Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenerima biasiswa ‘buka sayap’ sambung legasi keluarga dalam bidang penerbangan
Penerima biasiswa ‘buka sayap’ sambung legasi keluarga dalam bidang penerbangan
Pengalaman arwah datuk, peluang kerja sambilan cetus minat tabur khidmat
Penerima biasiswa ‘buka sayap’ sambung legasi keluarga dalam bidang penerbangan
Membesar melihat deretan model kapal terbang Singapore Airlines (SIA) yang tersusun di tempat letak televisyen di rumahnya, Encik Haqqan Yaqeen Abdul Rahim, 21 tahun, menganggap ia sesuatu yang menarik.
Dibesarkan dalam keluarga yang menceburi bidang penerbangan, beliau sering mendengar kisah pengalaman arwah datuknya, Encik Mohamoad Walat.
Allahyarham telah berkhidmat dalam syarikat pengendali kargo udara, khidmat darat dan katering dalam penerbangan, Sats selama 25 tahun, antara 1981 dengan 2006 sebagai pengendali peralatan.
Malah, bapa dan pak cik Encik Haqqan juga bekerja dalam industri yang sama.
Bapa beliau, Encik Abdul Rahim Mohamoad, 47 tahun, bekerja sebagai pengurus kerja di Sats manakala bapa saudara beliau, Encik Abdul Rahman Mohamoad, 44 tahun, bertugas sebagai teknisyen kanan di syarikat SIA Engineering.
Legasi dan pengaruh keluarga jelas mencetuskan minat Encik Haqqan untuk menceburi bidang serupa.
Rezeki tidak salah alamat.
Kini beliau sudah mula mengorak langkah menyertai industri penerbangan setelah meraih anugerah Biasiswa Industri-Singapura (SgIS), tajaan SIA.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), anak muda itu berkongsi:
“Apabila saya melihat kembali model kapal terbang yang tersusun itu, ia ibarat menjadi satu simbol tentang apa yang dahulu saya rasa menarik.
“Kini, ia menjadi kenyataan kerana saya bakal mempunyai kerjaya dalam bidang penerbangan di Singapura.”
“Pengaruh evolusi dalam keluarga saya begitu kuat. Pendedahan daripada ahli keluarga saya tentang industri yang hebat ini memang benar-benar membuka mata saya.”
Encik Haqqan merupakan salah seorang daripada 210 pelajar yang menerima biasiswa SgIS.
Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak ia kali pertama diadakan pada 2012.
Berucap semasa Majlis Anugerah Biasiswa SgIS edisi ke-15 yang diadakan di Auditorium Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 28 Julai, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata:
“Melalui SgIS, majikan dan agensi pemerintah menyokong rakyat Singapura yang berpotensi dalam pengajian universiti mereka, memberikan pendedahan awal kepada industri, membimbing serta menjadi mentor sepanjang tempoh pengajian, dan membantu mereka membina kerjaya dalam sektor penting di Singapura.”
Pengenalan Encik Haqqan kepada dunia penerbangan bukanlah sekadar melalui kisah yang disampaikan melalui lisan.
Malah, setelah menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’, beliau telah berjinak-jinak dengan industri itu, bekerja sambilan bagi masa membantu bapanya mengurus makanan yang perlu dihantar ke pesawat.
Hal tersebut telah membuka matanya tentang pelbagai skop tugas berbeza yang penting dalam bidang penerbangan.
Justeru, ia telah menanamkan keyakinan dalam dirinya untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut dan memilih bidang berkaitan di universiti.
Anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu kini merupakan pelajar tahun pertama dalam jurusan Analitik Perniagaan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan telah meraih keputusan gred A bagi kesemua mata pelajarannya.
Berbekalkan semangat utuh, Encik Haqqan sudah membentang visi jangka masa yang jauh buat dirinya.
“Dengan biasiswa ini dan minat saya, saya dapat meningkatkan diri secara profesional.
“Ini merupakan masa yang terbaik untuk ‘terjun’ dalam bidang ini supaya saya dapat mempunyai fokus yang lebih jelas untuk mempersiapkan diri bagi alam pekerjaan.
“Dengan ilmu pengetahuan tentang analisis data, saya harap dapat menyumbang kepakaran saya kepada kecemerlangan industri ini,” kata beliau.
Dalam pada itu, Encik Lee turut menambah:
“Kita kini sedang melalui satu era yang menyaksikan perubahan amat ketara.
“Pemimpin industri yang hadir pada hari ini pasti menyedari bahawa teknologi sedang mengubah dengan pesat cara kita belajar, bekerja dan menyelesaikan pelbagai masalah.
“Malah, persaingan untuk mendapatkan bakat dan pelaburan semakin sengit, manakala persekitaran sejagat pula menjadi semakin tidak menentu.
“Oleh sebab itu, SgIS menjadi lebih penting pada masa kini berbanding sebelum ini.”