Selepas menyaksikan tiga datuk saudaranya diserang angin ahmar semasa pandemik Covid-19, Cik Nurshirah Tabrani, 30 tahun, mula menyedari betapa bertuahnya mereka yang mampu menggerakkan bibir, lidah dan rahang untuk bertutur.

Melihat lelaki yang dahulunya kuat, dan kini bergelut untuk berkomunikasi menyedarkannya bahawa keupayaan bertutur berkait rapat dengan identiti dan maruah seseorang.

Pengalaman itu mendorong beliau mendalami bidang terapi pertuturan dan memahami bagaimana ia dapat membantu pesakit angin ahmar mendapatkan semula keupayaan untuk berkomunikasi.

“Bayangkan seorang lelaki yang sebelumnya tegap dan menjadi insan yang anda sanjungi sejak kecil, tiba-tiba hanya terlantar di katil dan tidak lagi mampu membentuk satu ayat yang lengkap.

“Yang keluar daripada mulutnya hanyalah bunyi-bunyi yang sukar difahami. Apabila keadaan itu berlaku setiap hari, ia memberi beban emosi yang besar kepada dirinya dan keluarganya,” kata anak kedua dalam keluarga dua beradik itu, kepada Berita Harian (BH), sambil mengimbas pengalaman menyaksikan penderitaan datuk saudaranya itu.

Cik Nurshirah turut berkongsi reaksi ahli keluarganya apabila ketiga-tiga datuk saudaranya diserang angin ahmar seorang demi seorang.

“Mereka mungkin beranggapan, ‘alah, ia hanya melibatkan pertuturan. Yang lebih penting ialah dia boleh bergerak semula. Saya cuma mahu dia boleh berjalan seperti biasa dan kembali bekerja’.

“Keupayaan bertutur menjadi perkara kedua yang difikirkan, sedangkan ia merupakan antara keperluan paling asas manusia untuk berkomunikasi dan berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Cik Nurshirah, apabila masalah pertuturan tidak diberi keutamaan, campur tangan yang diperlukan mungkin tertangguh, sekali gus menambahkan cabaran kepada penjaga apabila pesakit tidak dapat menyampaikan apa yang ingin dikatakan, manakala penjaga pula sukar memahami keperluan mereka.

“Apabila seseorang terselamat daripada angin ahmar, ia bukan sekadar soal kesakitan. Memang ada kesakitan, tetapi apa yang saya lihat ialah kesannya terhadap maruah dan identiti seseorang,” ujarnya.

Kini bertugas sebagai pengurus di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Cik Nurshirah turut menjadi sukarelawan bersama ahli terapi pertuturan di Hospital Tan Tock Seng serta mengikuti ‘job shadowing’ bersama ahli terapi di Hospital Besar Singapura (SGH), sambil meneruskan tugas sepenuh masa. ‘Job shadowing’ ialah kaedah pembelajaran di mana seseorang mengamati dan memerhatikan secara langsung pekerjaan orang yang lebih berpengalaman dalam bidang tertentu.

Pengalaman itu mengukuhkan lagi keputusannya untuk menceburi bidang terapi pertuturan.

“Pengalaman bekerja telah membuka perspektif saya, bermula dengan memahami cabaran yang dihadapi sesebuah keluarga, khususnya di MSF yang melibatkan keluarga berpendapatan rendah dengan keperluan yang kompleks, termasuk kanak-kanak yang mempunyai keperluan perkembangan atau pernah mengalami keganasan, di samping perlu menjaga ahli keluarga warga emas,” katanya, yang belum berumah tangga.

Cik Nurshirah merupakan antara 130 penerima biasiswa dalam bidang perubatan, kejururawatan, kesihatan bersekutu, farmasi, pentadbiran penjagaan kesihatan dan bidang berkaitan yang diraikan pada Majlis Penyampaian Biasiswa Penjagaan Kesihatan 2026, yang berlangsung pada 28 Julai di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.

Beliau dianugerahkan Healthcare Graduate Studies Award, iaitu Anugerah Pengajian Siswazah Penjagaan Kesihatan, oleh Ministry of Health Holdings (MOHH), yang akan membiayai pengajian Sarjana Terapi Pertuturan di Universiti Sydney, Australia, sekali gus membantunya merealisasikan hasrat untuk menjadikan terapi pertuturan lebih mudah diakses masyarakat.

Menerima biasiswa tersebut amat bermakna buat Cik Nurshirah, yang menyifatkannya sebagai hasil daripada usaha gigih dan ketabahan selama bertahun-tahun.

“Majlis seperti ini mengingatkan saya bahawa berada di sini merupakan satu keistimewaan, hasil kerja keras yang telah saya curahkan selama ini serta segala pengalaman yang saya lalui.

“Saya telah menanam hasrat, hasil daripada pengalaman bekerja, untuk membantu masyarakat, khususnya masyarakat Melayu, yang masih kurang pendedahan kepada terapi pertuturan, memahami bagaimana campur tangan awal dapat membantu mengurangkan kesan keadaan yang mereka alami, supaya ia tidak menjadi semakin buruk,” katanya.