Seorang bekas kader Parti Pekerja (WP), Cik Loh Pei Ying, menjadi saksi kedua dalam perbicaraan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, selepas pihak pendakwaan menamatkan soal balas terhadap bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, pada 17 Oktober.
Encik Pritam, yang juga Ketua Pembangkang, menghadapi dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) berkaitan siasatan pembohongan Cik Raeesah di Parlimen.
Pada 3 Ogos 2021, Cik Raeesah memberitahu Parlimen tentang beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, tetapi mangsa itu diperlakukan secara tidak sensitif. Beliau mengulangi dakwaan itu di Parlimen pada 4 Oktober tahun sama, sebelum mengakui pembohongannya pada 1 November 2021.
Encik Pritam, 48 tahun, difahamkan adalah individu pertama didakwa di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), atau PPIPA, sejak Singapura merdeka.
Cik Loh, yang mula menjadi sukarelawan bersama WP pada awal 2020, adalah bekas pembantu setiausaha kepada Cik Raeesah.
Beliau merupakan ketua dan pengasas bersama syarikat editorial Kontinentalist dan anggota utama pasukan media WP dalam Pilihan Raya Umum 2020, apabila Cik Raeesah dipilih sebagai AP buat kali pertama.
Pada waktu itu, Cik Loh telah bersama WP hampir 10 tahun.
Mahkamah diberitahu bahawa Cik Loh antara lain membantu Cik Raeesah berhubung sejarah WP, lapor The Straits Times.
Cik Loh menyifatkan pembohongan Cik Raeesah sebagai masalah besar dan tanda hitam kepada sejarah WP.
Pada 7 Ogos 2021, Cik Raeesah mengaku melalui satu penggilan sidang video Zoom kepada Cik Loh dan seorang kader WP, Encik Yudhishthra Nathan, bahawa beliau berbohong ketika Parlimen bersidang pada 3 Ogos.
Cik Loh, yang meninggalkan WP pada hujung 2022, berusaha menjelaskan fakta semasa panggilan itu, kerana Cik Raeesah begitu emosi dan “tidak begitu koheren”.
Mereka juga membincangkan sejarah politik, kata Cik Loh, sambil menyatakan bahawa Cik Raeesah, yang ketika itu berusia 27 tahun, “umumnya mempunyai pemahaman lemah” mengenai sejarah WP.
Sebagai contoh, Cik Raeesah tidak tahu bahawa bekas AP Hougang WP, Encik Yaw Shin Leong, dipecat daripada WP pada 2012 atas dakwaan beliau mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita sudah berkahwin.
Apabila Cik Loh mengetahui tentang pembohongan Cik Raeesah pada 7 Ogos 2021, Cik Loh menganggap perkara itu sebagai “masalah besar” dan tanda hitam pada rekod prestasi WP bagi seorang AP berbohong dengan cara itu.
Oleh itu, beliau berasa tidak selesa apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Tetapi selepas Cik Loh mendapat tahu daripada Cik Raeesah kemudiannya bahawa Encik Pritam tahu tentang pembohongan itu lebih awal pada 7 Ogos, Cik Loh berkata beliau berasa “lega sedikit” kerana ketua WP itu “akan tahu apa yang perlu dilakukan” jika sesuatu perlu dilakukan mengenainya.
Peguam bela Pritam akan meneruskan pemeriksaan balas ke atas Cik Loh pada 18 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg