Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih sepertiga keluarga ComLink+ capai pekerjaan stabil

Pemilikan rumah dan pendidikan kekal cabaran utama
Nov 19, 2024 | 6:00 PM
Bagi Cik Aini, program ComLink+ membantu beliau dan suaminya menguruskan penjagaan anak perempuan mereka, Laila, dengan lebih baik melalui lawatan mentor keluarga dan sukarelawan ke flat sewanya.
Bagi Cik Aini, program ComLink+ membantu beliau dan suaminya menguruskan penjagaan anak perempuan mereka, Laila, dengan lebih baik melalui lawatan mentor keluarga dan sukarelawan ke flat sewanya. - Foto BH oleh SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Sekitar sepertiga daripada 9,153 keluarga ComLink+ atau sekitar 2,981 keluarga yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memiliki pekerjaan stabil, tidak bergantung pada sebarang bentuk bantuan kewangan utama, dan meraih peningkatan pendapatan sebenar antara 2022 dengan 2023.

Kajian tersebut diperhatikan dalam Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang dikeluarkan MSF baru-baru ini, yang antaranya memaparkan bidang-bidang tumpuan utama termasuk keselamatan pendapatan, kehadiran di prasekolah dan pemilikan rumah.

Mentelah lagi, kemajuan tersebut sejajar dengan peralihan MSF daripada menyediakan bantuan asas kepada memperkasa keluarga demi mencapai aspirasi jangka panjang mereka.

Menurut MSF dalam satu media kenyataan, ia adalah sebahagian daripada pelan Melakar Hala Tuju Singapura atau ForwardSG.

“Ia melibatkan usaha proaktif untuk mendekati keluarga bagi membangunkan pelan tindakan bersama dan mengatur sokongan berdasarkan keperluan, aspirasi dan kekuatan unik setiap keluarga,” kongsi MSF.

Bagi Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pendekatan MSF dalam sokongan sosial telah berkembang daripada sekadar memberikan bantuan sosial kepada pemerkasaan sosial, di mana usaha individu disokong oleh pemerintah, keluarga dan masyarakat.

“Laporan ini menyediakan rujukan tentang bagaimana kita dapat terus menguatkan sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah dan bersama-sama mereka dapat berdikari, menuju kestabilan serta mobiliti sosial,” ujar beliau.

Kementerian itu juga berkongsi bahawa sehingga Disember 2023, mereka telah menghubungi 13,871 keluarga dengan kanak-kanak di bawah umur 21 tahun yang tinggal di perumahan sewa awam di mana 9,153 keluarga telah bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka untuk program ComLink+ ini.

Dalam bahagian keselamatan pendapatan, didapati bahawa sebanyak 61 peratus daripada keluarga ComLink+ berada pekerjaan stabil, yang menyaksikan mereka telah bekerja selama enam bulan berturut-turut dalam setahun.

Selain itu, 68 peratus keluarga ComLink+ tidak lagi bergantung pada sebarang bentuk bantuan kewangan utama, manakala 51 peratus meraih peningkatan pendapatan sebenar antara 2022 dengan 2023.

Dalam memperkasa keluarga menerusi sokongan ComLink+, beberapa cabaran masih wujud, terutama dalam soal pemilikan rumah dan kehadiran anak-anak di prasekolah.

Menurut laporan itu, 79 peratus keluarga ComLink+ mempunyai tunggakan sewa kurang daripada tiga bulan, dan 66 peratus keluarga masih belum mempunyai simpanan mencukupi untuk pemilikan rumah.

Hanya 2,236 daripada 2,396 keluarga - iaitu 93 peratus - telah mengumpul simpanan yang mencukupi untuk membeli rumah, namun mereka masih belum membeli rumah atau berpindah keluar dari rumah sewa awam.

Selain itu, laporan tersebut mengemukakan cabaran keluarga ComLink+ dalam aspek pendidikan kanak-kanak. Walaupun terdapat 85 peratus keluarga ComLink+ yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah telah mendaftar di prasekolah, hanya 26 peratus keluarga ComLink+ dengan anak bersekolah di prasekolah Pengendali Utama (AOP) telah selalu menghadiri prasekolah pada 2023.

Laporan tersebut menyemak dapatan tersebut dengan kadar kehadiran bulanan purata 75 peratus atau lebih pada 2023.

Bagi penerima bantuan ComLink+ yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Aini , program tersebut membantu beliau dan suaminya mengurus penjagaan anak perempuan mereka, Laila, dengan lebih baik melalui lawatan mentor keluarga dan sukarelawan ke rumah sewanya itu.

“Sebagai ibu, kadangkala saya rasa penat untuk terus melayani Laila setiap hujung minggu dan tidak ada tenaga untuk bawa dia ke taman permainan atau merancang aktiviti.

“Jadi, apabila mereka datang dan bermain dengan Laila, ia memberi saya sedikit kelonggaran untuk berehat dan berbual dengan mereka. Kehadiran mereka sangat membantu dan saya sangat menghargainya,” ujar beliau.

Dalam meneliti dapatan daripada laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, berkata:

“Keluarga berpendapatan rendah sering berhadapan isu-isu kesihatan, perubatan dan kesihatan mental yang rumit. Masalah-masalah ini boleh melambatkan usaha mereka untuk keluar dari kesulitan kewangan dan mencapai kestabilan jangka panjang.”

Merujuk kepada cabaran kepada pemilikan rumah dalam kalangan keluarga ComLink+, beliau juga menekankan pentingnya menyediakan sokongan yang disasarkan kepada keluarga yang beralih kepada pemilikan rumah, melalui program celik kewangan dan bimbingan.

“Kita harus menjalankan program-program yang mempamerkan dan menggariskan pelan hala tuju ke arah pemilikan rumah, khususnya memperincikan cabaran dan alat-alat yang boleh digunakan untuk menyokong mereka dalam inisiatif ini,” ujar Encik Firdaus.

Antara langkah yang disarankan Encik Firdaus adalah melaksanakan program celik kewangan untuk memperkasa keluarga dalam membuat keputusan yang bijak mengenai belanjawan, simpanan, dan pemilikan rumah.

Beliau juga mencadangkan agar sukarelawan yang berpengalaman dalam bidang kewangan dan hartanah dilibatkan sebagai jurulatih untuk membimbing dan menyokong keluarga dalam mencapai matlamat mereka.

Rakan kongsi korporat telah memperuntukkan $31.2 juta untuk Pakej Kemajuan ComLink+ pada akhir 2023. Butiran lanjut di go.gov.sg/msflowerincometrendsreport2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg