Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biasiswa possiswazah Pergas sokong asatizah ceburi bidang kesihatan warga emas, sokongan belia

Oct 4, 2025 | 8:41 PM
Ustaz Syafiq Rahmat, Asatizah Solace Care, APVN
Ustaz Syafiq Rahmat yang kini berkhidmat di platform maya penyedia khidmat sokongan emosi dan kerohanian Pergas, ‘Asatizah Solace Care’ dan kaunselor sepenuh masa di Kelab Heal, berharap dapat berhubung dengan asatizah lain menerusi Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN), yang dilancarkan pada 4 Oktober. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) akan meluaskan Biasiswa Possiswazah yang ditawarkan bagi terus memupuk kepakaran dalam bidang seperti penglibatan belia, gerontologi (pengajian penuaan), penjagaan paliatif, khidmat kerohanian serta penjagaan pastoral.

Pendaftaran bagi biasiswa tersebut akan dibuka pada Mei 2026, umum Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, pada 4 Oktober.

“Selama beberapa dekad, Biasiswa Possiswazah Pergas telah menyokong pengajian tinggi dalam Pengajian Islam.

“Tetapi mulai tahun depan (2026), kami akan mengambil langkah berani dan lebih jauh, meluaskan biasiswa ini untuk memupuk kepakaran dalam bidang seperti penglibatan belia, gerontologi, penjagaan paliatif, khidmat kerohanian dan penjagaan pastoral.

“Mengapa bidang-bidang ini? Kerana ia menyentuh bahagian paling rapuh dalam masyarakat kita – para belia yang mencari rasa kebersamaan, ibu bapa kita yang semakin tua, pesakit yang berada di penghujung hayat, dan keluarga yang sedang menanggung kesedihan,” ujar Ustaz Tarmizi pada majlis pelancaran Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) di bawah naungan Pergas, yang berlangsung di Max Atria, Singapore Expo.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, yang ditemui Berita Minggu (BM) pada acara itu, berkata dengan minat yang semakin meningkat untuk menceburi bidang khusus dalam sektor sosial dan penjagaan kesihatan dalam kalangan asatizah, langkah memperluas biasiswa itu juga amat diperlukan.

Golongan asatizah yang juga terlibat dalam bidang seperti kaunseling, berharap dapat berkongsi ilmu dan panduan antara satu sama lain menerusi APVN.

“Pada pendapat saya, masyarakat tidak hanya memandang kepada asatizah untuk soalan agama dan adakalanya, soalan yang diberikan oleh masyarakat kepada asatizah adalah luar daripada agama, maksudnya lebih daripada hukum-hakam.

“Justeru, jika asatizah ada kemahiran yang boleh membantu masyarakat, ia sangat baik.

“Oleh itu, APVN adalah satu platform di mana asatizah boleh berhubung antara satu sama lain dan memberi sokongan,” kongsi Ustaz Syafiq Rahmat, 29 tahun, kaunselor sepenuh masa di Kelab Heal, yang juga berkhidmat di platform maya bagi memberi sokongan emosi dan kerohanian kepada orang awam, Asatizah Solace Care.

Seorang lagi asatizah, yang turut berkhidmat di Asatizah Solace Care, Ustazah Nur Hayati Yusoff, kaunselor sepenuh masa di AMP Singapura, menambah APVN merupakan ruang bagi asatizah bertukar fikiran tentang isu kepakaran mereka.

“APVN memberikan saya wadah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat serta berkongsi pengetahuan kepada asatizah yang terlibat agar dapat membina kepakaran dan pengetahuan mereka bersama,” kata Ustazah Hayati, 37 tahun, lulusan Program Diploma Possiswazah dalam Kaunseling Islam Pergas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg