Hospital di sini kini menyaksikan peningkatan ketara bagi preskripsi untuk ubat semaglutide seperti Ozempic, sekali gus mencerminkan perubahan dalam pengurusan masalah obesiti.
Semaglutide meniru hormon glucagon-like peptide-1 (GLP-1) bagi mengawal paras gula dalam darah, mendorong rasa kenyang serta mengurangkan selera makan pengguna.
Hospital Besar Changi (CGH) telah mengeluarkan lebih 600 preskripsi Ozempic dalam tempoh enam bulan pertama 2025, manakala Hospital Besar Singapura (SGH) telah memberi ubat itu kepada hampir 2,000 pesakit sejak 2021.
Selain Ozempic, yang mengandungi dos semaglutide lebih rendah (hingga 1 miligram), terdapat juga Wegovy yang mengandungi dos semaglutide lebih tinggi (hingga 2.4 miligram).
CGH belum lagi menawarkan preskripsi bagi Wegovy, dan ubat itu juga belum dimasukkan dalam senarai formulasi rasmi SGH.
Menurut para doktor dihubungi Berita Minggu (BM), semaglutide mampu membantu seseorang mengurangkan sehingga 10 hingga 15 peratus berat badan secara purata dalam tempoh sekitar 68 minggu.
Seorang pengguna Wegovy, Cik Haryani Othman, 47 tahun, pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, berkongsi beliau mengalami penurunan selera makan serta kawalan berat badan lebih stabil selepas mengambil ubat tersebut.
Beliau mula mengambil Wegovy sejak Mei 2025 bagi mengekalkan penurunan berat badannya selepas menjalani dua pembedahan bariatrik – sleeve gastrectomy pada 2015 dan Roux-en-Y Gastric Bypass pada 2023.
“Selepas pembedahan kedua, agak sukar untuk kekal berat badan. Wegovy bantu saya menstabilkan berat badan, namun saya sedar saya masih perlu jaga pemakanan dan senam secara konsisten,” jelas Cik Haryani.
Sementara itu, beberapa hospital melaporkan peningkatan dalam jumlah pembedahan bariatrik yang dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
CGH telah melakukan kira-kira 80 pembedahan bariatrik dalam tiga tahun lalu, dengan jumlah terus meningkat setiap tahun.
SGH pula telah melalukan lebih 1,500 pembedahan bariatrik antara 2020 dengan September 2025, manakala WHC melaporkan trend peningkatan berterusan antara 2017 dengan 2023.
Seorang individu yang pernah berjuang bertahun-tahun dengan turun naik berat badan, Cik Nurmadiha Ishak, 35 tahun, menjalani pembedahan bariatrik pada Disember 2024 dan berjaya kurangkan berat badannya yang pernah mencecah 114 kilogram kepada kini 74 kilogram.
Meskipun permintaan untuk semaglutide kini kian meningkat, para doktor menasihatkan agar individu yang mahu mengurangkan berat badan mengamalkan gaya hidup sihat demi faedah jangka panjang.
Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi CGH, Dr Loh Wann Jia, menegaskan pengurusan obesiti harus ditangani menggunakan pendekatan penjagaan holistik, termasuk diet berkhasiat serta gaya hidup sihat.
“Ia sangat penting ini berterusan untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan obesiti yang semakin teruk dan untuk mengelakkan kenaikan semula berat badan,” terangnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg