Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pihak pembela: Terdapat alasan untuk dakwa Raeesah

Raeesah tidak anggap e-mel daripada Pritam sebagai arahan jelaskan pembohongan, rasa ia mengkritiknya
Oct 15, 2024 | 7:25 PM
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) (kanan), tiba di Mahkamah Negara pada 15 Oktober bersama peguamnya, Encik Andre Jumabhoy (kiri).
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) (kanan), tiba di Mahkamah Negara pada 15 Oktober bersama peguamnya, Encik Andre Jumabhoy (kiri). - Foto ST

Pihak pembela berhujah bahawa terdapat alasan untuk mendakwa mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan, pada hari kedua perbicaraan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.

Pada 14 Oktober di Mahkamah Negara, pihak pembela, yang diketuai oleh mantan pendakwa raya, Encik Andre Jumabhoy, merujuk kepada keterangan Cik Raeesah berhubung e-mel yang diterimanya pada 1 Oktober 2021.

E-mel itu dihantar oleh Encik Pritam, yang juga Setiausaha Agung WP, kepada Cik Raeesah.

Ia mengulangi betapa seriusnya bagi AP mempertahankan dan menyokong apa yang mereka sebutkan di Parlimen.

Ini kerana, jika mereka tidak berbuat demikian, terdapat risiko mereka perlu memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Cik Raeesah merupakan saksi pertama dipanggil pihak pendakwa.

Selain Cik Raeesah, pihak pendakwa akan memanggil mantan ketua WP, Encik Low Thia Khiang, sebagai saksi bagi kes tersebut.

Cik Raeesah diminta keluar dari bilik mahkamah menjelang akhir perbicaraan supaya pihak pembela dapat mengemukakan alasan mereka kepada Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan.

Sebelum diminta keluar dari bilik mahkamah, Cik Raeesah berkata beliau tidak menganggap e-mel yang dihantar Encik Pritam itu sebagai arahan untuk menjelaskan pembohongannya.

Sebaliknya, beliau rasakan bahawa e-mel itu mengkritiknya, kata Cik Raeesah ketika menjawab pertanyaan Encik Andre.

Pembohongan Cik Raeesah merujuk kepada ucapan yang disampaikannya di Parlimen pada 3 Ogos 2021.

Dalam ucapan itu, Cik Raeesah berkata beliau menemani seorang mangsa rogol ke balai polis, di mana seorang pegawai membuat komen mengenai pakaian mangsa.

Cik Raeesah sebelum ini memberitahu polis bahawa beliau berasa takut apabila melihat e-mel itu. Beliau takut pembohongannya akan dibangkitkan semula di Parlimen pada 4 Oktober 2021.

Encik Andre berhujah: “Kedua-dua keterangan itu berbeza secara ‘material’.”

Istilah ‘material’ merujuk kepada maklumat penting yang boleh menentukan sesuatu isu.

Namun, pihak pendakwa menolak alasan pihak pembela.

Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock mempertikaikan ketidakselarasan yang dikemukakan pihak pembela dalam keterangan Cik Raeesah.

“Saya tidak pasti mengapa ini ‘material’ sama sekali,” kata DAG Ang, menambah bahawa e-mel itu jelas dan tiada penjelasan lanjut diperlukan.

DAG Ang turut mengatakan bahawa Cik Raeesah telah memberi bukti bahawa beliau tidak menyangka e-mel itu adalah satu arahan.

Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan akan mendengar hujahan pada 16 Oktober sama ada terdapat alasan yang mencukupi untuk membenarkan permohonan Encik Andre untuk mendakwa Cik Raeesah sebagai saksi.

Perbicaraan tersebut akan disambung semula pada 16 Oktober.

Encik Pritam menghadapi dua tuduhan berbohong kepada COP yang dibentuk pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan yang melibatkan Cik Raeesah.

Beliau difahamkan individu pertama didakwa di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), atau PPIPA, sejak kemerdekaan Singapura.

Perbicaraan Encik Pritam akan berlangsung selama 16 hari sehingga 13 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg