Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelepasan gas rumah hijau S’pura turun pada 2023, namun boleh naik semula

Penganalisis: Penurunan tunjuk kemajuan, belum pasti dapat kekal apabila kegiatan ekonomi meningkat
Dec 19, 2025 | 7:32 PM
gas rumah hijau, Singapura, karbon dioksida, ekonomi
Pelepasan gas rumah hijau Singapura turun kepada 55.5 juta tan sepadan karbon dioksida pada 2023. - Foto ST

Pelepasan gas rumah hijau Singapura yang menyumbang kepada pemanasan sedunia turun kepada 55.5 juta tan (Mt) pada 2023, sebahagian besarnya disebabkan pengurangan hasil perkilangan dalam sektor petrokimia.

Ini merupakan penurunan 5.3 peratus berbanding pelepasan tahun sebelumnya (2022) yang sebanyak 58.59 Mt bersamaan karbon dioksida (CO2eq).

Demikian menurut Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS) di laman webnya pada 19 Disember. CO2eq ialah ukuran jumlah keseluruhan gas rumah hijau yang dilepaskan.

Walaupun penurunan itu merupakan yang pertama sejak 2008, penganalisis memberitahu The Straits Times (ST) keupayaan mengekalkan pengurangan tersebut adalah perkara utama.

Ini merupakan laporan terkini mengenai pelepasan gas rumah hijau Singapura.

Menurut sekretariat di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu, penurunan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau secara langsung oleh sektor industri, penyumbang terbesar kepada pelepasan negara.

Pada 2023, sektor industri menyumbang hampir separuh daripada jumlah pelepasan, diikuti sektor tenaga pada 38.7 peratus dan sektor pengangkutan pada 11.7 peratus.

Pengurangan penggunaan petrol dan diesel dalam sektor pengangkutan turut menyumbang kepada penurunan pelepasan, mencerminkan kemajuan ke arah sasaran menggunakan 100 peratus kenderaan tenaga lebih bersih menjelang 2040.

Namun, sekretariat itu menyatakan pelepasan masih berkemungkinan meningkat sebelum 2030 berikutan keadaan ekonomi dan pelaksanaan berperingkat langkah pengurangan Singapura.

Sebelum ini, Singapura menyasarkan pelepasannya memuncak pada 2028 sebelum menurun kepada sekitar 60Mt pada 2030.

Penganalisis berkata penurunan tersebut adalah sesuatu yang ketara, namun masih belum pasti sama ada kemajuan itu dapat dikekalkan apabila kegiatan ekonomi meningkat.

Pemerhati iklim, Cik Melissa Low, yang mengkaji dasar iklim sedunia di sebuah pusat penyelesaian iklim berasaskan alam semula jadi di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata penurunan pada 2023 menandakan pengurangan pertama sejak krisis kewangan 2008, selepas pelepasan meningkat secara berterusan sejak tempoh itu.

Felow penyelidik itu berkata penurunan tersebut agak menggalakkan dari sudut iklim, tetapi menimbulkan kebimbangan ekonomi kerana kejatuhan hasil perkilangan boleh mencetuskan kemelesetan dan pengurangan pekerjaan akibat keadaan sedunia yang lemah.

Beliau menambah, pelepasan lebih rendah itu juga boleh bermakna permintaan Singapura terhadap kredit karbon antarabangsa menjadi perlahan.

Profesor Madya perakaunan daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Kelvin Law, berkata penurunan pelepasan industri berkemungkinan berkait dengan keadaan pasaran sedunia, termasuk tekanan lebihan kapasiti China dan kemerosotan berpanjangan kelompok kimia Singapura sejak 2022.

“Ini menunjukkan penurunan pelepasan industri berkaitan keadaan pasaran sedunia yang boleh berubah,” katanya sambil menambah bahawa pemerintah turut mengakui pelepasan bakal meningkat semula.

Namun, beliau berkata peningkatan sektor pengangkutan lebih menggalakkan kerana mencerminkan peralihan sebenar ke arah kenderaan lebih bersih dan pengangkutan awam.

Secara teknikal, pelepasan menurun pada 2023 meskipun Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat, kata Profesor Law.

Persoalannya ialah sama ada pengurangan pelepasan dapat dikekalkan apabila pasaran petrokimia pulih, tambahnya.

Felow Kanan, Institut Kajian Tenaga NUS, Dr Su Bin, berkata penggunaan elektrik dan intensiti karbon sektor tenaga industri hampir tidak berubah walaupun hasil perkilangan menguncup.

Beliau berkata pelepasan menurun kerana kegiatan industri berkurang, bukan kerana perubahan struktur.

Pengurangan berterusan memerlukan perubahan struktur seperti bahan api lebih bersih, pemerangkapan karbon, hidrogen rendah karbon dan peningkatan kecekapan, katanya.

Pihak pelepas pula dijangka membayar lebih mulai 2026 apabila cukai karbon Singapura dinaikkan daripada $25 kepada $45 bagi setiap tan karbon dioksida.

Sekitar 50 kemudahan, terutama dalam sektor perkilangan, tenaga, sisa dan air, menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelepasan negara.

Sejak Februari, Singapura berhasrat mengurangkan pelepasan kepada antara 45 dengan 50 Mt CO2eq menjelang 2035 sebagai sebahagian daripada sasaran iklimnya.

Sekretariat itu berkata ia kekal teguh terhadap sasaran 2030 dan 2035, yang bergantung kepada kematangan teknologi penyahkarbonan dan kerjasama antarabangsa.

Perincian pelepasan 2023 akan dilaporkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan dwitahunan pada 2026, selaras keperluan negara-negara yang menandatangani Perjanjian Paris.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg