Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan isi rumah terima bantuan ComCare turun pada 2023

Turun daripada 36,853 keluarga pada 2021 kepada 22,960 keluarga pada 2023
Nov 19, 2024 | 2:08 PM
Menurut Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), lebih 8,000 rujukan automatik kepada skim sokongan lain telah dibuat menjelang Disember 2023, tanpa keperluan bagi penerima bantuan ComCare membuat permohonan berasingan.
Menurut Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), lebih 8,000 rujukan automatik kepada skim sokongan lain telah dibuat menjelang Disember 2023, tanpa keperluan bagi penerima bantuan ComCare membuat permohonan berasingan. - Foto fail

Bilangan keluarga yang dibantu melalui Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA) ComCare menunjukkan trend menurun sejak 2021, daripada 36,853 keluarga kepada 22,960 keluarga pada 2023.

Selain itu, kadar isi rumah yang kembali ke SMTA dalam tempoh 36 bulan selepas keluar daripada skim tersebut menurun.

Kadar ini jatuh daripada 61 peratus dan 63 peratus bagi kohort 2018 dan 2019 masing-masing, kepada 54 peratus bagi kohort 2020.

Ini adalah antara trend yang diperhatikan dalam Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) baru-baru ini.

Menurut laporan itu, penilaian kadar keluarga yang kembali untuk mendapatkan bantuan ditentukan dalam tempoh 36 bulan kerana kadar ini secara amnya menunjukkan penurunan selepas tempoh tersebut.

Laporan tersebut menumpukan kepada trend bantuan ComCare sepanjang lima tahun yang lalu – dari 2019 hingga 2023.

Ini di samping memantau keadaan keluarga ComLink+ pada Disember 2023, selepas pelaksanaan program tersebut secara nasional pada Julai 2023.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Profesor Madya Dr Irene Ng daripada jabatan pekerjaan sosial Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata program pemerintah telah mengurangkan keperluan keluarga untuk bantuan ComCare, apatah lagi dalam suasana pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

“Semasa pemulihan pasca-Covid-19, program pemerintah seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan Model Gaji Progresif (PWM) telah diperluaskan.

“Saya percaya program-program ini, bersama dengan pemulihan ekonomi daripada pandemik, telah menyumbang kepada penurunan bilangan keluarga yang memerlukan bantuan ComCare,” kongsi beliau.

Selain itu, laporan tersebut juga menunjukkan bahawa bantuan tunai bulanan median bagi penerima SMTA dalam isi rumah telah meningkat daripada $300 pada 2019 kepada $370 pada 2023.

Menurut MSF dalam satu kenyataan media, kenaikan itu mencerminkan usaha memastikan liputan ComCare kekal relevan.

“Peningkatan ini mencerminkan usaha MSF untuk memastikan liputan ComCare kekal mencukupi melalui semakan berkala,” kongsi MSF.

Berkenaan dengan penurunan kadar keluarga yang kembali untuk mendapatkan bantuan SMTA dalam tempoh 36 bulan selepas keluar, Profesor Madya Ng berkata halangan utama kepada kestabilan kewangan keluarga adalah kekurangan pekerjaan yang menawarkan gaji yang mencukupi untuk menyokong keluarga.

“Secara keseluruhan, orang ramai memerlukan pekerjaan yang membayar gaji yang mencukupi untuk menyokong keluarga.

“Isu utama adalah kita perlu membayar pekerja dalam pekerjaan berpendapatan rendah dengan lebih baik, serta menyediakan laluan kerjaya bagi pekerjaan di luar kategori PMET (profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen).”

Skim ComCare menyediakan bantuan kewangan untuk menyokong isi rumah berpendapatan rendah, dengan pelbagai jenis bantuan seperti SMTA, Bantuan Jangka Panjang ComCare (LTA) dan Bantuan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA).

Bilangan keluarga yang menerima LTA telah menurun, daripada 4,175 keluarga pada 2019 kepada 3,479 keluarga pada 2023.

Penurunan itu dikaitkan dengan faktor seperti lebih ramai penduduk yang bekerja lebih lama serta peningkatan tahap simpanan dalam kalangan golongan warga emas muda.

Ini serta pengembangan skim sokongan sosial untuk warga emas, seperti Pakej Generasi Perintis, Pakej Generasi Merdeka, dan penambahbaikan kepada Skim Ihsan Senja.

Maklumat lebih lanjut mengenai laporan ini boleh didapati di laman go.gov.sg/msflowerincometrendsreport2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg