Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ComLink+ bantu keluarga flat sewa capai kestabilan

Nov 19, 2024 | 6:00 PM
Selain bantuan sokongan ComLink+, Cik Aini (kiri) sekeluarga juga menerima sokongan daripada badan sukarelawan lain seperti Project Love Lunch, untuk membantu mereka mengharungi kehidupan seharian. Turut bergambar bersamanya ialah (dua dari kiri) anak perempuannya, Laila Wali; suaminya, Encik Wali; dan mentor keluarga, Encik Zeke Soh.
Selain bantuan sokongan ComLink+, Cik Aini (kiri) sekeluarga juga menerima sokongan daripada badan sukarelawan lain seperti Project Love Lunch, untuk membantu mereka mengharungi kehidupan seharian. Turut bergambar bersamanya ialah (dua dari kiri) anak perempuannya, Laila Wali; suaminya, Encik Wali; dan mentor keluarga, Encik Zeke Soh. - Foto BH oleh SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Diberhentikan kerja sebagai pramugari syarikat penerbangan Finnair akibat pandemik Covid-19, Cik Aini yang berusia 33 tahun telah menganggur sejak 2020.

Meskipun menghadapi cabaran akibat pandemik, beliau telah cuba memohon pelbagai pekerjaan untuk meningkatkan keadaan keluarganya.

Ini termasuk mengendalikan perniagaan kecil-kecilan seperti bekam dan urut demi mendapatkan sumber pendapatan tambahan untuk keluarganya.

Dengan suaminya, Encik Wali, 29 tahun, bekerja secara bebas untuk menyara keluarga, mereka kini hanya mampu tinggal di sebuah flat sewa dua bilik di Sengkang West Way.

Cik Aini telah lama mendambakan kebebasan dan ruang hidup sendiri bersama anak perempuan mereka, Laila Wali, dua tahun.

Namun, sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang tidak mencukupi menyukarkan keluarga beliau untuk memiliki rumah sendiri.

Keadaan mula berubah apabila Cik Aini sekeluarga dimasukkan ke dalam program ComLink+ pada 2023, satu inisiatif sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk membantu keluarga mencapai kestabilan dan berdikari, serta merealisasikan aspirasi mereka.

Menerusi ComLink+, Cik Aini dipadankan dengan seorang mentor keluarga, Encik Zeke Soh, yang membantu beliau mengharungi pelbagai cabaran, termasuk dalam permohonan kerja dan rumah flat Bina Ikut Tempahan (BTO).

Setelah meneliti keadaan keluarga Cik Aini sejak Oktober 2023, Encik Soh menetapkan pelan tindakan untuk keluarga tersebut dan memantau kemajuan mereka.

“Sebagai mentor keluarga, kami ingin membantu keluarga mencapai kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial.

“Bagi Cik Aini (sekeluarga), salah satu pelan tindakan utama yang kami susun bersama adalah matlamat beliau untuk berpindah keluar dari rumah sewa. Beliau menyatakan hasrat memohon flat BTO untuk keluarganya.

“Untuk menyokong beliau dalam perjalanan ini, kami telah bekerjasama dengan HDB untuk menyediakan bantuan dan panduan yang diperlukan sepanjang proses permohonan tersebut,” terang Encik Soh, yang membantu merujukkan mereka kepada Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah HDB (HST).

Dengan bantuan Encik Soh, Cik Aini juga telah diberi sokongan dengan mencadangkan aplikasi dan laman web berguna untuk memulakan podcast.

Dengan mengisikan masa lapang dan mengalihkan fokusnya semasa mencari pekerjaan, beliau telah berjaya memulakan podcast Spill Tu Chai dalam mengalihkan fokusnya semasa mencari pekerjaan.

Cik Aini telah berjaya mendapatkan kerja sebagai seorang kakitangan concierge di Microsoft sejak Mei 2024.

Selain itu, beliau menerima bantuan melalui program KidSTART sejak Julai 2024 untuk mengasuh dan membesarkan anaknya.

Anaknya sedang mengikuti peringkat playgroup di pusat penjagaan kanak-kanak, Skool4Kidz, pengendali utama (AOP) yang diiktiraf Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Dalam usaha mendidik anak perempuannya, Laila, Cik Aini (kiri) memanfaatkan ruang di rumah sewanya dengan menampal kad nombor di bahagian belakang pintu, membantu Laila belajar mengira dari satu hingga sepuluh.
Dalam usaha mendidik anak perempuannya, Laila, Cik Aini (kiri) memanfaatkan ruang di rumah sewanya dengan menampal kad nombor di bahagian belakang pintu, membantu Laila belajar mengira dari satu hingga sepuluh. - Foto BH oleh SYED MUHAMMAD FIRDAUS

“Apa yang kami buat adalah memastikan dia (Laila) mempunyai rutin, supaya dia tidur awal dan boleh bangun awal. Ini kerana, jika dia tidak pergi sekolah, kami tidak boleh pergi kerja,” kata Encik Wali.

Sementara menanti keputusan permohonan BTO, Cik Aini berharap rumah tetap itu akan membawa kestabilan yang telah lama didambakan keluarganya.

“Keluarga saya hanya kami bertiga. Kami tidak merancang untuk (mempunyai) satu lagi anak setakat ini – mungkin sehingga kita mendapat rumah kita sendiri,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg