Daripada bidang sekular, jurutera kanan semai cinta Al-Quran di Pergeraq
Daripada bidang sekular, jurutera kanan semai cinta Al-Quran di Pergeraq
Bagi Encik Mohamed Tamrin Mohamed Tamin dan isteri, Cik Rashidah Sulaiman, 60 tahun, seorang pendidik agama secara mingguan, pembelajaran Al-Quran bukan sekadar menambah ilmu, bahkan pengalaman penuh bermakna bagi mereka berdua.
Sejak 2023, mereka mengikuti program Diploma Peningkatan Guru Al-Quran (DPGQ) di Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq).
Cabaran awal buat jurutera kanan itu bukan kecil.
Berlatar belakang akademik sekular, Bahasa Arab dan ilmu tajwid adalah halangan utamanya.
“Pada mulanya agak sukar, tetapi berkat dorongan isteri, sokongan rakan-rakan di Pergeraq, serta kaedah pengajaran Ustaz Achmed Fahdly Mohd Kamsari yang mudah, saya berjaya mengatasinya,” kata Encik Tamrin.
Cabaran fizikal seperti mendaki ke tingkat tiga Bangunan PKMS tanpa lif turut ditempuhi dengan sabar.
Bagi pasangan suami isteri itu, kelebihan utama di Pergeraq ialah sistem hibrid (Zoom secara dalam talian atau fizikal).
Namun, mereka lebih memilih hadir secara fizikal demi merasai keberkatan ilmu dengan kehadiran guru secara langsung.
Encik Tamrin yakin, pengajian Al-Quran adalah keperluan umat Islam.
“Al-Quran adalah mukjizat agung Allah swt, panduan hidup bukan sahaja untuk individu, bahkan dalam urusan politik dan ekonomi. Mengikutinya, dunia pasti aman,” ujarnya dengan senyuman.
Minat Encik Tamrin terhadap Pergeraq berputik daripada isterinya, dan beliau telah menamatkan Sijil Peningkatan Guru Al-Quran (SPGQ) pada pertengahan 2024.
Kini, melalui DPGQ, beliau mendalami tajwid, tafsir, qiraat, dan hafalan surah.
Kesabaran pensyarah dan sokongan rakan sekelas membantunya mengekalkan motivasi.
Pesanan Encik Tamrin kepada rakan dan pelajar seusia:
“Buang rasa malu. Walaupun berumur lanjut dan bacaan Al-Quran belum mahir, jangan bimbang. Pendidik di Pergeraq membimbing dengan penuh ikhlas, memberi semangat dan keyakinan kepada murid-murid mereka.”
Beliau berharap Pergeraq akan terus berkembang, menjadi institusi lebih gah dan dikenali, serta mampu memperluas program ke peringkat universiti, termasuk bekerjasama dengan institusi lain di Singapura dan luar negara.
“Terima kasih kepada setiausaha, asatizah, dan seluruh kakitangan Pergeraq kerana memberi peluang memperbaiki bacaan Al-Quran saya.
“Semoga Pergeraq terus relevan dan berkembang, serta sentiasa berkat dalam memanfaatkan Al-Quran untuk ummah, insya-Allah,” tambah Encik Tamrin.
SEKILAS:
1. Untuk menderma dan pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0, WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda, zakat atau derma.
2. PayNow ke UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’, sila tulis nama anda, zakat atau derma.
3. Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut, lungsuri laman web, pergeraq.sg, atau e-mel kepada pergeragsgp@gmail.com.
4. Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10, Bangunan PKMS, Singapura 419737.

