Pihak pembelaan meneruskan hujah mereka mengenai percanggahan dalam keterangan mantan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan, pada hari ketiga perbicaraan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.
Cik Raeesah saksi pertama dalam perbicaraan Encik Pritam, setiausaha agung WP, yang menghadapi dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang dibentuk pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan melibatkan Cik Raeesah.
Cik Raeesah memberi keterangan di Mahkamah Negara sejak 14 Oktober, hari pertama perbicaraan tersebut.
Pada 16 Oktober, pihak pembela, diketuai mantan pendakwa raya, Encik Andre Jumabhoy, meneruskan soal balas terhadap Cik Raeesah, selepas membuat permohonan untuk mendakwa beliau bagi mencabar kewibawaanya sebagai saksi pada 15 Oktober.
Tindakan Encik Andre itu bertujuan menunjukkan Cik Raeesah bukan saksi yang boleh dipercayai. Jika dakwaan itu berjaya, keterangan Cik Raeesah di mahkamah akan kurang diberi pertimbangan oleh hakim.
Pihak pembelaan membuat dua lagi permohonan untuk mendakwa Cik Raeesah pada 16 Oktober. Ia permohonan ketiga dalam perbicaraan tersebut.
Walaupun Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan menolak permohonan kedua dan ketiga, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan pertama.
Undang-undang tidak memerlukan hakim membuat keputusan dengan segera.
Permohonan kedua untuk mendakwa Cik Raeesah berdasarkan mesej teks yang dihantarnya kepada Encik Pritam pada 4 Oktober 2021.
Cik Raeesah menghantar mesej teks itu setelah Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mendesaknya pada hari sama untuk memberi butiran tentang anekdot palsunya di Parlimen.
Anekdot palsu itu disebut Cik Raeesah buat kali pertama di Parlimen pada 3 Ogos 2021.
Dalam ucapannya di Parlimen, Cik Raeesah berkata beliau menemani seorang mangsa rogol pada 2018 ke balai polis, apabila seorang pegawai membuat komen mengenai pakaian mangsa.
Mesej teks dihantarnya kepada Encik Pritam seperti berikut: “Apa yang perlu saya lakukan Pritam.”
Encik Andre berhujah mesej itu bercanggah dengan keterangan Cik Raeesah di mahkamah pada hari pertama perbicaraan.
Apabila ditanya mengapa beliau meneruskan pembohongannya di Parlimen pada 4 Oktober 2021, Cik Raeesah berkata beliau berasa “yakin bahawa saya mendapat sokongan (Encik Pritam)” selepas pertemuan mereka pada 3 Oktober 2021.
“Tidak terdapat percanggahan yang lebih jelas daripada apa yang beliau (Cik Raeesah) katakan,” ujar Encik Andre.
Namun, Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock membidas hujah itu dan berkata mesej tersebut sejajar dengan inti pati keterangan Cik Raeesah, iaitu meneruskan pembohongannya.
DAG Ang menambah bahawa Cik Raeesah tidak menerima pengesahan yang beliau mahukan daripada Encik Pritam dan terus mengekalkan pembohongannya.
“Beliau (Cik Raeesah) hanya mengikut nasihatnya (Encik Pritam) yang sedia ada,” ujar DAG Ang, yang juga berkata mahkamah perlu melihat pada semua keterangan, dan bukan hanya teks tersebut, untuk memutuskan sama ada Cik Raeesah perlu didakwa.
Hakim Tan bersetuju dengan pendakwa dan berkata beliau tidak melihat sebarang pencanggahan dalam keterangan Cik Raeesah.
Perbicaraan akan disambung pada 17 Oktober dengan pihak pembelaan dijangka memanggil saksi kedua, Cik Loh Pei Ying, pembantu setiausaha Cik Raeesah ketika beliau menjadi AP.
Encik Pritam menghadapi dua tuduhan berbohong kepada COP yang dibentuk pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan yang melibatkan Cik Raeesah.
Beliau difahamkan individu pertama didakwa di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), atau PPIPA, sejak kemerdekaan Singapura.
Perbicaraan Encik Pritam akan berlangsung selama 16 hari sehingga 13 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg