlis penyampaian biasiswa tersebut di SPH Media di Toa Payoh North pada 29 Julai, Encik Ibrahim berkata penerimaan biasiswa itu telah meringankan beban kewangan yang ditanggungnya.
Mentelah lagi, ia membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa perlu terlalu bergantung kepada ibunya, yang merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
“Semasa di politeknik, saya perlu melakukan kerja sambilan. Ini tidak bermakna saya tidak akan bekerja lagi selepas ini, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak perlu terlalu membebankan diri.
“Ibu saya merupakan ibu tunggal yang membesarkan kami adik-beradik. Jadi, biasiswa ini benar-benar banyak membantu,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.
Sebelum ini, beliau memperoleh Diploma dalam Pembangunan Masyarakat daripada Politeknik Ngee Ann dengan Purata Nilai Gred (GPA) 3.56.
Sepanjang tempoh pengajiannya ketika itu, beliau pernah mencuba lapan hingga sembilan pekerjaan dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan acara, peruncitan, serta industri makanan dan minuman (F&B).
Menurut beliau, keputusan untuk mencuba pelbagai pekerjaan bukan sahaja didorong oleh keperluan kewangan, bahkan membolehkannya memperoleh pengalaman dalam pelbagai industri.
“Ketika mengikuti pengajian diploma saya, saya pada mulanya bercadang untuk menjadi pekerja sosial kerana saya mahu membantu orang lain seperti mana saya sendiri pernah dibantu ketika membesar.
“Tetapi, saya juga sedar bahawa minat semata-mata tidak mencukupi. Kestabilan kewangan sama penting bagi saya.
“Jadi, pada Tahun 1, saya putuskan untuk mencuba pelbagai perkara sebanyak mungkin, menimba pelbagai pengalaman, kemudian melihat ke mana hala tuju yang paling sesuai untuk saya,” ujarnya, yang menetap bersama ibu dan adik lelakinya di rumah flat sewa dua bilik di Lavender.
Sejak dilancarkan pada 2006, lebih 200 pelajar telah meraih manfaat daripada biasiswa itu.
Antara kriteria untuk layak bagi biasiswa tersebut adalah pelajar harus datang daripada keluarga dengan pendapatan bulanan tidak melebihi $5,000.
Biasiswa itu meliputi pembiayaan penuh yuran pengajian, termasuk yuran tuisyen, serta menyediakan elaun tahunan sebanyak $3,000 bagi menampung perbelanjaan sara hidup dan pembelian buku.
Selain itu, Yayasan SPH telah memperketat kriteria kelayakan kewangan biasiswa itu pada 2026 dengan memperkenalkan had Pendapatan Per Kapita (PCI) sebanyak tidak melebihi $1,250.
Semasa majlis penganugerahan biasiswa tersebut, Pengarah Yayasan SPH, Encik Patrick Daniel, berkata setiap pemohon hadir dengan kisah yang penuh inspirasi, aspirasi yang tersendiri serta keinginan yang tulus untuk mencapai potensi diri dan menyumbang kepada masyarakat.
Menurut beliau, apa yang membezakan 16 penerima biasiswa ini bukanlah semata-mata pencapaian akademik mereka, tetapi peribadi dan sahsiah yang mereka tunjukkan.
“Setiap daripada mereka telah mengharungi cabaran peribadi dan kewangan dengan penuh ketabahan dan kecekalan.
“Ramai yang berjaya mengimbangi komitmen pengajian yang mencabar dengan pekerjaan sambilan, tanggungjawab terhadap keluarga, serta khidmat kepada masyarakat.
“Yang lebih mengagumkan, mereka kekal optimistik terhadap masa depan sendiri dan beriltizam untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan orang lain,” ujar Encik Daniel.
Menjelang pengajiannya di NTU yang bermula pada Ogos ini, Encik Ibrahim berkata beliau tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa yang bakal menetap di kolej kediaman universiti.
“Bagi saya, peluang untuk tinggal di kolej kediaman melambangkan segala peluang yang telah diberikan kepada saya.
“Kejayaan bukan lagi sekadar satu impian, sebaliknya menjadi tanggungjawab saya untuk merealisasikannya,” ujarnya.